Pada sekitar jam 3 petang, saya dan rakan seperjuangan saya daripada UMANY, sebuah gerakan pelajar, berkumpul di tempat menunggu bas berdekatan Restoran Amjal (sekitar 30 meter daripada restoran tersebut), untuk mengadakan protes aman terhadap sikap hipokrit Najib Razak dan skandal 1MDB. Kami ingin menyatakan kami sebagai rakyat Malaysia tidak akan pernah lupa dengan penglibatan beliau dalam skandal kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia dan bagaimana beliau telah mencabuli sistem demokrasi negara ini walaupun beliau cuba sehabis baik untuk mendapatkan sokongan rakyat semula untuk kelangsungan karier politik beliau. Kami menggesa agar Najib Razak menebus semula segala salah laku dan penyelewengan yang dilakukan beliau ketika tempoh pemerintahannya serta membuat permohonan maaf terbuka terhadap seluruh rakyat Malaysia

Namun begitu, protes aman kami bertukar menjadi kacau-bilau apabila terdapat satu kumpulan, dipercayai penyokong Najib Razak, mula mengelilingi kami, mengertak dan menyerang kami. Saya ingin menegaskan kami tidak membuat sebarang provokasi sepanjang kejadian tersebut. Kami hanya berdiri mengangkat plakad tanpa mengeluarkan suara. Kami ingin menegaskan, kami sedang menjalankan hak kami untuk bersuara dan berhimpun tanpa senjata, bertepatan dengan Artikel 10(1)(a) dan (b)

Apabila kumpulan penyokong tersebut mempersoal kehadiran kami, kami membalas, “Ini adalah hak kita untuk berhimpun!”

Ketika mereka mula menyedari kehadiran kami, mereka mula mengambil gambar, sebelum mereka melintas jalan dan mengerumuni kami.

Kami dilontarkan pelbagai kata-kata yang menyentuh kaum dan mereka berjaya merampas plakad kami. Kami ditolak, ditarik, dicakar, ditampar dan sehinggakan saya dicekik dengan kasar oleh mereka. Kami diselamatkan oleh polis yang bertugas di tempat kejadian tetapi kami masih diserang oleh penyokong Najib Razak sehinggakan kami dikejar sejauh 50 meter ketika kami bergerak pulang ke Universiti Malaya.

Kami mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk kekasaran dan sentuhan fizikal terhadap pelajar. Budaya samseng dan penyangak ini tidak seharusnya wujud di Malaysia.

‘Silent Protest’ ataupun bantahan secara senyap dan berdiam diri adalah amalan demokratik yang sah dan hak yang dijamin perlembagaan. Saya telah terlibat dalam pelbagai siri bantahan dan himpunan, sebelum dan selepas 9hb Mei 2018. Ketika Dr Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM, saya bersama Asheeq Ali, Izzah dan kumpulan gerakan pelajar yang lain membantah pelantikan beliau. Ketika gaji minima diumumkan sebantak RM 1050, saya bersama MTUC, membantah dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, YB Kulasegaran. Apabila belanjawan Universiti Malaya dipotong, saya berada di parlimen, mengadakan ‘silent protest’ dan menyerahkan memorandum kepada Dr Maszlee dan ahli parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang, untuk menggesa mereka supaya memandang isu ini dengan lebih serius dan membahaskan isu ini di sidang parlimen, dalam usaha meningkatkan peruntukan untuk belanjawan Universiti Malaya. Apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan mereka hanya akan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan bukannya memansuhkannya, saya bersama rakan seperjuangan saya daripada GPA berada di parlimen, kami membantah di dalam ruang legar parlimen dengan mengangkat plakad, menggesa agar AUKU dimansuhkan segera.

Segala bantahan yang dinyatakan telah dilaksanakan dengan aman tanpa sebarang bentuk gangguan seperti yang telah saya terima pada kali ini.

Namun begitu, situasi agak berbeza semalam, ketika saya rakan seperjuangan saya daripada UMANY melakukan ‘silent protest’ sejauh 35 meter daripada restoran tersebut. Kami dilemparkan dengan segala kata-kata kesat dan diancam untuk dicederakan seperti ‘pecah kepala’. Oleh yang demikian, saya ingin bertanya kepada Najib sendiri. Jika pemimpin sepatutnya bersedia untuk dipersoal, kenapa bukan anda, kerana anda sering mendakwa diri anda sebagai ‘boss’? Apa yang anda takutkan? Adakah anda takut kehilangan penyokong apabila kebenaran tersingkap? Saya suka untuk memetik pepatah yang berbunyi: ‘Siapa yang makan cili, dia yang terasa pedas”

Kami tidak gentar dengan sebarang tekanan dan ancaman daripada mana-mana parti, sama ada daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang. Penting untuk para pelajar yang mewakili kumpulan terpelajar, berdiri teguh dengan prinsip, berani menyatakan kebenaran dan mempertahankan hak sebagai rakyat Malaysia.

Saya ingin menyedarkan kumpulan samseng ini, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang. Tiada siapa yang mempunyai hak untuk melakukan keganasan ataupun menimbulkan perselisihan kaum semata-mata ingin mempertahankan ‘boss’ mereka.

Saya sekali lagi ingin menuntut terhadap Najib Razak dan penyokong beliau yang terlibat dalam kejadian serangan tempoh hari agar membuat permohonan maaf terbuka kepada kami kerana tidak menghormati hak asasi kami. Berhenti berpura-pura tidak tahu seperti seorang badut!

Wong Yan Ke
Presiden UMANY

Leave a Reply