COVID-19: ANTARA BALA ATAU HIKMAH

OLEH: HAIKAL ZULKEFLI

 

Siapa sangka, Malaysia yang sentiasa tenang apabila bencana alam berlaku, telah ditimpa wabak penyakit yang semakin merisaukan iaitu Covid-19. Penularan virus ini begitu pantas sehinggakan kerajaan dan rakyat seperti baru tersedar dari lamunan yang panjang. Bilangan individu yang positif Covid-19 terus meningkat dan angka kematian menambahkan rasa gerun di hati.

Firman Allah Taala dalam Surah Fushilat ayat 53 yang mafhumnya:

Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa Al Qur’an itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?”

Allah telah menerangkan bahawa Allah swt selalu dan tiada henti memperlihatkan ayat-ayat dan kuasa Ilahi-Nya dalam seluruh ufuk alam semesta. Tercakup di dalamnya, Ia telah menciptakan langit, bumi dan segala isinya. Demikian juga, Allah swt telah mengaturnya dengan hukum-hukum dan sunnah Ilahi tertentu sesuai dengan kadarnya. Misalnya, matahari, bulan dan bintang-bintang beredar pada paksinya. Gunung dan lempeng-lempeng bumi selalu bergerak pada tempatnya.

Maka melalui pemahaman ayat ini, eloklah kita faham bahawa tiada satu pun yang terlepas dari kekuasaan Allah. Segala bencana dan wabak yang diberikan adalah hanya dengan perintah Allah bagi menguji dan menyedarkan manusia bahawa kita tiada apa di dunia ini tanpa-Nya.

Dalam ujian yang menyakitkan, ia terkandung pelbagai hikmah yang sangat besar buat sekalian makhluk. Mungkin sudah lama kita hidup tanpa arah tujuan. Maka Allah datangkan Covid-19 untuk meluruskan laluan kita kepada-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syu’ara ayat 30 yang bermaksud:

Dan apa jua menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dosa kamu.”

 

Allah beri ujian, tapi kenapa masih ada yang merungut? Malah masih bergaduh disebabkan politik yang tidak langsung memberi kebaikan malah ia memberi gambaran bahawa hati kita begitu keras untuk menerima hakikat bahawa dunia sudah hampir tiba ke penghujungnya.

Tidak langsung kita mengambil ibrah dan iktibar dari kisah kisah umat terdahulu yang telah Allah timpakan seberat berat azab sehingga terus hilang dari peta dunia dan yang tinggal hanyalah saki baki sebagai peringatan kepada umat seterusnya.

Hikmah yang Allah berikan pada kita terlalu banyak. Tetapi kita hanya sibuk menghitung dosa orang lain sedangkan kita juga punya dosa dan aib yang Allah tutup. Alangkah baiknya jika diwaktu begini kita gunakan untuk refleksi diri. Kita perlu sedar bahawa kita hanya salah satu makhuk ciptaan-Nya. Mengisi masa dengan menambah amal kebaikan mencari kembali tujuan hidup yang kian pudar.

Ketika ini juga kita boleh mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan yang mungkin renggang dek kerana sibuknya kita bekerja mencari rezeki. Jika sebelum ini di waktu bekerja, kita mahukan cuti, dan sekarang kita dapat cuti yang kita mahu, apalagi yang kita mahukan? Tidakkah kita perlu bersyukur atas nikmat masa lapang yang Allah berikan pada kita seperti yang telah dirakam dalam Surah Ar-Rahman ayat 13:

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

 

Di waktu begini juga kita dapat mengasah kembali skil rumahtangga yang mungkin selama ini kita serahkan kepada isteri atau ibu kita sepenuhnya. Maka, kali ini kita pula yang lakukan untuk mereka sebagai tanda kasih sayang kita pada mereka yang telah bertungkus lumus menjaga kita dengan sebaiknya tanpa kurang sedikit pun.

Sebagai ibu bapa pula, mungkin kali ini dapat luangkan masa bersama anak anak yang dahagakan kasih sayang. Duduk bersama anak anak untuk lakukan solat Jemaah dan mengaji bersama. Hidupkan kembali keluarga dengan ajaran Islam yang benar. Pasakkan mereka dengan nasihat nasihat yang berhikmah.

Sebagai rakyat, ikuti perintah pemerintah untuk terus berada di rumah. Jangan diambil enteng atas segala arahan. Wajib bagi kita untuk patuh kepada pemerintah selagi mana tidak mengajak kepada keburukan. Apa saja isu politik yang berlaku sebelum ini, ini bukan masa untuk menyalahkan. Malah ada lebih teruk ada yang mengatakan bahawa penularan virus Covid-19 ini disebabkan kerajaan kini yang digelar ‘kerajaan pintu belakang’. Lebih molek jika kita sebagai rakyat memberi solusi dan sama sama kita bangunkan kembali negara kita dalam menghadapi tentangan Covid-19 ini.

Sebagai pemimpin, laksanakan amanah yang telah diberi dengan sebaiknya. Peluang hanya datang sekali. Buktikan kesungguhan dalam menangani penularan virus ini dan hentikan sentimen politik. Tidak kira apa blok sekalipun, tugas sebagai pemimpin adalah memimpin, bukan menghentam. Jangan keluarkan kenyataan yang bersifat simplistik. Mungkin Allah beri ujian ini melihat keikhlasan pemimpin dalam menjalankan amanah. Jadi teruskan gerak kerja, kurangkan kontroversi.

Apa pun yang menjadi kegusaran kita, jangan kita lupa mendoakan segala usaha kita untuk menangani Covid-19 ini menemui jalan akhirnya. Hikmah terbesar di sebalik semua ini adalah kita akhirnya mengakui bahawa kita tidak mampu dan tiada kekuatan untuk melawan tentera Allah yang kecil ini. Sehebat manapun teknologi dan pengetahuna kita, kita tetap punya keterbatasan ilmu. Di sini kita akan mula mencari Allah sebagai jalan pulang kita. Moga kita semua diberi kesihatan yang baik dan kembali kepada fitrah kita iaitu Islam.

 

Haikal Zulkefli

Bekas Mahasiswa

Leave a Reply