Tanggal 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencatat sejarah kemerdekaan daripada kuasa penjajahan Barat. Setelah 400 tahun Tanah Melayu dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan keganasan komunis, rakyat di Tanah Melayu sudah mula sedar akan berkerajaan sendiri. Tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan ideologi, semua rakyat di Tanah Melayu mula bersatu dengan berkongsi hak masing-masing demi mencapai kemerdekaan negara. Sikap toleransi dan hormat-menghormati ini telah membawa Persekutuan Tanah Melayu ke arah pembentukan sebuah negara yang diberi nama Malaysia.

Nama Malaysia ini bukan wujud pada tahun 1963 malah, nama Malaysia sudah mula dilakarkan di dalam kitab sejarah sejak abad ke-19 lagi. Pada tahun 1831, seorang pengembara dari Sepanyol yang bernama Jules Dummont D’Urville telah menggelarkan kepulauan melayu ini sebagai ‘Malaisnesie’ yang membawa maksud Kepulauan Melayu. Kemudian nama tersebut telah ditukar kepada ‘Malaisie’. Nama ini ditukarkan oleh seorang tokoh Inggeris yang bernama Thomes G Braford menjadi Malaysia pada tahun 1835.

Itu adalah sedikit perkongsian sejarah tentang permulaan nama Malaysia yang ramai tidak tahu. Kita berbalik kepada perbincangan tadi. Setelah kemerdekaan sudah tercapai, maka pembentukan negara Malaysia mula direncanakan. Satu suruhanjaya telah dibentuk atas perkenan British iaitu Suruhanjaya Cobbold yang diketuai oleh Lord Cobbold. Suruhanjaya ini telah ditubuhkan pada tahun 1962 bagi membantu Persekutuan Tanah Melayu membentuk negara Malaysia.

Suruhanjaya Cobbold ini telah meminta pandangan dan persetujuan daripada Borneo (Sabah), Sarawak, Brunei dan Singapura untuk bergabung bersama Persekutuan Tanah Melayu untuk mewujudkan sebuah negara yang bernama Malaysia. Tujuan penubuhan negara Malaysia adalah untuk mengekang penyebaran fahaman dan unsur komunis dan menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

Setelah kaji selidik dilakukan oleh suruhanjaya tersebut, 80% rakyat daripada negeri-negeri tersebut telah bersetuju untuk bergabung. Namun, rakyat Brunei tidak bersetuju sekiranya Sultan mereka tidak diangkat menjadi Yang di-Pertuan Agong. Jadi, Brunei telah berkecuali daripada gabungan tersebut. Banyak dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh negara semasa ingin menubuhkan negara Malaysia. Salah satunya adalah penentangan daripada negara Indonesia. Presiden Indonesia ketika itu Soekarno tidak bersetuju dengan penubuhan negara Malaysia.

Presiden pertama Indonesia ini mendakwa penubuhan negara Malaysia ini adalah idea penjajahan baru inggeris. Slogan “Ganyang Malaysia” mula diserukan dan mulalah kebangkitan rakyat Indonesia menentang Malaysia. Selain itu, tidak lupa juga dengan pemimpin negara Filipina Diosdado Macapagal yang menentang penubuhan Malaysia atas desakan beliau mengatakan bahawa Sabah sebahagian daripada Filipina.

Negara Malaysia sepatutnya ditubuhkan pada 31 Ogos 1963. Setelah mendapat tentangan daripada negara-negara lain, maka pengisytiharaan ini telah ditangguhkan pada tarikh 16 September 1963 yang disambut sehingga sekarang.

Namun, pada tanggal 9 Ogos 1965, Singapura di bawah pimpinan presiden pertama iaitu Lee Kuan Yew telah membawa Singapura keluar daripada gabungan Malaysia dan menubuhkan kerajaaan sendiri. Perjuangan para pemimpin dan tokoh-tokoh yang terlibat dalam pembentukan Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman yang juga Bapa Kemerdekaan perlu diingati dan disemat dalam jiwa anak-anak muda. Pelbagai cabaran dan halangan yang melanda negara kita, namun dapat ditangkis dengan kebijaksanaan tokoh kita dengan mengadakan rundingan secara aman tanpa ada sebarang pertumpahan darah. Semoga perjuangan mereka sentiasa diingati.

Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia.

MUHAMMAD AZHA BIN SALAHUDIN,
Angkatan Muda Keadilan,
Cabang Setiawangsa.

Leave a Reply