Secara umumnya, apa yang dimaksudkan dengan intelektual ? Menurut James Maccregor Burns dalam bukunya Leaderships, intelektual ialah a devotee of ideas, knowledge and values atau seorang yang terlibat secara analitis dan kritis dengan nilai, tujuan dan cita-cita yang diperjuangkan. Intelektual juga pendukung atau penentang sesuatu ideologi , budaya dan pembawaan masyarakat serta melihat perkara dalam perspektif yang berbeza.

Buku ini asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris yang bertajuk Intellectuals in Developing Societies. Buku ini mengandungi 11 bab secara keseluruhannya. Antara bab yang menjadi perhatian dan penelitian pengulas ialah bab yang menjelaskan berkenaan bebalisme, orang pandir dalam masyarakat membangun, kemunculan kaum intelektual dan kaum elit mundur dan masalah penyebabnya. Buku ini secara umumnya tidak memberikan kita satu penyelesaian secara langsung kepada masalah kemunduran yang dihadapi tetapi penulis memberi kita suatu kesedaran dan pemikiran bagaimana kita ingin menyelesaikan cabaran yang dilalui pemimpin dan masyarakat.

Penulis buku ini dilihat bimbang dan memberi perhatian kepada kemunduran masyarakat dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan. Bagi beliau, faktor kepada masalah ini adalah disebabkan kekurangan kepimpinan intelektual ataupun golongan ini wujud tetapi gagal untuk berfungsi dengan sempurna. Beliau juga membawa kepada tiga persoalan dalam buku ini iaitu mengapa kelompok intelektual diperlukan dalam masyarakat berkembang ? Persoalan seterusnya adalah jenis (kelompok) apakah yang terbaik untuk memenuhi keperluan itu dan persoalan yang terakhir ialah apakah rintangan yang menghalang kemunculan dan berfungsinya kelompok ini. Dalam konteks masyarakat, masalah yang seharusnya diberikan perhatian oleh kelompok intelektual terbahagi kepada dua iaitu masalah teoretis dan masalah praktikal.

Menurut Syed Hussein, masalah utama dalam bidang pengetahuan ialah minda tertawan (captive mind). Menurut teori tawanan minda, minda tertawan itu bercirikan cara memikir yang dikuasai oleh pemikiran Barat. Salah satu daripada tujuan utama intelektual adalah membebaskan diri daripada tawanan minda ini.

Dalam buku ini, kita dapat melihat penulis mencipta suatu istilah,  jadong iaitu jahat, bodoh dan sombong. Pemimpin atau masyarakat yang memiliki sikap ini pastinya tidak dapat memberi sumbangan dan menjadi halangan kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara.

Suatu perkara yang kita perlu sedar adalah golongan intelektual tidak semestinya yang memiliki kelayakan akademik. Sebaliknya, seseorang yang tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila kemampuan berfikirnya dimanfaatkan sebaik-baiknya. Ahli politik juga tidak semestinya golongan intelektual. Sesiapa sahaja boleh menjadi intelektual walaupun walaupun berlatarbelakangkan perkerjaan dan taraf pendidikan yang berbeza.  Sama juga dengan situasi semasa negara di mana sesetengah golongan terpelajar tidak dapat berfikir dengan kritis dan analitis dalam sesuatu pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah.

Seterusnya, penulis juga menerangkan konsep intelektual dan inteligensia yang sering dikelirukan maksudnya. Inteligensia bermaksud mereka yang telah mendapat pendidikan formal dan merupakan pakar dan golongan profesional. Penulis dilihat memasukkan pemikiran sarjana dan tokoh-tokoh terkemuka seperti Jamaluddin al-Afghani, Rabindranath Tagore, Trotsky yang masing-masing memberi hujah akan ketiadaan semangat dan pertumbuhan kelompok intelektual. Seterusnya, penulis menegaskan bahawa ketiadaan intelektual bermakna tiadanya kepemimpinan dalam pengajuan, pentakrifan, analisis dan penyelesaian masalah. Penulis juga banyak membuat contoh perbandingan menggunakan negara seperti Rusia, China, Jepun, Filipina dan India.

Selain itu, penulis mengetengahkan masalah penguasaan orang bebal dalam kalangan masyarakat yang dipanggil sebagai Bebalisme. Orang-orang bebal adalah misalnya yang hanya bertindak balas dan mengambil tindakan selepas sesuatu kejadian. Sikap seperti ini dilihat amat merugikan rancangan pentadbiran negara. Bebalisme merupakan perkataan yang berasal daripada perkataan bebal yang bermaksud bodoh, malas dan keras kepala. Perkataan ini pertama kalinya digunakan dalam buku ini dan dijadikan bagai sebuah kalimah sepanjang perbahasan beliau. Bebalis juga merupakan orang yang tidak berasaskan pada eksperimen menurut penulis sendiri.

Di samping itu, penulis memfokuskan kewujudan revolusi orang pandir yang dilihat melemahkan lagi masyarakat yang membangun. Antara ciri-ciri orang pandir ialah mereka tidak mampu mengenali permasalahan, tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan dan paling penting mereka tidak mengakui kepandiran mereka. Jika kepimpinan dan kefungsian kaum intelektual lemah, maka kaum pandir ini akan mula  menguasai pemerintahan bersama sifat bebalisme mereka. Orang pandir ini juga golongan yang menghapuskan gejala rasuah dan kemiskinan tetapi sebaliknya kedua-dua isu sosial ini semakin berkembang. Sistem apapun sekiranya dikuasai orang pandir, ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Kesan buruk apabila orang pandir  memegang jawatan dan kuasa penting dalam pemerintahan antaranya ialah pembaziran wang kerajaan berjumlah jutaan ringgit disebabkan oleh ‘kepandiran’ dan sifat  bebal orang pandir ini dalam membuat perancangan, perkiraan, kajian dan analisis dengan terperinci dan sistematik.

Bagi memastikan intelektual berfungsi dengan baik, penulis menyarankan pertembungan intelektual dengan rakan sejawat melalui penerbitan, ceramah, mesyuarat, pertemuan kelompok kecil dan perdebatan tentang masalah nasional. Dalam pada ini, seseorang individu yang memilih untuk menjadi ibarat katak di bawah tempurung akan kekal mundur dan tidak dapat memberikan penyelesaian masalah yang komprehensif.

Buku ini walaupun sudah wujud  selama berpuluh-puluh tahun namun ia sangat memberi pencerahan dan dilihat masih relevan jika dikaitkan dengan situasi kontemporari di Malaysia. Bagi pengulas, masyarakat, pemimpin dan anak muda khususnya wajib menelaah buku ini bagi menangani konflik masyarakat yang dihadapi. Mahasiswa yang sibuk mengejar kejayaan dan segulung ijazah sangat dialu-alukan membaca buku ini dan membawa suatu pembaharuan kepada masyarakat.

 

Jaymani A/P Sevanathan merupakan mahasiswi Sains Politik di UKM

 

 

 

 

 

Leave a Reply