Hak ibu dan anak untuk bernyawa ialah hak asasi manusia
Oleh Wan Salman Wan Sallam

 

Sejarah telah dinukilkan pada tahun 1948, dalam Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA), satu resolusi telah termeterai yang telah menatijahkan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) (https://www.ohchr.org/EN/UDHR/Pages/Language.aspx?LangID=mli) yang kita kenali sehingga kini.

Intipati penting yang ingin diketengahkan penulis di sini ialah Perkara 3 dan Perkara 25.

Perkara 3 jelas menyebutkan bahawa “Setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri”.

Manakala isu penting yang ingin diutarakan dalam Perkara 25 pula ialah jaminan terhadap taraf hidup yang memadai untuk diri dan keluarga, termasuklah capaian kepada khidmat kesihatan dan perubatan lebih-lebih lagi ketika diperlukan. Perkara 25 juga menyebut secara terperinci bahawa ibu dan anak berhak kepada bantuan dan jagaan khas, tidak kira sama ada kanak-kanak itu dilahirkan dalam atau luar nikah.

Jaminan hak asasi dalam dokumen UDHR ini perlu dengan semangat yang betul. Jika kita boleh simpulkan di sini, hal ini bermakna jaminan terhadap kesihatan ibu dan anak dan jaminan terhadap kehidupan berkeluarga adalah satu jaminan yang menjadi satu prioriti sehingga disebut secara spesifik dalam dokumen ini.

Selain itu, aspek jaminan pada khidmat kesihatan dan perubatan yang memadai untuk seluruh umat manusia ini juga bertepatan dengan semangat Perkara 3, iaitu jaminan hak untuk bernyawa.

Pertubuhan lain yang juga bawah seliaan PBB, iaitu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga turut sama menegaskan kepentingan dan komitmen bagi memastikan dan menjamin penjagaan kesihatan ibu dan anak diberi penekanan khusus dalam menjamin penjagaan kesihatan primer (“Primary Health Care”) yang utuh.

Komitmen tersebut telah termeterai dalam deklarasi kesihatan primer pertama dunia iaitu Deklarasi Alma-Ata (https://www.who.int/publications/almaata_declaration_en.pdf) di Almaty, Kazakhstan pada 1978. Deklarasi baru pula termeterai pada 2018 yang lalu oleh negara-negara anggota WHO iaitu Deklarasi Astana (https://www.who.int/docs/default-source/primary-health/declaration/gcphc-declaration.pdf) yang menegaskan kembali intipati dan semangat Deklarasi Alma-Ata 1978. Hal ini bermakna, sebagai negara anggota WHO, Malaysia juga telah sedia menyatakan komitmen untuk merealisasikan Deklarasi Astana dan Deklarasi Alma-Ata.

Hal ini terbukti benar dengan dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sejak dahulu komited bagi memastikan semua penduduk di Malaysia mendapat khidmat kesihatan yang terbaik pada kos yang paling rendah. Malah komitmen ini juga dahulu hakikatnya terpakai juga buat warga migran, sehinggalah tahun 2014.

Pada tahun 2014, Malaysia telah mengumumkan bahawa warga asing perlu membayar penuh caj perubatan di fasiliti kesihatan milik KKM.

Benar, sememangnya ada justifikasi tindakan kerajaan ketika itu. Kita bukan negara berpendapatan tinggi yang mampu menanggung kos perubatan semua penduduknya dengan mewah. Maka rasionalisasi terpaksa dilakukan. Mesti ada golongan yang membayar kos-kos sebenar perubatan yang ditanggung KKM selama ini.

Tanggungan kos-kos ini penting agar KKM mendapat kembali pulangan kos perkhidmatan dan agar sistem kesihatan kita terus dapat beroperasi dengan stabil.
Maka kita boleh fahami semangat KKM dalam penggubalan dasar baharu yang iaitu mengenakan caj penuh bagi warga asing bukanlah bersifat diskriminasi, tetapi rasionalisasi sumber. Hal ini disokong lagi dengan pengenalan sistem bayaran penuh (FPP) yang diperluas untuk sesiapa yang mahu, termasuk warganegara, dengan tujuan memastikan perkhidmatan pakar kesihatan di hospital KKM boleh terus hidup.

Namun begitu, rasionalisasi sumber dan kewangan ini datang dengan harga yang mahal, iaitu tercabutnya semangat hak asasi dalam dokumen UDHR dan semangat Deklarasi Alma-Ata dan Deklarasi Astana di atas.

Perihal kehilangan semangat jaminan hak asasi dan jaminan kesihatan ibu dan anak dalam deklarasi-deklarasi di atas oleh sebab dasar baharu ini sunyi sekian lama, sehinggalah ia mula hangat dibincangkan kembali baru-baru ini dalam kisah bayi perempuan Wulan.

Bayi ini dilahirkan kepada pasangan PATI di sebuah hospital KKM. Mereka mahu mendapatkan rawatan bersalin di sebuah hospital KKM. Namun mereka telah diancam risiko tidak mampu berbuat demikian kerana mereka perlu mendahulukan deposit hampir RM 3000. Jika tidak, mereka tidak akan dijamin apa-apa rawatan.

Maka bermulalah kempen “Tabung Untuk Wulan” di media sosial bagi meraih dana yang mencukupi untuk pasangan ini. Kempen ini telah berjaya meraih hasil yang membanggakan iaitu hampir RM 5000 telah berjaya dikumpul. Jumlah ini akhirnya mencukupi untuk menanggung kos kelahiran anak tersebut di hospital itu.

Namun begitu, ini hanya satu sahaja cerita daripada banyak lagi cerita-cerita lain yang kemungkinan besar tidak sampai pada radar pengetahuan kita. Hakikatnya, cerita-cerita seumpama ini meneguhkan lagi bahawa terdapat satu bentuk diskriminasi yang sistematik terhadap golongan migran.

Diskriminasi ini bukan sahaja berbentuk kos yang perlu ditanggung, tetapi ketiadaan jaminan bahawa mereka akan mendapat rawatan kesihatan ibu dan anak. Jika mereka perlu bayar kemudian, kita mungkin boleh menarik nafas lega dan reda, dan kita boleh kumpul dananya kemudian. Sekurang-kurangnya ada jaminan kedua-dua ibu dan anak masih bernyawa.

Tetapi halangan peringkat awal lagi untuk mendapatkan rawatan penting ini sangat menggusarkan. Jika mereka tidak dapat dijamin untuk rawatan perubatan tersebut atau tidak dapat dijamin dalam sistem agar mereka dapat menanggung kosnya, hal ini bermakna kedua-dua nyawa ibu dan anak boleh terkorban. Kita sedang bercakap tentang pengorbanan dua nyawa hanya kerana sistem perlindungan hak asasi manusia yang lemah.

Penulis percaya, staf KKM malah KKM sendiri hanya menjalankan dasar yang ditetapkan kerajaan. KKM ini ialah antara Kementerian Kesihatan di dunia yang paling tegas berkiblatkan WHO dalam apa-apa perkara mereka mahu lakukan. KKM sentiasa berbangga dengan hal ini.

Hal ini juga terbukti apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham pernah memberi klarifikasi yang berani walaupun bercanggah dengan menteri lain, iaitu beliau tegas menyatakan bahawa ujian Covid-19 adalah percuma untuk warga asing juga, selari dengan semangat penjagaan kesihatan awam WHO.

Namun staf dan pegawai KKM tidak mampu berbuat apa-apa apabila sistem itu sendiri tidak membenarkan mereka, walau sekomited mana pun mereka dengan moto “Kami Sedia Membantu”.

Mereka tidak mampu membenarkan rawatan diberikan kepada pasangan migran ini tanpa jaminan deposit beribu-ribu ringgit kerana sistem kita. Mereka tidak mampu membenarkan pasangan PATI ini yang sudah diijab kabul ini berjumpa dengan anaknya hanya kerana statusnya; ini juga kerana sistem kita.

Sistem kita hakikatnya tidak membela hak asasi manusia yang penting iaitu hak untuk nyawa, hak untuk taraf hidup memadai untuk individu dan keluarga, hak untuk rawatan kesihatan, dan hak ibu dan anak tanpa mengira status; kesemua hak-hak ini merupakan hak asasi yang sepatutnya dijamin bersesuaian dengan semangat deklarasi hak asasi manusia UDHR, Deklarasi Alma-Ata, dan Deklarasi Astana yang disebut di atas.

 

Ada pula persoalan bahawa jika sistem yang digubal boleh dicabar hanya kerana isu kemanusiaan, maka apa gunanya sistem? Soalan ini amat aneh. Soalan yang sepatutnya ditanya ialah, jika sistem itu dibina dalam keadaan yang memastikan hak kemanusiaan tidak dijamin, mengapa sistem tersebut masih utuh dan tidak dipersoal?

Oleh sebab timbul persoalan mengarut inilah persoalan sama ada migran juga manusia tidak menjadi persoalan hitam putih. Hal ini terus jadi persoalan politik kerana masih ada manusia yang tidak boleh jawab dengan hitam-putih, malah boleh pula berdolak-dalih dengan hujah yang sengkek.

Kembali pada persoalan tentang komitmen terhadap jaminan khidmat kesihatan primer yang merangkumi kesihatan ibu dan anak, sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, komitmen ini telah dipersetujui oleh negara anggota WHO dalam Deklarasi Astana pada 2018, termasuklah Malaysia.

Aspek penting pada Deklarasi Astana ini ialah termeterainya deklarasi ini dalam Persidangan Global Penjagaan Kesihatan Primer di Astana, Kazakhstan 2015. Oleh sebab itu, Deklarasi Astana ini sebaik-baiknya dibaca bersama-sama semangat kenyataan gabungan pertubuhan masyarakat madani seluruh dunia pada kemuncak persidangan tersebut.

 

Intipati penting kenyataan gabungan pertubuhan masyarakat madani (https://www.uhc2030.org/fileadmin/uploads/uhc2030/Documents/Key_Issues/UHC2030_civil_society_engagement/Civil_Society_Statement-Global_Conference_on_Primary_Health_Care_FINAL.pdf) tersebut antaranya ialah penekanan terhadap jaminan liputan kesihatan untuk semua, terutamanya untuk golongan marginal, miskin, golongan mangsa stigma, dan golongan yang didiskriminasi.

Hal ini bermakna, penekanan terhadap kesihatan ibu dan anak yang menjadi komitmen negara anggota WHO dalam Deklarasi Astana mesti juga tidak meninggalkan golongan-golongan yang disebutkan di atas di belakang. Kita perlu mengakui bahawa golongan migran, termasuklah pelarian dan PATI ialah kebanyakannya golongan marginal, miskin, mangsa stigma, dan golongan yang didiskriminasi dan mesti dibantu malah dijamin haknya.

Adakah ini bermakna kita mesti berikan segala-galanya kepada mereka secara percuma?

Tidak semestinya begitu. Apa yang kita boleh lakukan ialah sekurang-kurangnya mewujudkan sistem yang memberi jaminan bahawa tidak kira status seseorang itu, nyawa mereka mesti terpelihara. Jika nyawa mereka hanya terpelihara jika mereka dijamin akan rawatan kesihatan ibu dan anak, maka itu yang perlu berlaku. Jika itu bermaksud rawatan perlu didahulukan meskipun mereka tidak mempunyai dana mencukupi, maka itulah yang perlu berlaku.

Malah mereka sepatutnya juga dapat dirujuk atau dirunding dengan autoriti yang sesuai agar kos perubatan mereka dapat ditanggung. Penulis sedar bahawa realitinya, sistem kesihatan awam kita sangat kekurangan dana sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Audit beberapa tahun yang lalu. Maka jika kita tak dapat memberi subsidi kepada migran, sekurang-kurangnya kita dapat mewujudkan sistem kebajikan yang sistematik.

Hal ini bukan kerana kita mahu sekadar jadi wira. Hal ini kerana kesihatan ibu dan anak sepatutnya tidak boleh dikompromi dengan politik. Kesihatan ibu dan anak mesti dijamin selari dengan komitmen dalam Deklarasi Astana yang dipersetujui Malaysia juga. Malah kesihatan ibu dan anak ini juga merupakan suatu hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh PBB.

Sepatutnya, tidak kiralah PBB, WHO, KKM, atau apa-apa autoriti pun, kita sepatutnya tanya pada diri sendiri, adakah nyawa seseorang itu bernilai? Sanggupkah kita biarkan nyawa ibu dan anak tergadai oleh sebab sistem tersebut menghalalkannya?
Adakah nyawa itu sesuatu yang sakral atau hanya satu bentuk nombor sahaja?

Saya akhiri persoalan tersebut dengan satu ayat daripada al-Quran, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Maidah, ayat 32:

“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.”

Wan Salman Wan Sallam ialah aktivis Belia Harmoni Cheras Baru

Leave a Reply