Perintah Kawalan Pergerakan atau Movement Control Order yang dilaksanakan antara 18 Mac sehingga 14 April ini menyaksikan beberapa sektor dalam negara perlu “direhatkan” atau ditutup sementara bagi membendung penularan wabak Covid-19. Perkara ini menyebabkan sebahagian besar rakyat Malaysia perlu mematuhi arahan pihak berkuasa untuk menghadkan pergerakan keluar dari rumah.

Di media sosial khususnya pelbagai aktiviti dikongsikan oleh warga maya mengenai aktiviti mereka sepanjang tempoh duduk di rumah. Ada yang memasak dan mencuba pelbagai resepi masakan, ada yang mencuba resepi tular dalgona coffee dan sebagainya. Antara yang menarik perhatian adalah pesanan-pesanan khas dari agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang menyarankan supaya rakyat Malaysia memanfaatkan tempoh duduk di rumah ini dengan aktiviti membaca. Tidak ketinggalan, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menitipkan pesanan buat seluruh rakyat Malaysia agar memanfaatkan masa di rumah dengan mempelajari ilmu. Menerusi hantaran di laman sosial beliau pada 21 Mac 2020, beliau menulis “Bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya”. Hantaran ini mendapat lebih 28 ribu likes dan 1700 perkongsian di laman sosial.

Kehebatan Tun Dr Mahathir dalam arena politik memang tidak dapat disangkal lagi apabila beliau menjadi Perdana Menteri yang paling lama memerintah Malaysia selama 22 tahun. Ketika era pemerintahan beliau, Malaysia bertukar dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian sekaligus memberi limpahan ekonomi yang bermanfaat pada seluruh rakyat tidak kira dari bandar mahupun luar bandar.

Jika disoroti latar belakang sosok negarawan ulung ini, kecintaan beliau pada Bangsa Melayu menyebabkan beliau banyak menghabiskan zaman muda beliau dengan berjuang untuk Bangsa Melayu. Beliau menjadi antara individu yang paling lantang menentang penubuhan Malayan Union melalui surat-surat yang ditulis oleh beliau sendiri kepada akhbar-akhbar tempatan ketika itu. Ketika melanjutkan pelajaran di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura beliau masih aktif menulis mengenai masalah-masalah yang dialami oleh Bangsa Melayu ketika itu. Penulisan-penulisan beliau disiarkan di akhbar The Sunday Times dengan menggunakan nama pena Che Det.

Tun Dr Mahathir juga pernah menulis satu surat kritikan pedas kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj berkaitan dengan isu rusuhan kaum yang terjadi pada 13 Mei 1969. Di dalam surat tersebut, Tun Dr Mahathir mengkritik sikap Tunku Abdul Rahman yang menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu dengan mengatakan Tunku terlalu bertolak ansur dengan kaum Cina dengan memberikan apa yang mereka mahukan sehingga mencetuskan rusuhan kaum antara Kaum Melayu dan Kaum Cina. Di sini dapat kita lihat, Tun Dr Mahathir menggunakan penulisan- penulisan beliau untuk memberi kesedaran pada Kaum Melayu serta berani memberi teguran terhadap pemimpin yang melakukan kesalahan.

Meskipun telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, beliau dilihat masih lagi aktif mengkritik serta memberi pendapat berkenaan situasi politik tanah air serta isu-isu antarabangsa. Perkara ini dapat dilihat apabila beliau banyak menulis berkenaan kritikan dan pendapat beliau dalam blog beliau sendiri yang diberi nama, Chedet.com. Antara isu-isu antarabangsa yang beliau sering utarakan dalam penulisan beliau adalah kritikan pedas untuk negara haram Israel berkenaan penindasan yang dilakukan terhadap Rakyat Palestin. Selain itu, Tun Dr Mahathir juga dilihat berani dalam menegur pemimpin- pemimpin negara yang dirasakan olehnya telah menyalahgunakan kuasa terutama ketika era pemerintahan Dato’ Seri Najib Razak.

Menerusi satu hantaran oleh Tun Dr Mahathir di laman sosial miliknya pada 9 April 2018, beliau mengatakan pada tahun 1970 masa beliau banyak dihabiskan dengan aktiviti menulis. Di samping itu, beliau sertakan sekali gambar ketika beliau muda sambil berseloroh dengan mengatakan “Menulis sampai tak sempat bercukur. Hasmah pun ketawa melihat saya.”. Dalam hantaran tersebut beliau juga sempat berpesan supaya anak muda sentiasa rajin menulis.

Sebagai seorang mahasiswa, saranan Tun Dr Mahathir supaya kita sentiasa rajin membaca dan menulis wajar diambil dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Membaca merupakan jendela kepada pengetahuan di dunia.Apabila kita banyak membaca pengetahuan kita semakin luas membolehkan kita untuk menulis. Dengan menulis juga kita mampu mengubah dunia di sekeliling kita. Memetik kata-kata Edwar Bulwer-Lyon, seorang penulis berbangsa Inggeris bahawasanya, pena itu lebih berkuasa berbanding pedang.

 

NOORHASLINA

SUARA MAHASISWA UTHM     

Leave a Reply