Naufal – Mahasiswa dan Tiga isme

22 September yang lepas aku berpeluang mengikuti program Bicara Bersama Tokoh Mahasiswa yang dianjurkan Persatuan Belia Harmoni Pantai Dalam. Panelisnya ialah Fikri Ahmad, penerima anugerah Tokoh Mahasiswa Nasional 2014.

Antara isi penting yang aku perolehi daripada perkongsian tersebut ialah mahasiswa perlu bersifat holistik iaitu seimbang dari sudut intelek, fizikal, spiritual dan emosi. Beliau menambah, bagi membentuk diri yang seimbang mahasiswa perlu melibatkan diri mereka dengan tiga “isme”.

Pertama, IDEALISME. Mahasiswa perlu mempunyai Idealisme untuk membentuk sebuah dunia Utopia iaitu dunia tanpa masalah. Walaupun ianya merupakan satu impian yang mustahil namun melalui keinginan tersebut mahasiswa akan mendesak diri mereka untuk berfikir, menganalisa, berwacana dan saling bertukar pandangan sesama mereka. Dengan ini mahasiswa dapat meningkatkan daya pemikiran dan intelektual mereka.

Kedua AKTIVISME. Setiap idealisme itu tidak ubah seperti sembang kosong di warung kopi jika tidak dimenifestasikan di lapangan. Melalui penglibatan mahasiswa di lapangan, dapatlah mereka mengukur kelemahan dan kekuatan idealisme yang mereka imani. Selain itu mahasiswa dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka mampu mencorak perubahan dan masa hadapan negara.

Yang terakhir INTELEKTUALISME. Intelektualisme bermaksud melaksanakan sesuatu tindakan tanpa dikuasai emosi. Beraktivisma tanpa diiringi kawalan emosi hanya akan melahirkan mahasiswa yang bersikap terburu – buru dalam tindakan tanpa melihat kesan jangka panjang yang hanya akan merugikan ramai pihak. Oleh itu penekanan intelektualisme sangat perlu dititik beratkan bagi membentuk mahasiswa yang profesional dalam beraktivisma.

Tuntasnya. tanpa penglibatan mahasiswa dengan ketiga – tiga  ‘isme’ yang disebutkan, mahasiswa gagal dalam membentuk sifat holistik dalam diri mereka. Oleh itu usaha untuk menyedarkan mahasiswa agar melibatkan diri mereka dengan ketiga – tiga ‘isme’ perlu dipertingkatkan. Saya juga berharap agar aktivis mahasiswa dapat memanfaatkan ruang yang diberikan oleh pihak kerajaan mahupun pihak universiti untuk meningkatkan gerak kerja mereka khususnya dalam membentuk universiti baharu.

 

Ahmad Naufal Bin Abdul Rahman
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

Leave a Reply