Betapa hidup kita dikelilingi politik; di tempat kerja ada politiknya, di ruang awam ada politiknya, hatta di rumah sekalipun ada politiknya. Di mana ada kelompok – keluarga, rakan, orang awam – dan ada interaksi sosial pasti akan ada politiknya. Sama ada kehadiran politik ini disedari atau tidak, itu cerita lain.

Terma “kerajaan” ini wujud hasil dari politik dan tidaklah terhad kepada kerajaan sesebuah negara atau negeri sahaja. Dalam ruang-ruang yang kita sebutkan tadi, boleh wujud kerajaan dalam bentuk yang lebih primitif dan tak sekompleks kerajaan negara.

Ruang kampus Universiti, misalnya, ada sebuah kumpulan yang kita sebutkan sebagai mahasiswa yang punya interaksi sosial sesama mereka. Dari situ terlahirlah politik siswa, dengan kerajaan mereka yang tersendiri; biasanya dalam bentuk Majlis Perwakilan Pelajar ataupun Kesatuan Mahasiswa.

Melihat apa idealisme parti politik yang akan mempengaruhi siswa

Politik-politik ini mempengaruhi di antara satu sama lain. Ruang awam ada kesannya kepada ruang siswa, dan begitu juga sebaliknya. Perbezaannya hanyalah pada darjah kebolehpengaruhan sesuatu politik ke atas politik yang lain. Politik yang ada pengaruh yang paling tinggi semestinya politik di peringkat nasional yang memberi kesan kepada kelompok-kelompok yang lain.

Politik siswa tidak terlepas daripada pengaruh politik nasional. Ini antara perkara yang paling jelas kelihatan bagi mereka yang terlibat dalam pergerakan siswa. Parti-parti apa yang mempengaruhi itu dapat dianalisa jelas. Namun, yang biasa terlepas dari pandangan awam adalah perihal sebab dan kesan hasil dari pengaruh ini.

Kita perlu lihat apa pengaruh yang disebarkan parti politik nasional ke dalam politik mahasiswa. Parti politik nasional diasaskan dengan ideologi seperti nasionalisme, Islamisme, keadilan sosial, kesamarataan ekonomi dan lain-lain.

Pegangan ini menjadi teras dalam perjuangan parti-parti politik. Secara idealnya, idea-idea teras ini yang disebarkan kepada kumpulan-kumpulan mahasiswa sebagai tonggak pergerakan mereka. Dari situ kita lihat bagaimana mahasiswa mengatur diri mereka menerusi idea ini.

Kita lihat ada kelompok mahasiswa yang sifatnya Islamis yang membawa pergerakan bersifat keagamaan; ada pula yang nasionalis, menegakkan perjuangan bangsa dan menjadikan sifat kebangsaan itu sebagai teras.

Sekalipun pada dasarnya kita lihat pengaruh parti politik ini adalah pada ideologinya, namun hakikatnya agenda parti juga meresap masuk ke dalam politik siswa. Ia satu rahsia terbuka bahawa ada pergerakan mahasiswa di kampus yang merupakan proksi parti politik nasional.

Pergerakan mereka disokong oleh parti-parti politik nasional dan terkadangnya dibiayai juga oleh mereka. Antara misi utama proksi-proksi ini – selain dari menggiatkan diri dalam politik kampus – adalah untuk mengkader siswa-siswa untuk parti-parti mereka.

Proksi-proksi ini kebiasaannya mempunyai satu jaringan yang lebih luas dengan rakan-rakan proksi mereka d kampus lain. Ada yang memakai nama yang serupa, ada juga yang berbeza.

Seperti ada kebangkitan yang berlaku selepas 2018

Sejak 2018, terdapat pula satu gelombang kebangkitan dari satu bahagian dalam pergerakan siswa – sayap mahasiswa parti politik. Isu AUKU yang mengekang mahasiswa dari berpolitik ketika itu sedang menghadapi perubahan. Terdapat pindaan yang membenarkan kegiatan mahasiswa dan para perlajar dalam dunia politik.

Sedari itu, mahasiswa yang merupakan ahli parti-parti tertentu, atau mereka yang sekadar berpegang kepada idea sesebuah parti tanpa menyertai parti tersebut, mula menyusun pergerakan mereka dan memakai nama parti mereka. Mahasiswa Keadilan Malaysia dan Kelab Mahasiswa UMNO, sebagai contoh.

Kumpulan ini bermula di peringkat kebangsaan dan kemudiannya menapakkan diri dalam kampus-kampus universiti melalui penubuhan pergerakan cabang kampus. Pengkaderan melalui sayap parti politik ini adalah lebih jelas berbanding proksi yang kita nyatakan tadi.

Sebagai rakyat Malaysia, menjadi satu hak untuk menyertai mana-mana persatuan dan parti politik. Hak ini juga termaktub buat mahasiswa. Penglibatan mahasiswa dalam pergerakan politik – baik dalam pergerakan proksi, sayap mahasiswa parti politik mahupun pergerakan peribadi – merupakan satu petanda yang sihat buat negara.

Golongan terpelajar ini tidak lagi takut untuk menyatakan pendirian dan memilih jalan politik mereka. Namun, penglibatan dan pergerakan ini juga memerlukan satu pemerhatian kritikal agar ada semak dan imbang terhadap pengaruh parti politik di kampus.

Politik kampus ada ekosistemnya yang tersendiri. Dari situ wujud nilai yang mandiri berdasarkan sejarah dan hubungan sosial mahasiswa. Pergerakan mahasiswa, oleh itu, perlu difahami dalam konteksnya yang tersendiri. Masalah yang dihadapi, solusi yang perlu dicari – ini semua sesuatu yang perlu diamati secara mandiri.

Pengaruh parti politik di kampus boleh membantutkan kemandirian ini jika tidak disemak oleh mahasiswa. Pengaruh yang kuat dan tidak disemak akhirnya akan menjadikan politik kampus sebagai ruang untuk parti politik bertempur – sama seperti di luar sana namun dalam skala yang lebih kecil.

Politik siswa adalah untuk siswa. Jika proksi dan pergerakan siswa yang berkisarkan politik nasional tak memahami ini, mereka hanya akan bertempur dan berpolitik untuk kepentingan parti penaung mereka di peringkat nasional. Politik akan menjadi medan untuk menyebarkan pengaruh asing semata-mata. Asing di sini dalam erti kata ia tidak wujud secara mandiri dalam konteks dan ekosistem kampus tetapi dibawa dari luar kampus untuk diterapkan di dalam.

Bukan semua pergerakan mahasiswa itu ‘macai’

Penulis tidak memukul rata dengan mengatakan proksi dan sayap mahasiswa parti politik ini misinya hanyalah untuk pengaruh dan pengkaderan tanpa memikirkan tentang kebajikan mahasiswa. Banyak contoh dari rakan-rakan penulis sendiri yang terlibat dengan pergerakan sebegitu yang fokus kepada isu-isu siswa.

Yang ingin ditekankan penulis adalah soal kemandirian. Kumpulan sebegini perlu disemak imbang, dan perlu menyemak imbang diri mereka sendiri, supaya mereka memahami realiti politik kampus itu adalah khusus kepada mahasiswa dan bukan parti politik nasional.

Sudah tentu bukan mahasiswa sahaja yang merupakan warga kampus – staf akademik dan pentadbiran juga adalah warga kampus. Tidak dinafikan juga bahawa mereka juga dipengaruhi oleh parti politik nasional dan mempunyai kemungkinan (sebahagiannya agak besar) untuk menyebarkan atau memasakkan pengaruh tersebut di kampus.

Namun itu adalah perbincangan besar yang lain yang tidak mampu dimuatkan dalam tulisan ini.

Akhir kalam, ruang politik kampus ini adalah sesuatu yang eksklusif buat warga kampus terutamanya mahasiswa. Ini yang menjadikan politik kampus itu unik dan tidak seharusnya dicemari oleh pengaruh parti politik nasional yang mempunyai agenda yang tersendiri. Agenda mahasiswa itu yang perlu diutamakan dalam ruang politik kampus. Dari siswa, kepada siswa.

Leave a Reply