Jawapan balas kepada kenyataan Aspirasi UTHM

Kenyataan bersama oleh

Alumni UTHM:
Ahmad Zahid Amran
Abdul Majid Abd Aziz
Mohd Ashraf
Nuar Fauzi

Mahasiswa UTHM:
Hafizuddin Hassan
Arifnurfaris Abd Rahman

1. Di saat rakyat Malaysia bersatu pada PRU14 memberi mandat kepada Pakatan Harapan dan menumbangkan Barisan Nasional, pelbagai soalan persoalan muncul dan perlukan jawapan. Tak lupa juga kritikan yang telah membeku di hati telah mula mencair untuk diluahkan.

Dalam situasi begitu, seorang mahasiswa UTHM, Hafizuddin Hassan telah menulis satu status FB mengucapkan takziah kepada pihak Aspirasi UTHM dan ucapan ‘selamat maju jaya’ kerana kini menjadi pembangkang nasional.

Jatuhnya UMNO/BN bermakna jatuhlah juga Aspirasi UTHM yang sering dilabel sebagai UMNO Kampus walaupun pihak mereka sentiasa menafikannya satu masa dahulu.

2. Kenyataan Hafizudin ini nampaknya sudah memanaskan tangan-tangan penggerak Aspirasi untuk turut berbalas komen di status itu. Penggerak itu termasuklah YDP UTHM penggal ini dan bekas MPP UTHM.

Apa guna hanya berbalas komen, pihak kami meminta dikeluarkan kenyataan rasmi mengenai pendirian Aspirasi UTHM di saat tiada lagi kerajaan UMNO/BN di peringkat pusat.

3. Salah seorang mahasiswa UTHM, Arnie Farhanah telah menjadi wakil suara bagi pihak Aspirasi UTHM untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.

Memetik ringkas apa yang difahami dari status ‘Politik Kampus, Salam Takziah Aspirasi UTHM’ (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1860029967375105&id=100001043595674), barulah kami faham, prinsip politik kampus yang dipegang Aspirasi adalah sentiasa akan menyokong apa jua dasar kepimpinan universiti dan kerajaan semasa.

4. Kenyataan ini tidak lari jauh dengan pendirian Penggerak Mahasiswa UM yang juga terkenal sebagai UMNO Kampus. Maka, terjawablah sudah mengapa MPP Aspirasi UTHM mahupun penggeraknya sangat aktif dengan UMNO sebelum ini. Hingga ke tahap menyertai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan juga PEMANAS.

Secara tersirat, menjadi jurucakap kerajaan hingga apa jua yang kerajaan lakukan kepada universiti tidak mampu ditentang lagi. Termasuklah sejarah buruk IPTA, apabila bajetnya dipotong pada tahun 2015 dan 2016.

5. Kesannya, universiti terpaksa berjimat dan yuran dinaikkan. Maka, MPP Aspirasi tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka menyokong kerajaan semasa itu. Mahasiswa UTHM tak boleh menyalahkan mereka kerana mereka akan menyokong apa jua dasar kerajaan semasa.

Jika kerajaan dulu 1 Malaysia, mereka duta 1 Malaysia. Jika kerajaan sekarang bersikap begitu, maka mereka juga akan bersikap begitu.

6. Prinsip yang dipilih Aspirasi ini mungkinlah menjadi punca kenapa ada beberapa suara dan hak mahasiswa sering dipijak-pijak dan dipandang tidak bermaruah. Jadi terbuktilah sudah, Aspirasi bukanlah sebuah gerakan mahasiswa. Aspirasi adalah penggerak program kerajaan.

Sekalipun, kerajaan itu bakal memperkudakan mahasiswa untuk kepentingan survival politik mereka. Ya lah, jurucakap kerajaan.

7. Bilamana kami yang sebelum ini yang lantang menentang Aspirasi dan membawa suara mahasiswa bertanya kepada figur-figur Aspirasi UTHM, pantas kalian jawab bahawa Aspirasi akan sentiasa mendokong universiti. Dahulu bolehlah kalian kata begitu, kerana kalian sudah sebati dengan UMNO BN dan UMNO BN jugalah yang mengawal universiti di Malaysia.

Kini kerajaan sudah bertukar, kesetiaan Aspirasi kini berada di mana?

8. Dulu kalian bukan sekadar ketepikan MPP yang bukan Aspirasi, malah kalian tanpa segan silu menjadi perwakilan dalam program UMNO BN? Kini kerajaan sudah bertukar, andai kata PH laksanakan program bersama mahasiswa yang menyokongnya, adakah kalian akan turut berada di sana?

Jika benar telahan kami, makanya kalian sebenarnya berjuang untuk siapa? Untuk pemerintah atau untuk mahasiswa?

9. Benarlah penulisan Saifuddin Abdullah (bekas Timbalan Pengajian Tinggi) dalam bukunya ‘Kalau Saya Mahasiswa’ yang mengatakan bahawa di universiti akan ada organisasi yang hanya melaksanakan aktiviti mahasiswa untuk mengisi jadual tahunan.

Ada juga organisasi yang menganjurkan aktiviti bersifat bakti.

10. Tapi itu bukanlah maksud gerakan mahasiswa. Gerakan mahasiswa itu hanya ada bila ianya bersifat boleh mempengaruhi proses pembuatan keputusan universiti . Bolehlah kami ajar kepada Aspirasi bagaimana contoh-contoh proses ini.

Ianya boleh dilakukan melalui memorandum, perundingan, melobi dan lain-lain.

11. Gerakan mahasiwa juga berfungsi jika ia melibatkan proses mempengaruhi orang ramai melalui kenyataan akhbar, seminar, perhimpunan, perarakan, demonstrasi dan lain-lain.
Prinsip yang dipilih Aspirasi selama ini bukanlah gerakan mahasiswa yang boleh diharapkan untuk menjadi suara mahasiswa di dalam kampus.

Walaupun selepas bertukar kerajaan pada masa ini. Ianya demokrasi dan Aspirasi boleh meneruskan prinsipnya sebegitu dan janganlah marah jika dipanggil sebagai ‘macai kerajaan’ untuk selama-lamanya.

12. Kepada teman-teman dari aktivis mahasiswa yang berpengaruh sekalian. Inilah pendirian mahasiswa Aspirasi yang sudah biasa bersandar kepada kerajaan.

Malaysia bakal mendapat Menteri Pendidikan/Pengajian Tinggi yang baru dan pastinya aktivis-aktivis mahasiswa akan ambil kesempatan ini untuk duduk berjumpa dengan beliau dan menyatakan masalah-masalah yang ada di IPTA bawah kerajaan UMNO/BN yang dulu.

Inilah contoh yang kami dari UTHM boleh ketengahkan untuk kalian. Wujudnya satu organisasi mahasiswa yang akan sentiasa menyokong apa jua yang dibuat kerajaan tanpa ada prinsip ‘semak dan imbang (check and balance) dan organisasi tersebut adalah Aspirasi UTHM.

13. Pastinya seronok Menteri Pengajian Tinggi yang baru nanti bilamana beliau tahu akan ada kumpulan mahasiswa yang akan tetap setia menyokong mereka walau apa pun yang mereka laksanakan.

Ataupun beliau akan terkejut beruk bahawa di peringkat mahasiswa lagi sudah ada kumpulan yang berperangai seperti ahli politik tidak bermaruah, sanggup menggadaikan kesetiaan dari kerajaan lama kepada kerajaan yang baru semata mata ingin menunjukkan bahawa mereka ini mendokong dasar universiti.

14. Jadi saranan kami kepada Aspirasi UTHM, lebih baik kalian berbincang dahulu dengan penggerak Aspirasi di kampus kampus lain.

Bincang dahulu yang kalian ini sebenarnya akan bersama pihak yang mana? Kerajaan baru atau pembangkang baru? Atau akan menukar kesetiaan dan berpihak kepada mahasiswa semata-mata? Ini era Malaysia yang baru, mungkin sudah tiba masanya untuk kalian beralih kepada arah yang baru.

Biarlah gelombang politik rakyat ini membadai sekali pemikiran politik kampus kalian yang merosakkan maruah mahasiswa ini!

Leave a Reply