Pandangan

Syaifudin Yahaya – COVID-19 Sebuah Tanggungjawab Yang Harus Dipikul Bersama Demi Negara

ISU PENULARAN WABAK COVID-19 : TANGGUNGJAWAB YANG HARUS DIPIKUL BERSAMA DEMI NEGARA

Assalamualaikum wbt.

1. Sehingga tulisan ini ditulis, pandemik COVID-19 di negara kita telah sampai ke satu tahap yang pada hemat saya sangat membimbangkan. Pertambahan kes baharu sebanyak 212 kes ini telah menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 1,518 orang. Kadar kematian juga meningkat hari demi hari dengan pada ketika ini adalah sebanyak 14 kematian.

2. Dalam keadaan ini, rakyat perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order, MCO) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. Langkah yang diambil oleh kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara ini adalah bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 ini dapat diputuskan. Sudah pasti, kita tidak mahu pandemik ini terus meruncing kerana ia akan memberi kesan yang sangat buruk kepada negara.

3. Rakyat pada saat ini perlu patuh kepada arahan kerajaan terhadap MCO kerana kita tidak dapat menduga perkara yang bakal terjadi dalam hari-hari mendatang. Dalam episod inilah, semua pihak perlu berganding bahu dalam memastikan negara kita terus mempunyai kemampuan untuk menghadapi masa yang sukar ini. Sama ada dari rakyat, mereka yang berkhidmat di lapangan dan tidak ketinggalan ialah pihak kerajaan.

4. Kepada rakyat, inilah masa untuk kita bersolidariti bersama dalam mencegah COVID-19 ini. Teruslah tinggal di rumah dan keluar hanya apabila keadaan sangat perlu. Nasihat juga kepada semua agar tidak membuat ‘pembelian panik’. Tindakan tersebut hanya akan memberi kesan buruk terhadap pasaran, permintaan, penawaran dan inflasi serta kuasa wang yang ada di tangan masyarakat. Beli hanya mengikut keperluan. Kita juga diminta untuk sentiasa patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia.

5. Kepada mereka yang sentiasa komited berkhidmat di lapangan terutamanya “frontliners” salutasi yang terbaik kami berikan. Dari pasukan polis, tentera, pihak pos, sahabat- sahabat penghantar makanan dan semua penyedia perkhidmatan penting negara ketika ini, jutaan terima kasih kami sampaikan. Yang paling utama sekali adalah kepada petugas kesihatan yang mempertaruhkan nyawa rentas kemanusiaan dalam membantu untuk menyelamatkan semua. Entah apa kekuatan yang ada dalam diri mereka sehingga mereka mampu untuk ‘berjihad’ dalam perjuangan sebesar ini. Hanya Dia sahaja yang mampu membalas segalanya. Kami yakin dan faham akan keletihan dan keupayaan kalian yang sudah semakin luntur. Namun kami tahu, kalian adalah ‘kiriman Tuhan’ yang sentiasa kuat. Jagalah diri, jaga kesihatan dan sokongan moral dari kami sebagai rakyat sentiasa mengiringi perjuangan kalian.

6. Kepada pihak kerajaan yang kekal komited berkhidmat tanpa prejudis walaupun timbul cabaran dari kiri dan kanan, semoga dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik. Dalam keadaan ini, negara sedang diuji dengan situasi ekonomi yang sangat kritikal. Kejatuhan harga minyak dunia, keadaan defisit negara dan pelbagai lagi cabaran ekonomi perlu ditangani dengan sebaiknya. Kita pernah berhadapan Krisis Kewangan 97/98 dahulu dan tidak mustahil negara akan berhadapan dengan ‘Tsunami Ekonomi’ yang maha dahsyat.

Ianya berikutan kesan yang dihadapi bukan sahaja oleh Malaysia malah seluruh dunia. Dalam keadaan ini, negara dalam keadaan mana sekalipun terpaksa berhadapan dengan defisit kewangan yang tinggi demi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan. Industri yang menjadi hasil negara juga terjejas teruk yang sudah pasti akan memberi impak. Namun, kami sebagai rakyat menaruh keyakinan kepada kerajaan agar dapat membendung keadaan dari terus meruncing dan dapat menstabilkan keadaan. Pelbagai rangsangan ekonomi juga telah diatur untuk memastikan semua pihak terutamanya rakyat tidak terjejas teruk rentetan keadaan yang berlaku ini.

Jauh di sudut hati, kita yakin dan percaya segala apa yang berlaku ini mempunyai hikmah yang tersendiri. Ada mesej yang perlu kita singkap dan fahami. Bersamalah kita semua memohon kepada-Nya agar segala musibah yang melanda kita ini dapat segera diredakan.

Akhir sekali, ada satu lagi tanggungjawab yang tergalas di bahu kita sebagai masyarakat yang bertamadun iaitu sentiasa menyampaikan berita benar. Elakkan daripada menyampaikan ‘fake news’ yang hanya akan menimbulkan panik dan kebimbangan terutama kepada orang awam.

Hanya kepada Allah kita berserah. Semoga negara kita terus berada dalam kesejahteraan dan kemakmuran hendaknya. Teruskan munajat, harapan dan doa. Dihujungnya, pasti akan ada kebaikan yang datang.

#StaySafe #StayAtHome #TogetherWeFight #HeroDiSebalikTopeng #DudukDiRumah

Terima kasih.

MOHAMAD SYAIFUDIN BIN YAHAYA,

Ahli Majlis Pimpinan Rakan Siswa YADIM Negeri Perak 19/20

LEAVE A RESPONSE