E-Pembelajaran: Normal Baharu Dunia Pendidikan

Oleh : Amir Shouqqie

Mahasiswa MMU 

Pandemik yang melanda dunia baru-baru ini telah memberi tamparan hebat kepada kesemua institusi. Institusi Pendidikan juga tidak terlepas dari turut terkesan sehingga menyebabkan majoriti institusi pengajian tinggi dan rendah ditutup buat seketika. Lumpuhnya institusi terpenting dalam peta masyarakat ini bermakna bakal lumpuhlah pembangunan negara dan kemenjadian modal insan dalam sesebuah negara itu. Alhamdulillah, kelumpuhan yang melanda institusi pengajian tinggi dapat dipulihkan dengan perkembangan teknologi yang membolehkan proses pembelajaran dibuat secara atas talian, atau panggilan lainnya, E-Pembelajaran.

Sebenarnya, tanpa kita sedar, dunia Pendidikan sudahpun mengalami beberapa pembaruan dan E-pembelajran bukanlah yang pertama. Dunia Pendidikan berubah seiring dengan perkembangan teknologi. Ketika wireless technology diperkenalkan dalam Era Revolusi Perindustrian 3.0, dunia pendidikan mengalami pembaharuan daripada papan putih kepada pemancar skrin yang memancarkan imej berwarna, daripada buku teks yang berat dan tebal kepada perisian alatan elektronik dan daripada pendokumentasian fail fizikal yang memenuhi ruang ke pendokumentasian di alam maya. Dunia sedang berkembang maju dan sedang melalui fasa era Revolusi Perindustrian 4.0 dimana kepintaran buatan (artificial intelligence) dan Data Raya (Big data) mula mendapat perhatian warga dunia. Saya kira, dunia pendidikan perlu melalui pembaharuan baru seiring dengan berkembangnya teknologi supaya pendidikan dapat terus memacu perubahan manusia sejagat.

Namun, tidak dinafikan, sepanjang E-Pembelajaran dibuat bagi tempoh waktu yang singkat untuk mengadaptasi wabak yang menimpa ini, masih terdapat banyak kelompongan yang perlu diperbaiki. Saya berpendapat bahawa kita harus terus bergerak kehadapan dengan membaik pulih kelompongan yang ada dan bukannya mundur kebelakang dengan kembali kepada keadaan sebelumnya. Wabak yang menimpa ini boleh menjadi asbab untuk kita terus mundur kebelakang, namun boleh jadi juga wabak ini menjadi asbab untuk kita terus maju membangun. Percayalah, E-Pembelajaran mampu untuk membawa naratif yang lebih baik buat dunia pendidikan.

Saya akan mengulas panjang mengenai E-Pembelajaran dengan memecahkannya kepada 2 bahagian iaitu;

1. Penambahbaiikan yang perlu dibuat

2. Kebaikan E-Pembelajaran

 

PENAMBAIKKAN

 

Fasiliti
Kita perlu akui, fasiliti yang kita ada di Malaysia masih belum membolehkan untuk E-Pembelajaran dibuat secara menyeluruh dan efisien. Antara fasiliti yang perlu ada untuk mempunyai akses kepada E-Pembelajaran merupakan akses internet yang laju dan laptop. Terdapat 2 permasalahan yang timbul iaitu:

1) Pelajar tiada akses internet yang laju atau tiada langsung capaian internet di kawasan perumahan mereka. Di Sabah sahaja, Berita Harian melaporkan terdapat lebih 52 peratus pelajar yang tiada akses internet di kawasan pedalaman.
2) Keluarga yang tidak mampu memiliki alatan komputer riba atau alatan elektronik

Bagi membaik pulih permasalahan pertama (1), cadangannya adalah untuk:
a) Pihak KPT dan pengurusan universiti mendapatkan data lengkap mengenai pelajar yang tidak mempunyai akses internet.
b) Kerajaan menambah peruntukan untuk menambah menara pencawang telekomunikasi di kawasan perumahan yang terpinggir.
c) Pihak pengurusan universiti menyalurkan bantuan simkad dengan akses internet kepada mereka yang memerlukan seperti apa yang telah dibuat oleh Multimedia University.

Namun, inisiatif ini mendapat kritikan dari pelajar MMU kerana limitasi capaian internet Unify Mobile di segelintir kawasan perumahan. Bantuan ini dapat dibaik pulih dengan menambah kerjasama dengan syarikat telekomunikasi yang lain supaya lebih banyak pilihan bantuan capaian internet dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.
d) Pihak pengurusan universiti menempatkan pelajar yang tidak berkemampuan di kolej universiti dan memberikan akses internet kepada meraka.

Bagi membaik pulih permasalahan kedua pula, cadangannya adalah:
a) Pihak KPT dan pengurusan universiti memberi bantuan berbentuk skim bantuan komputer riba yang bersifat one-off untuk setiap pelajar yang benar-benar susah. Bantuan ini juga boleh diberikan melalui bantuan Zakat kepada asnaf yang layak.
b) Menghadkan syarat minimum untuk pelajar mempunyai komputer riba atau alatan elektronik sebelum memulakan pengajian di universiti.

Mekanisme Pembelajaran
Antara kritikan yang diterima sepanjang E-Pembelajaran dibuat di Multimedia University sepanjang satu semester pendek adalah bagaimana kemenjadian E-Pemlajaran kepada pelajar. Ramai pelajar berpendapat bahawa E-Pembelajaran menyebabkan prestasi akademik mereka semakin merosot lantaran komunikasi yang tidak efisien antara pelajar dan pensyarah. Sebuah kaji selidik telah dibuat oleh Majlis Perwakilan Pelajar Multimedia University (MPP MMU) yang mendapat lebih 2296 responden membuktikan beberapa permasalahan yang timbul daripada kaedah pembelajaran yang telah dibuat. Saya simpulkan permasalahan yang timbul kepada dua iaitu:
1) Komunikasi yang terhad diantara pelajar dan pensyarah.
2) Keselesaan kaedah atau suasana pembelajaran yang tidak efisien

Cadangan penambahbaikan untuk permasalahan pertama ialah:
a) Pihak fakulti menambahbaik jadual pensyarah supaya tempoh konsultasi diperbanyakkan. Pengawasan perlu diperketatkan supaya tiada pensyarah yang tidak memberi komitmen penuh mematuhi jadual yang dibuat.
b) Meletakkan penilaian terhadap tahap komunikasi pelajar dengan pensyarah sebagai salah satu penilaian yang perlu dilepasi oleh pelajar pada setiap semester.
Cadangan penambahbaikan untuk permasalahan kedua ialah:
a) Pihak KPT melabur untuk pembikinan platform perisian pembelajaran secara atas talian yang efektif. Kita sedia maklum, platform pembelajaran atas talian yang sedang kita gunakan pada hari ini dicipta bertujuan untuk sesi mesyuarat atas talian dan bukannya dicipta khas untuk sesi pembelajaran yang melibatkan ramai pelajar. Sebagai seorang pelajar jurusan kejuruteraan perisian (Software Engineer), saya percaya masih banyak yang boleh diperbaiki untuk mewujudkan perisian yang menambah mutu pembelajaran secara atas talian.
b) Pihak KPT memberi garis panduan jelas perlaksanaan E-Pembelajaran yang efektif melalui kajian-kajian pakar atau cadangan guru berpengalaman. Tempoh sehingga Disember 2020 ini boleh digunakan sebagai tempoh kajian untuk datangkan garis panduan yang lengkap dan efektif untuk diaplikasikan dalam tempoh jangka masa panjang.

Peperiksaan
Peperiksaan merupakan isu penting yang perlu diperbaiki jika E-Pembelajaran mahu untuk dibuat dalam jangka masa Panjang. Umum mengetahui bahawa sistem peperiksaan kita pada hari ini merupakan peperiksaan yang berkonsepkan peperiksaan bertutup di dewan peperiksaan. Tiada rujukan luar dibenarkan dan tiada bantuan dari mana-mana pihak dibenarkan. Hal ini menimbulkan permasalahan apabila E-Pembelajaran dibuat iaitu;
1) Tiada pemantauan telus kepada pelajar yang menjawab peperiksaan secara bertutup. Ini menimbulkan kecacatan integriti kepada keputusan peperiksaan yang dikeluarkan pada hujung semester.
Bagi membaikpulih permasalahan ini, cadanganya adalah untuk;
a) Bagi kos pengajian yang tidak kritikal, pihak KPT dan pengurusan universiti perlu mendatangkan garis panduan rangka soalan peperiksaan yang tuntas. Cadangan bentuk peperiksaan adalah peperiksaan terbuka yang dikawal oleh masa. Walaupun sebuah kajian yang dibuat mengenai kemenjadian peperiksaan bertutup dan terbuka (Agarwal dan Roediger, 2011) menyebelahi peperiksaan bertutup, namun saya percaya bahawa pada dunia maklumat di hujung jari, bukanlah kemahiran hafalan maklumat yang perlu dikuatkan, tetapi kemahiran mencari maklumat.
b) Pihak KPT perlu menggiatkan usaha untuk membikin perisian yang mampu untuk menyelia peperiksaan secara atas talian. Sungguhpun sudah terdapat perisian yang boleh digunakan secara percuma kini, saya berpendapat bahawa masih terdapat kelompongan pada sistem perisian tersebut yang memungkinkan untuk terdedah kepada serangan luar atau dalam.

Funsi Kampus dan Yuran
Satu persoalan yang mungkin timbul apabila E-Pembelajaran dibuat secara menyeluruh kelak, maka apakah fungsi kampus yang sedia ada. Pernyataan media Kementerian Pengajian Tinggi bertarikh 27 Mei telah menjawab beberapa persoalan. Tujuan kampus boleh digunakan secara menyeluruh untuk pelajar kursus kritikal yang memerlukan fasiliti makmal atau bagi mereka yang sedang membuat kajian. Fungsi kolej universiti pula boleh diperkemaskan dengan menempatkan pelajar yang tiada akses internet kerana tidak berkemampuan (rujuk bahagian fasiliti di atas).

Permasalahan lain yang timbul apabila pelajar tidak lagi memenuhi kampus seperti sebelumnya, adalah bagaimana ia akan memberi kesan kepada yuran pengajian. Di dalam Institusi Pengajian Tinggi Swasta, berdasarkan pemerhatian saya sepanjang berada dalam MPP, terdapat 4 jenis yuran yang dikenakan iaitu;
1) Yuran Fasiliti (Resource Fees)
2) Yuran Pengajian
3) Yuran Aktiviti Pelajar (Student Activities Fees)
4) Yuran Asrama
Cadangan penambahbaikan supaya yuran dapat digunakan sehabis baik dan mendapat kepuasan hati semua pemegang taruh universiti, saya mencadangkan supaya;
a) Yuran Fasiliti dikaji semula penggunaannya dan menambah bahagian di dalamnya supaya memberikan insentif akses E-Pembelajaran, samada alatan elektronik ataupun akses capaian internet.
b) Yuran pengajian dikekalkan kerana proses pembelajaran berjalan seperti biasa. Namun, jika terdapat kritikan daripada pelajar bahawa tiada usaha penambahbaikan kepada keberkesanan tahap pembelajaran para pelajar, pihak universiti perlu didesak untuk kaji semula yuran pengajian.
c) Yuran Aktiviti Pelajar dikurangkan atau diberi diskaun yang munasabah kerana aktiviti sosial pelajar dikurangkan dan tidak semua akan terlibat secara langsung.
d) Yuran Asrama dikekalkan bagi meraka yang masih menetap di kolej.

 

Kebaikan E-Pembelajaran
Sebelumnya saya ada menyebut bahawa E-Pembejalaran mampu memberi nafas dan naratif baharu yang baik buat dunia pendidikan. Apakah ia? Saya percaya, pendidikan tertier yang dahulunya dipandang sebagai pendidikan ‘kelas elit’ dan pendidikan ‘eksklusif’ mampu dimurnikan dengan menjadikannya inklusif buat semua lapisan masyarakat. Statistik Pendidikan Tinggi tahun 2018 menunjukkan hanya 864 592 pelajar yang diterima kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi bagi matrikulasi, kolej komuniti, politeknik, IPTS dan IPTA berbanding jumlah permohonan seramai 2 687 660.

Saya percaya, E-Pembelajaran mampu membuka ruang supaya lebih ramai masyarakat mendapat tempat di intitusi pengajian tinggi dan merealisasikan hasrat “Universiti untuk masyarakat”. Ini merupakan hasrat besar mengapa saya percaya kita harus terus kedepan dan terima E-Pembelajaran sebagai satu naratif baharu dalam dunia pendidikan.

Antara kebaikan lain yang mungkin mampu disumbangkan melalui kemenjadian E-Pembelajaran ialah universiti di Malaysia boleh menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk memohon kemasukan ke Universiti tempatan. E-Pembelajaran membolehkan seseorang itu tidak perlu berada di lokaliti tersebut, tetapi boleh sahaja pelajar tersebut berada di negara mereka. Hal ini bukan sahaja membawa aliran kewangan baharu ke dalam negara, tetapi juga mampu untuk mempromosikan negara ke peringkat yang lebih tinggi dalam pendidikan.

Sejarah telah membuktikan bagaimana pendidikan telah menjadi senjata utama dalam membentuk sebuah tamadun. Sejarah merupakan sunnatullah yang sentiasa mencari jalan untuk mengulangi peristiwa yang telah berlaku. Dunia akan terus berubah seiring dengan kemajuan teknologi. Wabak ini telah membuktikan bagaimana teknologi memenangkan manusia melawan wabak yang membunuh.

Kemajuan teknologi inilah juga yang menjadikan dunia pendidikan mendapat sinar harapan dari terus runtuh tatkala manusia tidak lagi boleh bertemu dua muka dalam bilik kuliah. Teknologi akan terus bertambah maju hari demi hari, saya percaya keputusan dunia pendidikan harus mengambil tempat dalam gerabak kemajuan teknologi. Harapan besarnya adalah supaya kemajuan teknologi kelak akan dipandu oleh bijak pandai yang lahir dari dunia pendidikan dan bukannya dari kerakusan manusia membolot hasil bumi.

Rujukan:
1) https://www.moe.gov.my/en/muat-turun/laporan-dan-statistik/pendidikan-tinggi/buku-perangkaan/2018-10/2401-statistik-pendidikan-tinggi-2018-bab-1-pdf/file
2) https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/05/564479/saingan-ke-universiti-makin-sengit
3) http://www.astroawani.com/berita-malaysia/masalah-internet-infrastruktur-p-p-di-rumah-jadi-keluhan-rakyat-malaysia-kajian-237984
4) https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/686499/52-peratus-pelajar-sabah-tiada-akses-internet
5) https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fpsyg.2019.00463/full

Leave a Reply