KENYATAAN MEDIA: GAMIS DESAK KETUA HAKIM NEGARA & PEGUAM NEGARA LETAK JAWATAN

20 Januari 2019 M | 14 Jamadil Awal 1440 H

  1. Rakyat Malaysia dikejutkan dengan tersebarnya satu klip video yang memaparkan Ketua Hakim Negara (Tan Sri Richard Malanjum), Peguam Negara (Tommy Thomas) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (YB Liew Vui Keong) yang sedang bergembira menari dan berdansa dalam satu majlis makan malam Opening of Legal Year (OLY) peringkat Sabah dan Sarawak.
  2. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ketua Hakim Negara yang bercanggah dengan Warta Kerajaan yang bertarikh 25 Jun 2009 iaitu Kod Etika Hakim 2009 seperti berikut:

SEKSYEN 6

6(1) Seseorang hakim hendaklah, pada setiap masa, berkelakuan mengikut cara yang menggalakkan integriti dan kesaksamaan badan kehakiman.

(2) Seseorang hakim tidak boleh:

(c) memberikan atau membenarkan orang lain memberikan gambaran kepada mana-mana orang bahawa mereka berada dalam kedudukan yang istimewa untuk mempengaruhinya.

SEKSYEN 8

8(2) Seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah.

8(7) Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang hakim.

  1. Manakala, Peguam Negara Malaysia merupakan seorang penasihat undang-undang utama kepada kerajaan Malaysia sepertimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara pada Perkara 145.
  2. Tindakan yang telah dilakukan oleh pihak berkenaan telah memberi satu tanggapan dan kritikan negatif kepada sebuah institusi yang mempunyai peranan besar dalam urus tadbir negara iaitu institusi kehakiman. Sikap tidak profesional dan mengaibkan yang ditunjukkan oleh mereka telah membuka ruang persepsi bahawasanya integriti dan kredibiliti badan kehakiman negara telah tercalar.
  3. Oleh itu, GAMIS mendesak agar Tan Sri Richard Malanjum dan Tommy Thomas untuk LETAK JAWATAN dengan cara yang terhormat bagi memastikan integriti dan kehormatan institusi kehakiman negara terus terbela.
  4. Sudahlah rakyat dibebankan dengan menteri yang silap titik perpuluhan, bergambar di dalam tab mandi tanpa berbaju, minta penoreh getah untuk menoreh ketika musim tengkujuh. Kita tidak mampu tanggung lagi beban sebegini dengan membiarkan jawatan penting negara diisi oleh individu-individu yang gagal membela kehormatan diri mereka sendiri.

MARA BERSAMA ISLAM

MUHAMMAD IKHWAN NASYRIQ BIN SALAHIN
PRESIDEN
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2019

Leave a Reply