DS Hj Hadi mengatakan umur 18 tahun adalah usia yang belum lagi mencapai usia matang. Ramai yang tidak senang dengan kenyataan ini memandangkan dia merupakan di antara ahli Parlimen yang menyokong usul penurunan had mengundi ketika rang undang-undang ini dibahaskan.

Kematangan adalah sesuatu yang tidak boleh dikira atau diukur; ia akan terbuka kepada pelbagai tafsiran. Sebab itulah ada sebahagian orang menggunakan ‘comparative analysis’ untuk membandingkan ‘kematangan’ seseorang. Walaupun ketepatan perbandingan boleh diperdebatkan, ia tidak bermaksud kaedah seperti ini sama sekali tidak boleh diterima.

Salah satu lagi kaedah yang boleh digunakan adalah menggunakan tinjauan (survey) untuk mengukur tahap ‘kematangan’ seseorang. Sekali lagi, hasilnya boleh didebatkan; terutamanya persoalan pemilih jenis responden dan saiz responden (sample size).

Apa sebenarnya definisi matang mengundi?

Bagi aku, ia bermaksud (i) seseorang itu mempunyai pengetahuan asas tentang tatanegara (kaedah pemerintahan), dan (ii) boleh berfikir untuk membezakan yang baik dan buruk.

Mari kita pergi ke elemen yang pertama; ia mengetahui tatanegara Malaysia.

Jika kita bertanya orang ramai secara rawak (random sampling) kepada orang yang berusia 21 tahun ke atas, aku percaya kita akan mendapati masih ramai yang tidak mengetahui kaedah penggubalan undang-undang di Parlimen. Salah satu elemen penting dalam tatanegara di Malaysia.

(Aku harap akan ada orang yang buat survey ini nanti)

Ia menunjukkan; tidak matang dalam konteks pengetahuan tatanegara berlaku dalam semua kumpulan umur. Untuk mengatakan hanya kumpulan umur 18-21 tahun tidak matang adalah tidak adil.

Pada usia 18 tahun, seseorang itu sepatutnya telah menjalani sekurangnya-kurangnya 11 tahun pendidikan formal. Tempoh ini sepatutnya telah menyiapkan seseorang untuk mengetahui hal-hal asas tatanegara.

Jika benar kita setuju anak muda pada usia 18 tahun masih tidak matang kerana lemah ilmu tatanegara, perlulah kita mengkritik sistem pendidikan kita yang gagal mempersiapkan pelajar untuk menjadi warganegara yang baik.

Selalunya kita akan merancang, kemudian melaksanakan. Ia berbeza di Malaysia. Jika kita menunggu sistem pendidikan diubah sehingga anak muda ‘menjadi matang’ sebelum mengundi, waktu itu tidak akan tiba. Perlu diperkenalkan dahulu undang-undang UNDI18 ini, barulah usaha-usaha memperkasakan pengundi muda akan berjalan. Penyokong UNDI18 perlu menjadi ‘watchdog‘ untuk memastikan kerja-kerja ‘pemerkasaan’ ini tidak dikuasai oleh parti politik atau NGO yang mesra parti politik.

UNDI18 mampu membantu proses pemerkasaan demokrasi untuk anak muda berlaku dengan lebih pesat.

Kemudian tentang elemen kedua; boleh membezakan mana yang baik dan buruk.

Seperti yang aku katakan pada awal tadi, salah satu kaedah untuk mengukur hal yang abstrak adalah melalui perbandingan. Pada usia 18 tahun, seseorang itu telah dibenarkan melakukan pelbagai hal yang dikategorikan sebagai dewasa. Sekali, ia tidak semestinya 100% tepat, tapi ia boleh memberi gambaran.

Seseorang itu telah habis 11 tahun pendidikan formal, dibenarkan memandu di jalan raya, dibenarkan berkahwin, akan dikenakan hukuman undang-undang seperti orang dewasa, dibenarkan berhutang berpuluh-puluh ribu. Secara budayanya juga; kumpulan umur ini jika tidak menyambung pengajian, akan mula bekerja dan perlahan-lahan dilepaskan tanggungan oleh ibu bapa.

Kita boleh tidak bersetuju dengan UNDI18, tapi sukar untuk kita katakan usia 18 tahun belum lagi dewasa; atau belum tahu membezakan baik dan buruk.

Kita perlu ingat, baik dan buruk dalam konteks demokrasi adalah pandangan peribadi seorang pengundi. Kita tidak ada hak yang mengatakan undi orang lain itu salah – atau kurang nilainya – daripada undi kita. Hal ini yang menjadi akar kepada demokrasi.

Sudah tentu parti politik akan mengatakan orang yang tidak mengundi mereka sebagai ‘tidak matang’ atau bodoh. Mereka memang harus bekerja seperti itu.

Akhir sekali, penting bagi kita yang mengaku mereka yang percaya kepada demokrasi untuk membuka seluas-luasnya perbincangan berkaitan persoalan ‘kematangan’ ini. Perbincangan dan debat adalah elemen penting demokrasi.

UNDI18 telah dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen; ia menunjukkan kesepakatan suara dalam hal ini. Sebagai ahli Parlimen, jika ada kegusaran seperti isu ‘kematangan’ ini, ia perlu disuarakan semasa perbahasan di Parlimen, bukan setelah ia diluluskan.

Leave a Reply