Haziq Shafee – Hak Pendidikan Dipandang Sepi

[ISU PTPTN: HAK PENDIDIKAN DIPANDANG SEPI]

Saban hari, kita dapat lihat bagaimana komitmen kerajaan sekarang dalam mengatasi isu PTPTN yang semakin acuh tak acuh. Kalau dahulu kita dapat lihat bagaimana kelompok ini dikatakan ‘menjuarai’ kepentingan kami mahasiswa, sekarang hak kami mahasiswa seakan dipandang sepi dan hampir sahaja tidak diendahkan oleh golongan telah menabur segala macam janji kepada kami semua. Ternyata, isu berkenaan pembiayaan pelajaran mahasiswa di negara ini adalah mainan politik mereka yang mungkin sudah tidak relevan dalam spektrum perjuangan mereka.

Sangat sedih mengenangkan pengumuman terbaru yang dibuat oleh Pengerusi PTPTN, Encik Wan Saiful Wan Jan untuk meneruskan mekanisme senarai hitam imigresen yang selama ini ditentang secara bermati-matian oleh mereka sendiri. Lebih mengecewakan lagi, wujud tambahan idea yang dianggap kejam dan drakonian seperti menarik lesen memandu semasa pengumuman itu yang menjadi satu daripada pertimbangan mereka untuk dilaksanakan. PTPTN kini seolah-olah menjadi pertubuhan ‘ceti’ yang sewenang-wenangnya menggunakan segenap kuasa yang ada dalam menyelesaikan kemelut yang mereka sendiri timbulkan.

Ya, tak dinafikan adalah menjadi tanggungjawab peminjam PTPTN untuk membayarnya semula. Namun demikian, tatkala PTPTN masih mampu membuat program-program mega dan memberi sumbangan zakat yang bernilai jutaan ringgit, takkanlah tiada langsung ruang kelembutan dan toleransi kepada para graduan yang masih tercari-cari sumber pendapatan untuk menyara hidup mereka.

Sebenarnya, isu keculasan pembayaran semula ini tidaklah terlalu kritikal seperti yang digembar gemburkan. Berdasarkan infografik yang dilampirkan, nilai ‘lebih separuh yang tidak membayar’ yang dimaksudkan cumalah 51% daripada keseluruhan peminjam. Nilai ini kalau diskopkan lagi pecahannya, hanya 19% sahaja peminjam yang tidak pernah membayar pinjaman yang diperolehi sehingga kini. Dapat dikatakan bahawa, adalah tidak adil untuk kita menghukum para peminjam yang lain semata-mata keculasan kelompok 19% ini.

Daripada memikirkan penganjuran program besar seterusnya atau golongan sasar sumbangan pada masa akan datang, saya berpendapat adalah lebih baik bagi pihak PTPTN untuk mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan isu berkenaan pembayaran balik yang semakin melarat sehingga pada waktu ini.

Bersama-sama posting ini, saya mengajak rakan-rakan menyatakan pendirian anda berkenaan PTPTN pada pautan petisyen yang akan lampirkan. Sama-sama kita tuntut janji dan hak yang diuar-uaekan selama ini.

PTPTN, please keep your priorities right.

HAZIQ SHAFE’EE
MAHASISWA NASIONAL

Link petisyen: https://www.change.org/p/kembalikan-semula-faedah-diskaun-p…

Link berita: https://umno-online.my/…/akibat-ptptn-jadi-alat-untuk-raih…/

Leave a Reply