Melihatkan situasi kini yang mana gerakan alam sekitar seringkali di bawa oleh kelompok2 kiri liberal, saya melihat satu perkara yang membimbangkan iaitu gerakan ini dilihat seperti gerakan kelab eksklusif masyarakat atasan.
Seringkali terlihat hujah dan idea yang dibawa dan isu yang dituntut sangat terpesong dari norma masyarakat tempatan. Ini tak hairan kerana mereka seringkali berkempen dengan salutan jargon dan bahasa Inggeris sebagai pengantara jika isu yang dibawakan itu terlalu “antarabangsa”.
Pada saya ini sangat ironi kerana yang terkesan dengan isu alam sekitar ini adalah golongan buruh tani kampung yang marhaen, tetapi pendekatan yang selalu dicanang pula seakan memomokkan gaya hidup serta mata pencarian mereka seperti isu kelapa sawit.
Lebih teruk lagi, konservatism (yang terwakil oleh parti konservatif yang teruk) seringkali dicananang sebagai perosak alam sekitar melihatkan ia berlaku negeri yang diperintah oleh parti adi-konservatif.
Situasi ini menjadikan ia mudah untuk menjadikan konservatism sebagai punca kepada isu alam sekitar. Saya berpendapat sebaliknya, malahan, saya tegas dengan pendirian saya bahawa konservatism adalah pemangkin dalam penghargaan alam sekitar.
Dalam tulisan ini, saya tak ingin untuk mengulas lebih lanjut akan apa itu konservatism kerana ia sudah diulang berkali2 oleh penulis lain, tetapi saya ingin menyentuh bagaimana konservatism ini sangat dekat dengan penghargaan terhadap alam sekitar melalui pendekatan etno-budaya.
Menyingkap kembali bahan2 etnografi kebudayaan Melayu, saya mendapati bahawa betapa budaya tradisional yang semakin terhakis oleh kemodenan ini sebenarnya sudah lama menerap unsur alam.
Perkara ini menunjukkan bahawa kebudayaan dan peradaban manusia pra-Industri terbina daripada alam sekeliling. Dengan kata lain, budaya itu terbentuk atas keperluan untuk mandir dalam situasi geografi setempat seperti iklim.
Dalam hal ini, ia dapat dimanifestasi melalui pepatah-pepitih mengenai falsafah busana Melayu-Minangkabau (rujuk gambar).
Jika diamati di sini dapatlah dilihat yang kebudayaan tradisional sesuatu bangsa ini bukan sahaja terbina berdasarkan konteks alam setempat, malahan sangat spesifik faktor geografinya sehinggakan pepatah-pepitih ini tidak dapat lari dari Kemelayuannya, malahan hanya terpakai di geografi ini sahaja.
Maka jelaslah disini, gerakan alam sekitar tak harus sembang sesama kelompok elit yang disaluti jargon dan ditutur dengan bahasa asing, tetapi ia harus membumi, dekat dengan jiwa masyarakat majoriti di mana merekalah yang terkesan akan sebarang bentuk kerosakan alam.
Pembumian gerakan alam sekitar ini bukan bermaksud ingin menidakkan pencemaran yang hakiki seperti industri perladangan kelapa sawit, kita tak nafikan perkara tersebut, tetapi fikirlah secara realis yang pencemaran tetap akan berlaku selagimana manusia bergantung kepada industri dalam penghasilan keperluannya.
Kita takkan dapat buang pencemaran, tapi kita dapat kurangkan pencemaran melalui penyelesaian dari disiplin yang pelbagai. Dalam mencapai matlamat tersebut, ia adalah pendekatan “lembut” kita yang akan menentukan penerimaan advokasi alam sekitar tersebut.
Apa yang dekat dengan masyarakat marhaen tradisional, apa yang mudah untuk diserap mereka, apa yang relevan untuk kebudayaan mereka, ini yang penting. Konteks sosiologi itu yang membezakan samada gerakan itu hanya bergema di balik tembok akademik di Petaling Jaya, ataupun ia diterima rapat oleh petani Bagan Datok.
Kita tak dapat lari dari konservatism kerana ia adalah lumrah manusia yang terbentuk secara fraktal dari tahap individu, keluarga, komuniti, kampung, daerah, negeri dan negara. Makanya ia harus membumi, mendasar ke umbi yang dekat dengan budaya individu dan geografinya sendiri.
Makanya, saya ingin menegaskan bahawa apresiasi kebudayaan setempat, iaitu Melayu harus mencari semula bahan2 etnografinya dalam memangkin gerakan alam sekitar. Tidak cukup pencinta alam jika kita tak berlaku konservatif, kerana kita ingin “conserve” alam dan juga nilai kemanusiaan yang dibentuk olehnya.

Leave a Reply