[PTPTN : JANGAN MELOLONG TANPA SOLUSI]

Berikutan taklimat media yang dilakukan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, telah timbul isu yang hangat diperkatakan rakyat berkenaan  beberapa sekatan seperti sekatan perjalanan, pembaharuan lesen memandu dan lain-lain yang kononnya bakal diperkenalkan bagi memastikan para peminjam tidak lagi culas dalam membuat pembayaran wang pinjaman PTPTN. Walau bagaimanapun, cadangan yang dibentangkan ketika taklimat media tersebut hanyalah hasil cadangan daripada Konsultasi Rakyat yang dilakukan pihak PTPTN bagi mendapatkan mekanisme bayaran balik wang pinjaman PTPTN yang terbaik.

Namun begitu, walaupun cadangan itu hanyalah hasil daripada Konsultasi Rakyat berkenaan mekanisme pembayaran balik wang PTPTN suka untuk kami memberi peringatan kepada pihak tertinggi PTPTN bahawa jangan sesekali terfikir untuk mengguna pakai kembali peraturan-peraturan yang menekan dan menyusahkan para peminjam. Tambahan pula perkara ini juga bercanggah dengan hasrat Pakatan Harapan iaitu memulihkan kembali institusi ini di samping mencari solusi bagaimana mahasiswa boleh membayarnya tanpa rasa terbeban.

Pihak kami amat yakin bahawa bukanlah para peminjam tidak mahu langsung membayar kembali wang pinjaman ini, akan tetapi ianya berikutan mekanisme-mekanisme yang menekan dan tidak adil menyebabkan mereka merasa berat untuk membayarnya ditambah pula masalah-masalah ekonomi yang dihadapi peminjam-peminjam. Maka, amat penting untuk pihak PTPTN memperkenalkan mekanisme yang lebih mendasar dan meringankan mereka untuk membayar secara konsisten dan pada masa yang sama membantu memulihkan kewangan PTPTN agar manfaatnya dapat dinikmati generasi mahasiswa akan datang.

Maka, bagi memulihkan situasi ini kami berpandangan terdapat beberapa hal yang dapat dilakukan. Pertama, mengekalkan sistem lama yang baik sebagai contoh sistem Ujrah pada kadar serendah satu peratus sahaja. Dengan ini mereka tidak perlu menanggung beban bunga lagi tetapi cukup dengan membayar  jumlah asal wang yang dipinjam sahaja dan satu peratus itu hanyalah untuk menanggung kos operasi semata. Cadangan-cadangan lain di dalam hasil Konsultasi Rakyat itu juga ada yang bagus untuk dilaksanakan seperti “Skim Income Based Repayment”(IBR), potongan gaji mandatory dan meletakkan had minimum pendapatan bayaran pada kadar yang munasabah dengan taraf hidup sekarang. Pihak PTPTN juga mungkin boleh memberikan ganjaran ataupun diskaun bagi mereka yang membayar secara konsisten selama 1-2 tahun.

Kami juga memahami masalah hutang yang amat tinggi oleh pihak PTPTN iaitu hampir RM38bllion. Akan tetapi pihak PTPTN tidak harus terus-menerus menekan rakyat dengan paksaan-paksaan yang tak munasabah kerana kita perlu juga memahami situasi graduan-graduan yang sukar mendapat kerja yang stabil dan dan keadaan ekonominya. Apa yang harus diberikan penekanan ialah bagi peminjam yang amat mampu dan stabil kewangannya namun enggan membayarnya.

Besar harapan kami untuk melihat institusi ini terus mampu berfungsi dengan baik bagi maslahah generasi mahasiswa seterusnya tanpa membuat pusingan-U kepada dasar yang sudah pasti tidak kebanyakan rakyat dan bercanggah dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan. Akhir sekali kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia khususnya para peminjam untuk berpartisipasi dalam memberikan idea dan komentar mekanisme pembayaran balik pinjaman PTPTN di laman web di bawah ini.

https://www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat/my/Utama

Ahmad Syafi Hidayatullah

Timbalan Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional

 

 

 

Leave a Reply