Kenyataan Bersama Sekretariat Mahasiswa Undi18 Universiti Malaya Sempena ‘Silent Protest’

Kami mengambil maklum berkaitan pengumuman terkini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia tentang penangguhan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik sehingga bulan September tahun hadapan. Sekretariat Mahasiswa Undi18 Universiti Malaya (“Sekretariat”) yang terdiri daripada pelbagai gerakan mahasiswa Universiti Malaya dengan ini menzahirkan rasa kesal dan membantah sekeras-kerasnya keputusan ini.

Oleh yang demikian, satu protes secara senyap (silent protest) telah diadakan di hadapan Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya bagi memanifestasikan bantahan terhadap penangguhan pelaksanaan Undi18 mengikut protokol kesihatan semasa yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Protes ini berjalan selama lapan belas (18) minit sebagai simbolik bersolidariti bersama-sama dengan 1.2 juta pemilih yang berumur antara 18 sehingga 20 tahun yang telah dinafikan hak mengundinya dalam pilihan raya akan datang yang boleh dijalankan bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Protes ini juga disertai oleh pelbagai gerakan mahasiswa merentasi fahaman, ideologi dan spektrum politik melalui Sekretariat yang berkongsi pendirian yang sama iaitu menolak penangguhan pelaksanaan Undi18. Kesediaan kumpulan mahasiswa dengan mengenepikan segala perbezaan fahaman politik, pandangan dan ideologi adalah sebagai satu isyarat buat kerajaan semasa bahawa mahasiswa tidak akan berkompromi dan akan bersatu tenaga bagi menuntut hak mengundi sebahagian besar daripada rakan-rakan kami. Oleh itu, kami menjemput rakan-rakan daripada mana-mana organisasi pun untuk menyertai Sekretariat ini untuk sama-sama memperjuangkan isu ini.

Dalam masa yang sama, protes sama ada secara fizikal dan maya telah dan sedang diadakan serentak di beberapa universiti yang lain bagi menyampaikan mesej yang sama kepada kerajaan. Kami juga yakin akan ada lebih ramai mahasiswa merentas universiti yang akan turut menunjuk perasaan sebagai tanda protes dan bantahan terhadap penangguhan pelaksanaan Undi18 ini.

Sebagai mahasiswa, kami berasa bertanggungjawab untuk bercakap benar dan lantang demi kebaikan dan kemaslahatan masyarakat dan rakyat keseluruhan. Jangan nafikan suara dan hak mengundi golongan belia !

11 April 2021

Kenyataan Bersama

Sekretariat Mahasiswa Undi18 Universiti Malaya

Sekretariat :

1) Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM)
2) Demokrat UM
3) Neo-Siswa UM
4) Kelab Mahasiswa MCA(MCASiswa)
5) UMANY
6) Angkatan Mahasiswa UM
7) Mahasiswa Keadilan Malaysia UM (MKM UM)
8) Persatuan Belia Harmoni Universiti Malaya

 

Leave a Reply