12 September 2020, Presiden Amerika Syarikat iaitu Donald Trump dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa beliau yakin Palestin akan menyertai Perjanjian Damai diantara Israel dan negara-negara Arab yang lain yang dikenali sebagai “Abraham Accord”. Hal ini kerana negara-negara Arab yang lain mengambil langkah yang sama seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang telah memeterai perjanjian damai dengan Israel.

Sebelum itu, kita perlu mengetahui sejarah wujudnya negara Palestin ini. Sejak tertubuhnya negara Israel pada tahun 1948, timbul reaksi kurang senang oleh kebanyakkan pemimpin dunia Arab khususnya seperti Mesir, Jordan dan Lubnan rentetan daripada keupayaan Israel dalam meluaskan pengaruhnya yang merentasi negara-negara arab lain dengan bantuan dan sokongan yang kuat daripada Amerika Syarikat dan Britain.

Oleh yang demikian, Mesir, Jordan dan Syria mengambil pendekatan yang boleh dikatakan berani untuk berperang dengan Israel kerana negara-negara ini merasakan kedaulatan negara mereka sudah tercabar. Israel tidak berdiam diri sehingga telah melancarkan perang selama enam hari. Perang enam hari atau lebih dikenali sebagai Perang Arab-Israel 1967 telah meletus dan telah menjadi titik hitam dalam sejarah dunia pada 5 Jun 1967 dan berakhir pada 11 Jun 1967. Proksi yang telah terlibat menyaksikan Israel di satu pihak dan Mesir, Syria dan Jordan di pihak yang lain.

Peperangan ini telah memihak kepada Israel telah memberikan kesan yang sangat mendalam ke atas pembentukan negara Palestin dan turut memberikan kesan kepada negara-negara Arab yang lain. Pada 10 Jun 1967, secara mutlak dan rasminya kemenangan telah berpihak kepada Israel dan Israel telah berjaya menguasai majoriti kawasan yang selama ini menjadi rebutan negara-negara timur tengah. Rentetan daripada inilah kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Britain berperanan untuk meluaskan pengaruh mereka terhadap negara-negara Arab yang lain serta telah memberikan kesan kepada persepsi penduduk palestin kepada negara Arab, wujudnya gerakan gerila Palestin, Perubahan Geopolitik Timur Tengah dan tercetusnya Peperangan Yom Kippur pada Oktober 1973.

Sedar atau tidak, pendekatan realism yang telah diambil oleh Israel sejak kebelakangan ini telah menjadikan siri kejayaan Israel sebagai kejayaan diplomatik yang dilihat Israel semakin menghampiri cita-citanya untuk menjadi Israel sebagai “The Greatest Israel” atau hagemoni Yahudi yang bermatlamat untuk menguasai kawasan Sungai Nil sehingga ke Sungai Euphrates.

Berbalik kepada topik utama, pada 11 September 2020, Presiden Donald Trump telah mengadakan satu panggilan telefon bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Raja Bahrain iaitu Raja Hamad Isa Al- Khalifa. Dalam panggilan telefon tersebut, Bahrain telah mengambil pendekatan untuk mengumumkan perjanjian damai bersama Israel yang dikenali sebagai perjanjian Abraham susulan UAE yang diketuai oleh Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed Zayed telah mengambil pendekatan untuk menyertai perjanjian itu.

Tujuan utama perjanjian damai yang dikenali sebagai “Abraham Accord” ini adalah sebuah perjanjian diplomatic diantara UAE dan Israel yang merupakan perjanjian perdamaian pertama Israeldengan negara Arab dalam 25 tahun. Mantan penasihat Presiden Israel iaitu Nadav Tamir mengatakan bahawa perjanjian ini akan menghentikan pencabulan yang berterusan ka atas wilayah Palestin oleh Israel.

Kenyataan ini juga senada dengan apa yang dikeluarkan oleh Donald Trump yang mengatakan bahawa perjanjian diantara Israel dan negara-negara ini adalah dikatakan inisiatif diplomatik untuk menyatukan Israel dengan negara-negara Arab di Asia Barat di samping Benjamin Netanyahu berkata “ini era baharu bagi keamanan, keamanan untuk keamanan. Ekonomi untuk ekonomi”. Bahrain dan Israel bakal menubuhkan kedutaan masing-masing di samping memulakan penerbangan antarabangsa dan kerjasama dalam pelbagai sektor antara kedua-dua negara ini. Walau bagaimanapun, tindakan Emeriyah Arab Bersatu (UAE) menormalisasikan hubungannya dengan negara Israel telah dikecam sekeras-kerasnya oleh majoriti negara-negara Islam di seluruh dunia.

Selepas perjanjian itu diumumkan, kepimpinan Palestin iaitu Nabil Abu Rudeineh telah mengecam tindakan UAE yang telah disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada Baitulmaqdis, Al-Aqsa dan perjuangan rakyat Palestin. Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kebebasan Palestin (PLO) iaitu Dr Hanan Ashrawi turut membantah sekeras-kerasnya tindakan yang telah diambil oleh UAE. Selain itu, Turki melalui Kementerian Luarnya turut mengecam sekeras-kerasnya perjanjian itu.

Keputusan yang telah diambil oleh negara-negara Arab ini diibaratkan seperti membunuh diri kerana sudah pasti Israel dan negara-negara kroninya akan terus mengambil peluang keemas an ini untuk menakluki negara Arab terutamanya Palestin yang kian merempat di negara sendiri. Walaupun Donald Trump menyatakan bahawa perjanjian ini adalah perjanjian untuk menyatukan negara-negara Arab, tidak bermakna Israel dan sekutu-sekutunya tidak boleh mengkhianati perjanjian yang telah dibuat.

Mereka akan terus berpendirian untuk memonopoli negara-negara kecil seperti Palestin kerana mereka percaya bahawa Tanah Israel ialah tanah yang dijanjikan tuhan untuk Israel. Israel akan mencari jalan untuk sentiasa menguasai kawasan Sungai Nil sehingga ke Sungai Euphrates walau dengan apa cara sekalipun. Walaubagaimanapun, pendekatan yang dianggap paling selamat adalah di mana negara-negara Arab ini terus bekerjasama dan menjalinkan hubungan bilateral dan multilateral diantara kalangan negara-negara Arab sendiri seperti Iran dan Turki dan bukannya menandatangani perjanjian damai bersama Israel.

Walau bagaimanapun, pada hemat saya, kejayaan yang telah dilakukan oleh Presiden Amerika pada kebelakangan ini ini adalah pendekatan yang bersifat populis untuk meraih sokongan daripada penganut Kristian pro-Israel untuk membuang undi kepadanya memandangkan pilihan raya Presiden Amerika syarikat yang akan berlangsung pada 3 November ini.

Donald Trump juga turut memberi bayangan bahawa Kosovo bakal mengambil langkah yang sama untuk mengiktiraf Israel dan Serbia telah mengambil pendekatan untuk memindahkan kedutaanya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Jika Donald Trump berterusan memainkan isu yang bersifat populis seperti ini, besar kemungkinan yang Donald Trump akan berjaya memenangi pilihan raya Presiden yang bakal dilangsungkan tidak lama lagi.

MUHAMMAD AZRI FAHMI BIN MOHD HILMI,
Mahasiswa Sains Politik,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Leave a Reply