MKM Tuntut Kerajaan Laksanakan Manifesto Segera

Pada 9 Mei yang lalu, rakyat telah melakukan perubahan drastik dalam arus politik tanah air dengan mematikan hayat 60 tahun Barisan Nasional memerintah Malaysia dengan memberi mandat kepada Pakatan Harapan memacu Malaysia baharu yang lebih baik.

Hari ini merupakan sidang Parlimen Penggal Pertama yang akan menyaksikan Pakatan Harapan bertindak sebagai blok kerajaan. Pelbagai janji dijamin kepada seluruh rakyat yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia kembali dihormati dan bebas daripada sebarang anasir yang boleh meruntuhkan imej negara.

Maka pada hari ini, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) ingin menggesa kerajaan Pakatan Harapan agar janji-janji yang terkandung didalam manifesto Pakatan Harapan berkaitan beberapa perkara ditunaikan pada kadar yang segera.

Justeru, satu memorandum oleh Mahasiswa Keadilan Malaysia akan diserahkan kepada pihak kerajaan bersempena pembukaan mesyuarat pertama, penggal pertama sidang parlimen ke-14.

Memorandum ini mengandungi dua (2) tuntutan utama terhadap janji manifesto kerajaan untuk segera dilaksanakan iaitu:

  1. Janji 27: Menghapus undang-undang zalim
  2. Janji 50: Mengembalikan wibawa university awam dan pengajian tinggi

Tuntutan ini juga adalah selaras dengan iltizam khusus kepada mahasiswa dan anak muda yang terkandung didalam manifesto Pakatan Harapan. Iltizam tersebut pada Perkara Tiga (3) menyatakan bahawa PH beriltizam untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang mana telah menyekat bukan sahaja hak dan kebebasan mahasiswa selaku warganegara yang dijamin oleh perlembagaan dihormati malah kebebasan universiti itu sendiri dalam kebebasan berakademik serta akta-akta lain yang menjerat hak kebebasan bersuara.

Akta-akta yang zalim ini bukan sahaja mencabuli hak warganegara malahan secara terang-terangan tidak menghormati perlembagaan yang didokong oleh segenap masyarakat di Malaysia.

Kami juga ingin menuntut agar mahasiswa-mahasiswa yang pernah dituduh di mahkamah dibawah akta ini atau diambil tindakan di peringkat universiti dibebaskan daripada sebarang pertuduhan.

Mahasiswa Keadilan Malaysia tidak menafikan bahawa perlu adanya undang-undang bagi memastikan keamanan serta keharmonian negara terpelihara sepanjang masa, namun, terdapat undang-undang yang diwujudkan semasa pemerintahan terdahulu yang telah dijadikan suatu alat untuk menakut-nakutkan rakyat demi memastikan kelangsungan politik pihak-pihak tertentu.

Mahasiswa Keadilan Malaysia

17hb. Julai 2018

Leave a Reply