Azha Salahudin – Anak Muda Benci Sejarah?

Mengikut kefahaman penulis,sejarah ini bermaksud sesuatu peristiwa yang berlaku pada tahun-tahun tertentu atau dalam bahasa Arabnya sering dipanggil sirah. Setiap peristiwa yang berlaku sama ada peristiwa besar atau kecil akan dicatatkan sebagai sejarah sama ada sejarah negara atau sejarah dunia.

Golongan yang bertanggungjawab dalam menyelidik dan mengkaji tentang kesahihan sejarah ini dipanggil sebagai sejarahwan. Menjadi seorang sejarahwan bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Banyak penyelidikan dan kajian yang perlu dilakukan seperti membaca, menganalisis, menziarah tempat peristiwa dan menemubual tokoh atau individu yang terlibat dengan sesuatu peristiwa tersebut. Sekiranya seseorang itu mengambil pengajian sejarah, sudah tentu banyak perkara yang perlu diingati. Contohnya nama-nama tokoh,tarikh atau tahun, jalan cerita yang menyebabkan peristiwa itu berlaku, tempat kejadian dan nama-nama individu yang terlibat.

Sekiranya kita kurang mengetahui tentang sejarah dunia tidak mengapa. Tetapi sebagai warganegara Malaysia yang cintakan negara, sejarah Malaysia atau Tanah Melayu wajib diketahui oleh semua rakyat tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain yang hidup bersama dibumi bertuah ini.

Negara yang diberi nama Malaysia ini sememangnya mempunyai pelbagai sejarah yang menarik untuk diceritakan, cuma bergantung kepada diri individu itu sendiri sama ada suka atau tidak suka untuk mempelajarinya. Penulis boleh katakan bahawa mereka yang tidak meminati untuk mempelajari sejarah merupakan golongan yang kerugian. Memetik kata-kata George Santayana (1863-1952);”Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.” Penulis amat tertarik dengan kata-kata tokoh falsafah dari Sepanyol ini kerana ianya memberi kesedaran kepada penulis bahawa sejarah itu amat penting untuk difahami dan dihayati.

Malangnya, sejarah negara kita sering dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak bagaikan tiada nilai langsung disisi mereka. Penekanan dan kepentingan mempelajari sejarah ini sering dilihat sebagai tidak menjamin masa depan anak muda.

Jadi, apakah punca yang menyebabkan anak muda jahil dan bosan tentang sejarah? Dalam penulisan kali ini, penulis akan cuba merungkaikan permasalahan yang begitu besar kesannya terhadap jiwa anak muda.

Masalah utama yang menjadi punca kepada permasalahan ini adalah anak muda tidak diberi penekanan oleh ibubapa dan masyarakat tentang kepentingan mempelajari sejarah sejak diperingkat sekolah. Semasa di zaman persekolahan dahulu, pelajaran yang amat dibenci oleh kebanyakan pelajar adalah mata pelajaran sejarah. Sering menjadi zikir harian mereka mengatakan bahawa subjek sejarah amat membosankan. Ibubapa pula cukup mementingan mata pelajaran lain yang lebih menjamin masa depan anak-anak mereka seperti subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Pada tahun 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan kenyataan supaya mata pelajaran sejarah dijadikan salah satu subjek utama wajib lulus dalam ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan KPM ini bukanlah untuk membebankan para pelajar,tetapi mengutamakan nilai sejarah yang dipelajari agar dapat melahirkan insan yang mempunyai jati diri dan semangat patriotisme. Malangnya, nilai sejarah itu hanya diingati semata-mata untuk luluskan peperiksaan dan setelah tamat peperiksaan, nilai sejarah itu dibuang jauh dari lubuk hati.

Seterusnya, intipati dan kandungan buku sejarah yang kurang menarik. Kita sering melihat bahawa anak muda kurang berminat untuk membaca buku terutama sekali buku yang berkaitan dengan sejarah. Keadaan buku yang tebal, tulisan yang kecil dan jumlah gambar-gambar yang dipaparkan sedikit telah mengurangkan minat anak muda untuk membaca. Kita perlu melakukan reformasi terhadap kandungan buku sejarah di negara kita dengan memperbanyakkan gambar-gambar tokoh dan tempat serta menggunakan font yang lebih sesuai untuk menarik minat anak muda untuk membaca.

Mempelajari sesuatu perkara tidak semestinya melalui pembacaan. Pelbagai cara lagi yang boleh dilalukan untuk mempelajarinya. Sekiranya anak muda malas untuk membaca, mereka juga boleh memperlajarinya dengan menonton filem-filem sejarah yang ditayangkan dikaca television atau di media sosial. Antara filem yang berjaya dihasilkan oleh anak tempatan adalah filem Tanda Putera (2013), Leftenan Adnan (2000), 1957 Hati Malaya (2007), Raja Haji (2016) dan filem karya agung Tan Sri P. Ramlee, Sarjan Hassan (1958). Melalui tontonan filem sejarah seperti ini, maka banyak input, maklumat dan fakta yang boleh kita perolehi dan memudahkan anak muda untuk memahami tentang intipati yang hendak disampaikan dalam filem-filem yang dihasilkan ini.

Syabas dan tahniah penulis ucapkan kepada industri filem negara. Semoga industri filem negara terus berkembang maju dengan menghasilkan lebih banyak lagi karya yang bersangkut paut dengan sejarah negara.

Pendedahan yang khusus juga berkenaan kepentingan sejarah perlu diberi keutamaan utama kepada anak muda dengan mengadakan program supaya dapat menarik minat anak muda untuk mempelajari sejarah. Pendedahan ini perlu dilakukan sejak diperingkat pendidikan rendah hingga ke peringkat tinggi. Bagi mahasiswa yang berkecimpung dalam pentadbiran universiti, mereka perlu mewujudkan satu persatuan atau kelab yang terdiri daripada mahasiswa sendiri untuk menganjurkan program-program khas berkenaan dengan kepentingan sejarah.

Penulis cukup tertarik dengan himpunan yang diadakankan oleh penganjur Himpunan Rapat Umum Muda 2 tahun lepas di Kuala Lumpur. Motif utama himpunan ini diadakan bertujuan untuk memperingati perjuangan parti Angkatan Pemuda Insaf (API) yang merupakan sayap pemuda Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 15 Februari 1946 untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah British di Tanah Melayu. Pelbagai acara yang diadakan seperti berarak beramai-ramai dengan melaungkan slogan keramat merdeka, memberi penerangan kepada umum tentang asas perjuangan API dan membuat persembahan.

Sebagai pengakhiran penulisan ini, penulis berharap bahawa anak muda cuba untuk mempelajari sejarah negara. Tidak rugi sedikit pun sekiranya kita mempelajarinya. Malah ianya akan menjadi lebih menarik sekiranya penyampaian sejarah itu betul dengan caranya. Semoga Malaysia dapat melahirkan lebih ramai sejarahwan yang berkualiti seperti Syed Husin Ali, Syed Hussien Al Attas, Wan Shamduddin Yusof, Prof Khoo Kay Kim dan ramai lagi. Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara dan memulihara sejarah negara akan sentiasa dikenang dan diingati.

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN
Angkatan Muda Keadilan,
Cabang Setiawangsa.

Leave a Reply