Pernah dengar istilah crowdfund? Secara asasnya, crowdfund merupakan salah satu alternatif bantuan kewangan daripada sejumlah orang untuk membiayai projek atau tujuan khusus. Biasanya crowdfunding boleh dilakukan sama ada melalui akaun sosial peribadi ataupun melalui laman sesawang khusus.

Budaya crowdfunding kini bukanlah suatu yang janggal; contoh paling dekat di Malaysia ini ialah ketika kerajaan sibuk mewar-warkan Tabung Harapan. Ramai berpusu-pusu untuk mendermakan sejumlah wang mereka demi misi menyelamatkan negara dari hutangnya. Sehingga tulisan ini disiarkan, jumlah kutipan wang ke Tabung Harapan sudahpun melebihi RM150 juta.

Crowdfunding tidak semestinya terhad pada pembiayaan projek atau kempen kemasyarakatan. Kita jelas sebagai pelajar (termasuklah di peringkat yang lebih tinggi), bantuan kewangan untuk pendidikan seolah semakin sempit dek kadar persaingan yang tinggi dan kurangnya agensi yang dapat membantu meringankan beban kewangan menjadi seorang pelajar.

Maka, crowdfunding ialah satu lagi alternatif sumber kewangan untuk para pelajar sama ada untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi ataupun untuk meneruskan pengajian ke semester hadapan.

Sebenarnya, sudah ramai pelajar di Malaysia ini yang telahpun memanfaatkan penggunaan crowdfunding untuk membiayai pengajian mereka. Para pelajar yang telah berjaya mengumpul sejumlah duit yang mereka perlukan akan dikehendaki untuk mengisytiharkan aliran keluar duit crowdfunding demi memelihara kepercayaan komuniti crowdfund yang terlebih dahulu mendermakan wang mereka kepada pelajar ini.

Antara laman crowdfund yang boleh menjadi platform alternatif kewangan buat para pelajar ialah Skolafund. Sedikit berbeza dengan laman crowdfund yang lain, Skolafund menawarkan ruang pitch untuk pelajar yang amat memerlukan bantuan kewangan. Skolafund sudahpun memulakan perkhidmatannya sejak 2015 dan sekarang, telah berjaya mengumpul bantuan biasiswa Skolafund (dinamakan Big Community Scholarship) untuk para pelajar yang layak.

Antara kempen kutip dana pengajian yang telah berjaya setakat ini.

Menariknya, Skolaship dibuka untuk sesiapa sahaja yang mahu menawarkan sejumlah wang biasiswa kepada mana-mana pelajar yang sesuai dengan syarat yang si pembiaya letakkan sendiri. Setakat ini, kebanyakan ruang biasiswa terdiri daripada syarikat, yayasan atau pertubuhan bukan kerajaan.

 

Macam mahu cuba.

 

Boleh! Terdapat beberapa langkah mudah yang harus diikuti untuk memulakan kempen crowdfunding anda.

  1. Untuk memulakan kempen crowdfund anda, pelajar dan pengkaji perlu menghantar permohonan di Skolafund.com. Dokumen-dokumen penting juga perlu dihantar seperti salinan kad matrik dan surat tawaran rasmi untuk mengesahkan status anda sebagai pelajar.
  2. Setiap permohonan akan diperiksa dan disahkan oleh kumpulan Skolafund bagi mengelakkan unsur penipuan dalam kempen yang bakal dilancarkan. Hal ini juga perlu bagi meningkatkan keyakinan komuniti Skolafund terhadap anda serta memelihara kredibiliti laman tersebut.
  3. Sesudah permohonan telah disahkan benar, Skolafund akan menyiarkan kempen anda selama 30 hari.
  4. Dalam masa 30 hari, pihak Skolafund dan anda sebagai campaigner akan bekerjasama menyebarluaskan kempen anda agar lebih ramai yang tahu dan yang mampu, mahu membantu anda.
  5. Jika kempen anda berjaya mencecah sasaran 100%, Skolafund akan mengalirkan kutipan crowdfund kempen kepada pihak institusi pendidikan (untuk bahagian yuran) dan bakinya akan diberikan secara berperingkat pada anda. Namun jika tidak berjaya, kutipan derma itu akan dipulangkan semula kepada para penderma.

 

Jika anda berminat, pendaftarannya adalah percuma. Malah, hampir tiada risiko (kecuali risiko kecewa kalau tidak mencapai sasaran kempen) buat para pelajar yang ingin mencuba nasib dalam crowdfunding. Secara peribadinya, ini ialah situasi menang-menang; para komuniti crowdfund boleh membantu para pelajar yang memerlukan dengan hati yang senang manakala para pelajar yang mencipta kempen boleh berusaha untuk mengumpulkan dana pengajian.

Nasihat saya untuk sesiapa yang ingin mencuba adalah sentiasa letakkan sasaran dana yang boleh diterima akal. Skolafund dibina untuk membantu para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan khususnya dari segi dana yuran pengajian, bukannya membiayai kos pengajian (termasuklah kos sara diri) anda secara keseluruhannya melainkan anda diterima sebagai salah seorang penerima biasiswa dari pihak Skolafund.

Anda tetap disarankan mencari sumber kewangan utama yang boleh menampung kehidupan anda sebagai seorang pelajar. Ingat, sasaran dana yang lebih kecil nilainya akan lebih senang untuk berjaya. Sistem Skolafund ialah all-or-nothing, iaitu sama ada anda berjaya 100% atau tiada dana akan diberikan selepas tempoh 30 hari kempen berlangsung.

Semoga berjaya!

 

Leave a Reply