Pembelajaran Fizikal Bermula Oktober 2021, IPTA Bakal Dibuka Semula

IPT BAKAL DIBUKA SEMULA BERMULA OKTOBER 2021 UNTUK PEMBELAJARAN FIZIKAL BAGI SEMUA FASA PPN- KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Seperti yang di umumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau pada 22 Ogos lalu, KPT sedang merancang membuka semula IPT untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula pada Oktober 2021 melalui Pelan Pemulihan Institut Pendidikan Tinggi (PEMULIH IPT). 

Hal ini selari dengan usaha untuk membolehkan para pelajar pulang ke IPT masing-masing apabila telah lengkap semua dos vaksinasi. Cadangan pembukaan semula IPT ini telah dipersetujui dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 2 September 2021 lalu.

Bagi menjayakan agenda ini, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Noraini Ahmad telah bekerjasama dengan YB Khairy Jamaluddin,Menteri Kesihatan Malaysia untuk memastikan agar semua pelajar dan kakitangan IPT diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin di lokaliti masing-masing.

Menurut beliau, hal tersebut bertujuan untuk menyediakan komuniti kampus yang selamat apabila ia dibuka semula menjelang Oktober nanti.

Untuk makluman, Kementerian Pengajian Tinggi mengunjurkan keperluan sebanyak 1.296 juta dos vaksin bagi 648,000 orang pelajar yang masih belum menerima vaksin dan KPT juga ingin mencadangkan supaya Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) dijadikan PPV khusus untuk semua pelajar dan kakitangan.

Ini bagi membolehkan program vaksinasi pelajar ini dilaksana secara besar-besaran dan memudahkan agar tidak ada pelajar ataupun kakitangan yang tercicir  daripada menerima vaksin. 

Diharap semua pelajar bersedia dengan segala kemungkinan dan segera menghubungi pihak IPT masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut seperti tarikh pulang ke kampus dan sebagainya.


Baca juga:

Leave a Reply