Dalam penulisan yang lalu di bawah tajuk “Gerakan mahasiswa adalah macai parti politik?” Kami ulas, penulis melihat banyak komen pesimistik di ruangan Facebook Nadi Mahasiswa Malaysia. Rata-rata bersifat skeptikal terhadap gerakan mahasiswa dan melihat mahasiswa hanya perlu menumpukan perhatian terhadap ruang akademik semata-mata – menunjukkan kurangnya kefahaman mereka terhadap peranan mahasiswa.

Ada juga yang mengatakan mahasiswa sememangnya macai – memperlihatkan yang mereka tidak membaca ataupun tidak memahami argumen penulisan tersebut.

Yang paling menarik perhatian ialah komen-komen tentang Adam Adli. “Tengok apa jadi dengan Adam Adli”, kata satu komen. Mereka meremehkan soal perjuangan Adam Adli terhadap PTPTN hampir sedekad yang lalu. Penulis terpanggil untuk berkongsi sedikit kisah Adam – untuk tatapan generasi lalu yang mungkin terlupa dan tidak memahami perjuangannya lalu meremehkan, dan pedoman generasi akan datang yang boleh menginsafi semangatnya.

https://www.facebook.com/NadiSiswa/posts/4934216530007967

Namanya mula naik sebagai aktivis pelajar apabila beliau ditahan pada 2011 kerana menurunkan bendera yang memaparkan gambar Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, di hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ketika itu Adam masih lagi merupakan pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan memimpin perarakan pelajar dari Masjid Jamek ke PWTC menuntut kebebasan akademik.

Malah, bagi menyatakan pendapat tegas pelajar terhadap tuntutan kebebasan akademik, Adam menggantikan bendera Najib dengan bendera yang membawa slogan kebebasan akademik.

Dinyatakan ketika itu, tujuannya adalah menyatakan ekspresi pelajar dan menyatakan satu bentuk keingkaran awam (civil disobedience). Ketika itu, apabila memorandum tuntutan mahasiswa diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Saifuddin Abdullah (kini Menteri Luar Negeri), mahasiswa yang ikut bersama perarakan tersebut hanya mendengar ucapan Timbalan Menteri. Merasakan bahawa itu tidak melambangkan kemenangan mahasiswa ketika itu, Adam kemudiannya mengambil keputusan untuk menurunkan bendera bergambar Najib.

Aksi keingkaran awam ini merupakan satu bentuk tindakan demokratik yang perlu diasingkan dari perbuatan jenayah. Kata filsuf humanis Howard Zinn, aksi keingkaran awam ini adalah aksi mengingkari undang-undang bagi tujuan sosial. Jika mengingkari undang-undang bagi tujuan peribadi, itu ialah aksi jenayah biasa.

Adam Adli, ketika menurunkan bendera Najib Razak, menggalas tujuan untuk menyatakan ketidakadilan yang berlaku dalam ruang akademik dan menuntut kebebasan akademik. Tindakan Adam ketika itu membawa mesej yang lebih besar daripada aksinya – ia melambangkan keberanian berjuang di muka penindas sekalipun berdepan risiko dari pihak berkuasa.

Antara kesan besar dari tindakannya dahulu ialah membangkitkan semangat melawan dalam kalangan mahasiswa dan dunia akademia. Masing-masing bersuara menentang ketidakadilan yang berlaku terhadap Adam dan menuntut supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda.

Tuntutan kebebasan akademik dan kebebasan berpolitik bagi mahasiswa akhirnya berterusan sehinggalah AUKU dipinda pada 2019. Ketika protes pada 2011 dahulu, mungkinlah Adam Adli dan rakan-rakannya tidak berjaya mengubah akta tersebut, tapi merekalah yang membakar semangat juang siswa dan membina dasar yang membawa kejayaan kepada mahasiswa pada 2011.

Adam merupakan muka utama mewakili mahasiswa dalam protes seperti di Bersih. Pernah juga ditahan polis kerana tuntutan beliau untuk menghapuskan hutang PTPTN. Penulis ketika ini baru saja memulakan perjalanan di sekolah menengah – namun apabila berita tentang keberanian seorang Adam Adli ini melewati ruangan media, penulis terinspirasi.

Bagaimana seorang pelajar, yang pastinya tertakluk kepada peraturan universiti, dan seorang rakyat yang berada di bawah rejim penguasa berani menongkah kekuasaan dan menyatakan pendiriannya. Penulis pun memulakan langkah memasuki ruangan aktivisme siswa beberapa tahun kemudiannya dan berjuang dengan rakan-rakan lainnya. Dan penulis pasti bahawa ada di kalangan rakan-rakan aktivis yang memulakan langkah mereka hasil dari inspirasi yang dibawa generasi Adam dan rakan-rakannya.

Begitulah kehidupan aktivis – terkadangnya terpaksa dikorbankan untuk hal yang lebih besar. Adam digantung pelajarannya selama beberapa semester oleh UPSI kerana penglibatannya dalam politik dan aksi protes.

Kalau ada komen yang mengatakan “Tengok apa yang jadi pada Adam Adli” apabila mahasiswa berpolitik, penulis rasakan itu sebenarnya satu pujian besar, dan bukanlah menjadi remehan seperti yang diinginkan oleh pemberi komen tersebut. Adam kini berjaya menamatkan pengajian beliau di UPSI, sudahpun bahagia berkeluarga dan sedang giat berpolitik. Beliau sedang bertanding sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersama peguam dan juga aktivis siswa dahulunya iaitu Kamil Munim sebagai calon Timbalan. Lawannya, Fahmi Zainol juga merupakan aktivis mahasiswa yang berani menongkah arus sewaktu memimpin pelajar Universiti Malaya.

Rencam naik turun kehidupan aktivis ini merupakan tauladan besar buat mahasiswa – baik kehidupan Adam Adli, Kamil Munim mahupun Fahmi Zainol. Masing-masing menabur jasa besar kepada pelajar zamannya dan zaman terkemudian darinya.

Panjang umur perjuangan mahasiswa!

 

Artikel ini disumbangkan oleh Ibn Al-Marxy, dan tidak semestinya mewakili pandangan Nadi Mahasiswa Malaysia.

Leave a Reply