TIPS Pelajar baharu Universiti

Selamat datang diucapkan kepada semua mahasiswa baharu ke Institut Pengajian Tinggi(IPT).  Semestinya perasaan anda bercampur baur antara gembira kerana dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, sedih meninggalkan ibu bapa di kampung atau teruja dengan pengalaman baru yang bakal ditempuhi.

Ramai juga di kalangan mahasiswa baru yang mengalami kejutan budaya lantaran semua yang anda jumpa di IPT adalah perkara yang baru untuk dicuba-cuba. Bagi yang tidak pernah berjauhan dengan keluarga, anda juga mungkin akan mengalami gejala kerinduan melampau (baca:’homesick’).

Anda tidak bersalah sekiranya mempunyai perasaan sedemikian namun jangan biarkan emosi itu tidak diurus dengan baik. Dalam keterujaan anda, susun aturlah langkah supaya sepanjang satu semester di IPT ini tidak berlalu dengan sia-sia sehingga anda menyesal di hujung semester. Ya,harus diingat anda baru di semester satu.

Berikut dikongsikan tips untuk menjadi mahasiswa baru yang hebat bermula awal semester:

  1. Pilih teman rapat anda.

Ya. Selesai sahaja mendaftar program di IPT, anda akan berkenalan dengan ramai teman baharu. Teman sekuliah, teman sebilik, teman satu asrama dan mereka datang daripada pelbagai latar belakang keluarga yang berbeza. Pernahkah anda mendengar pesanan orang tua bahawa bukan semua orang boleh mejadi teman rapat kita. Anda boleh berkawan dengan semua orang tetapi anda harus bijak dalam memilih teman rapat anda kerana mereka mampu mempengaruhi tindakan dan cara anda berfikir.

 

  1. Kenali pensyarah anda.

Penting untuk anda mengenali pensyarah yang mengajar anda. Setiap pensyarah mempunyai cara penyampaian dan penilaian yang berbeza. Peka dengan cara penyampaian mereka dan suaikan dengan cara belajar anda. Anda juga harus mengambil berat dengan cara penilaian pensyarah untuk subjek yang anda ambil. Ianya akan memudahkan anda mengatur strategi pembelajaran untuk skor dengan cemerlang di dalam subjek tersebut.

 

  1. Fahami struktur pengajian anda.

Kebiasaanya anda akan diberikan taklimat oleh pihak fakulti tentang struktur pengajian anda semasa minggu orientasi. Penting untuk anda memahami subjek apa yang anda akan ambil pada setiap semester terutamanya pada semester semasa. Setiap subjek mempunyai jam kredit dan gred lulus yang berbeza. Perhatikan juga subjek yang mempunyai pra-syarat kerana anda tidak dibenarkan untuk mengambil subjek itu selagi anda tidak lulus subjek pra-syarat yang dinyatakan. Bertanya sekiranya anda tidak faham tentang struktur pengajian yang diberikan. Jangan lalui semester demi semester tanpa memahami apa yang berlaku sehingga anda tamat belajar!

 

  1. Berdamping dengan senior program anda.

Anda mahu cepat faham? Ini tips paling penting. Cari senior program anda. Sebagai contoh anda pelajar Diploma Sains Komputer, maka carilah senior Diploma Sains Komputer. Berdamping dengan mereka kerana banyak manfaat yang akan anda boleh perolehi daripada mereka. Antaranya ialah nota kuliah, buku teks subjek, tips skor subjek daripada pensyarah yang berbeza. Ini kerana senior anda telah melalui semester yang anda sedang belajar. Semestinya banyak pengalaman yang mereka boleh kongsikan dalam pelajaran malahan dalam urusan pentadbiran di IPT. Contohnya bagaimana untuk mendaftar subjek baru, membayar yuran pengajian dan sebagainya.

  1. Wujudkan kumpulan belajar dari ahli yang anda selesa.

Sekiranya anda telah laksanakan tips pertama diatas, maka mudah untuk anda mewujudkan kumpulan belajar. Kumpulan belajar berfungsi sebagai sistem sokongan untuk membantu anda memahami kuliah yang diajar oleh pensyarah. Maka manfaatkan kumpulan belajar ini sebaiknya dan rujuklah pensyarah yang mengajar sekiranya ahli kumpulan tidak mendapat kefahaman yang sama dalam sesuatu topik yang diajar. Mudahkan?

 

  1. Bangun awal dan datang awal.

Sekiranya anda bangun lewat, maka anda akan hadir ke kuliah lambat. Terutama kuliah yang mula pada pukul 8 pagi. Formulanya nampak mudah tetapi bukan mudah bagi anda yang biasa bangun tidur pada pukul 10 pagi! Lambat masuk ke kuliah maka anda akan tertinggal maklumat penting dalam subjek yang diajar. Jadi anda harus susun jadual harian anda sebaiknya agar tiada kuliah yang anda tercicir akibat daripada anda gagal mengurus diri sendiri. Rugikan?

  1. Target markah tinggi untuk kerja kursus.

Kebanyakan subjek dalam struktur pengajian di IPT membolehkan anda menduduki peperiksaaan akhir di hujung semester dimana separuh daripada keseluruhan markah sudah ada di tangan anda. Sebagai contoh,  pecahan pemarkahan bagi satu subjek  adalah  60% daripada kerja kursus dan baki 40% daripada markah peperiksaan akhir. Laksanakan kerja kursus sebaiknya supaya anda skor pada markah kerja kursus.

Titik tolaknya ialah daripada anda. Ini kerana anda yang menentukan pengakhiran  jalan cerita bagi setiap semester. Berusahalah sehabis mungkin. Dan seterusnya bertawakallah kepada Allah s.w.t. Selamat mencuba dan semoga anda menjadi mahasiswa yang HEBAT!

Penulis: Pn Farhana Abdullah Asuhaimi
Pensyarah Jabatan Sains Komputer,
Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

 

Sumber

Leave a Reply