WAJARKAH DISKAUN YURAN UNIVERSITI KEPADA SEMUA?

 

Pandemik Covid-19 telah memaksa kita untuk mempraktikkan normal baharu yang memberikan kesan kepada semua individu di dunia. Tidak terkecuali juga sektor pendidikan terpaksa ditutup dan bergerak ke arah pendidikan digital yang dijalankan secara dalam talian. Kementerian Pengajian Tinggi juga telah mengumumkan bahawa kesemua universiti di Malaysia akan menjalankan pelajaran secara dalam talian sehingga 31 Disember ini.

Oleh kerana adaptasi terhadap normal baharu ini, ramai individu terutamanya mahasiswa meminta agar yuran universiti dikurangkan dek kerana servis pendidikan yang diterima tidak lagi sama seperti kebiasaannya. Pelajar tidak lagi tinggal di kampus dan memanfaatkan kemudahan yang wujud di kampus seperti dulu.

Saya merasakan memberi diskaun yuran kepada semua pelajar tidaklah begitu bagus untuk tempoh jangka masa panjang. Universiti juga mempunyai overhed yang perlu dijelaskan walaupun dalam tempoh penutupan universiti. Ada di antara universiti terutama universiti swasta perlu membayar gaji staf mereka serta sewa bangunan yang juga merupakan faktor ekonomi utama dalam menjalankan servis pendidikan.

Sekiranya perkara ini berlanjutan, ada kemungkinan bahawa universiti-universiti yang tidak dapat melunaskan kos overhed ini akan tutup dan menimbulkan masalah baharu iaitu masalah pelajar tercicir. Bagaimana pula pelajar tercicir ini mahu menyambung pengajian mereka? Adakah universiti lain akan terima mereka dengan begitu mudah? Ataupun mereka akan terus tercicir dari sektor pendidikan ketiga ini.

Dalam masa mahasiswa menuntut diskaun terhadap yuran, terdapat juga suara-suara yang menginginkan universiti membantu pelajar-pelajar yang memerlukan dengan memberikan dana atau peralatan yang sepatutnya untuk mereka meneruskan pembelajaran secara dalam talian. Secara logiknya, sekiranya universiti memberikan diskaun terhadap yuran, bagaimanakah mereka mampu untuk menyediakan peralatan tersebut ataupun memberikan dana kepada pelajar yang memerlukan untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian? Sekiranya universiti sendiri berusaha keras untuk kekal beroperasi dengan pendapatan yang sedikit sudah pasti sukar untuk mereka menyediakan bantuan yang berkaitan terhadap pelajar yang memerlukan. Dengan ini, saya mencadangkan beberapa pilihan polisi yang boleh diambil oleh pihak universiti.

Pilihan pertama, pemberian diskaun hanya terhadap yuran kolej sahaja. Saya yakin bahawa kita semua bersetuju bahawa kita tidak perlu membayar sesuatu yang kita tidak mendapat manfaat daripadanya. Pada saya, servis utama universiti adalah pembelajaran itu sendiri. Dengan adanya pembelajaran secara dalam talian, saya merasakan pihak universiti telah pun memberikan servis pembelajaran mereka seperti biasa.

Oleh itu tidak wajarlah untuk kita meminta diskaun terhadap yuran pengajian apabila kita sudah pun menerima servis itu seperti biasa. Kemudahan yang ada di universiti itu hanyalah alat bantuan untuk menyampaikan servis pembelajaran tersebut. Walaupun kita tidak dapat memanfaatkan kemudahan tersebut, saya yakin pihak universiti masih lagi memberikan yang terbaik untuk servis pembelajaran ini.

Yang kedua, pemberian diskaun yuran terhadap pelajar yang benar-benar layak sahaja. Saya yakin ramai pelajar yang mempunyai pembiayaan pendidikan samada dalam bentuk pinjaman mahupun biasiswa. Saya juga yakin biasiswa dan pinjaman ini tidak berkurang walaupun kita sedang menjalani pelajaran secara dalam talian. Adalah elok sekiranya universiti dapat mengumpulkan data dan mengenal pasti individu-individu yang layak dan berikan diskaun hanya kepada mereka. Ini adalah lebih elok dan membantu dalam mengurangkan lagi jurang pendapatan keluarga misalnya. Pada saya pemberian diskaun kepada semua termasuk pelajar dari keluarga kaya atau penerima biasiswa hanyalah akan membesarkan lagi jurang pendapatan.

Pilihan ketiga, pembayaran yuran penuh dan menyalurkan semula pendapatan tersebut kepada pelajar yang memerlukan. Dengan pendekatan ini, pihak universiti dapat kekal beroperasi dek kerana menerima pendapatan seperti biasa dan dapat membayar komitmen bulanan seperti gaji, sewa dan utiliti. Lebihan wang yang ada bolehlah disalurkan semula kepada pelajar yang memerlukan dalam bentuk peralatan elektronik seperti komputer riba, ataupun pelan Internet. Ini adalah lebih adil dan dapat mengurangkan jurang pendapatan kerana duit daripada yang mampu dapat disalurkan kepada yang tidak bernasib baik secara tidak langsung.

Secara kesimpulannya, isu yuran ini bukanlah isu mudah untuk diputuskan. Sekiranya kerajaan mampu untuk menampung segala kos overhed universiti, bolehlah diberikan diskaun kepada semua pihak tanpa sebarang penapisan. Saya secara peribadi lebih cenderung untuk berikan diskaun kepada mereka yang memerlukan sahaja. Kita sedar bahawa pandemik ini memberikan kesan kepada ramai pihak. Tetapi ada juga pihak yang tidak terjejas langsung terutama yang datang dari keluarga kakitangan kerajaan.

Apalah salahnya kita membayar penuh yuran itu supaya boleh disalurkan dalam bentuk bantuan peralatan pembelajaran dalam talian seperti Internet dan komputer riba. Moga-moga perkara ini dapat dibincangkan di pihak kementerian untuk mendapatkan kata putus yang memberi manfaat kepada semua pihak.

 

Ahmad Yusri bin Mohd Yusoff
Jawatankuasa kecil,
Exco Perhubungan Awam dan Advokasi,
Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Leave a Reply