Dekad ini, dekad yang bersejarah. Kita menyaksikan tumbangnya kerajaan gagah yang dahulunya megah sewaktu zaman menuntut kemerdekaan. 55 tahun ialah tempoh yang sekelip mata dalam rangka masa sejarah. Namun dalam 55 tahun ini, pelbagai cabaran telah kita hadapi; dari kebanggaan kita meraih pingat dunia, dan keseganan kita meraih ketawa dunia. Kerajaan gagah ini, untuk julung kalinya duduk bertentangan dengan pemerintah baru (walaupun ‘kepalanya’ ialah kepala lama).

Dekad ini, dekad yang bersejarah. Sepertimana sejarah, ia sentiasa berputar. Kadangkala semacam déjà vu, kadangkala hanya imbasan mirip peristiwa dahulu. Sepertimana sejarah, salah satu soalan yang sentiasa berputar adalah mengenai merdeka. Kita andaikan, merdeka itu ertinya bebas dari genggaman orang asing. Dengan andaian tadi, wujud lagi satu soalan : apakah kita ini sudah merdeka?

Ada melihat kita ini sudah memang merdeka. Ya, sudah Tunku Abdul Rahman terpekik merdeka 7 kali. Maka kita merdeka! Ada pula menyatakan, kita belum merdeka. Kita masih terjajah politik, ekonomi dan sosial oleh orang Cina. Paling kurangpun, penjajahan minda itu masih sihat menumbuh di otak-otak belia yang galak berTikTok. Kekuatan ummah senipis rambut, fitrah manusia akhir zaman. Lalu harus kita perkuat dengan ilmu Quran, pemantapan akidah, penguatkuasaan hudud.

Ada pula berkata; kita tidak pernah dijajah! Malaysia tidak pernah dijajah – kerana Malaysia itu terbentuk pada 1963. Rasanya pernyataan ini secara tidak langsung mengakui kita dari dulu sampai kini merdeka. Mungkin pada 1963, lahirnya Malaysia yang merdeka. Zaman pra-merdeka pula masa kita masih di rahim Ibu Alam, agaknya begitu gambarannya.

Cakap-cakap tadi biasanya cakap-cakap sambil menghirup kopi panas. Sambil menjamah pisang goreng. Macam gaya orang Greek lama yang bersembang padu ketika mabuk; jika diputuskan tetap yang sama seperti keadaan mereka waktu mabuk, maka itulah keputusan yang tepat.

Jangan susah hati, ‘merdeka’ juga sentiasa punyai ruang untuk kita romantis dengan perjuangan hero Malaysia. Romantika berbulan penuh, dipagari gemilangnya warna bunga api. Menunggu detik 12 tengah malam hanya untuk mengucap ‘merdeka’ dan mengibar Jalur Gemilang. Bersahutan seragam nyanyian lagu-lagu utama bertemakan Hari Kebangsaan.

Ketika kita hampir-hampir berteriak-teriak mendambakan menangnya ahli sukan kita ketika melawan di gelanggang negara jiran. Ketika kita bengang bendera kita diperolok-olok negara lain. Ketika kita dihina-dinakan pihak lawan kerana salah teknikal bendera. Ketika kita memohon maaf saat seorang dua rakyat kita membuli-pukul pekerja yang serumpun kita.

Yang saya nampak sejelas terangnya matahari: semangat mempertahankan negara itu selalu ada bila waktunya tiba. Semangat mempertahankan wujud apabila kita ada rasa kepunyaan bahawa tanah ini orang Malaysia punya. Rasa kepunyaan pula boleh wujud, bila kita ada hak dan kebebasan untuk memperjuangkannya. Hak dan kebebasan ini lahir dari kesedaran ‘merdeka’.

Demi mengenang dan menimbang persoalan ‘merdeka’ ke 55, Projek Zine mengambil peluang menerbitkan edisi bulan Ogos/September ini untuk mengumpul esei berbentuk tulisan pendapat/luahan, certot/cerpen dan puisi. Tiada minima dan maksima patah perkataan.

Kami turut membuka peluang para designer untuk zine edisi Merdeka kami. Desain terbaik akan kami letakkan (tentunya diberi kredit) sebagai muka depan zine kami. Zine percuma ini akan dimuat naik untuk tatapan umum.

Emelkan pada [email protected]. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Ogos 2018, 11.59 malam.

Tunjukkan semangat ‘merdeka’ anda sebagai manusia berfikir, dan sebagai Malaysian yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bicarakan luahan cinta dan duka anda. Abadikan risau dan gembira anda. Serlahkan bakat puitis anda. Pancarkan roh Malaysia Menulis. Ghairahkan jiwa budak desain dalam diri anda.

Ayuh!

Leave a Reply