COVID-19 DAN CASHLESS DI MALAYSIA

 

Wabak Covid-19 yang melanda negara telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.Menurut pelbagai sumber, virus Covid-19 ini boleh bertahan selama 12 jam di atas permukaan besi. Manakala, jika virus ini jatuh di atas permukaan kain, ia boleh bertahan selama 9 jam. Justeru, kita disarankan untuk kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta membasuh baju bagi membunuh virus tersebut. Tetapi bagaimana pula jika virus ini jatuh ke permukaan wang kertas yang kita gunakan selalu?

Beberapa hari lepas, seorang pengguna laman sosial menghantar hantaran berbentuk video, menunjukkan cara-cara untuk “membasuh” duit bagi tujuan pencegahan Covid-19. Video tersebut menarik perhatian warga maya dan mendapat jumlah share dan likes yang tinggi. Persoalannya sekiranya perkara ini terjadi, adakah terdapat alternatif lain yang boleh menggantikan penggunaan wang kertas dalam kehidupan seharian kita.

Salah satu cara yang boleh diambil bagi menggantikan penggunaan wang kertas adalah transaksi tanpa tunai atau cashless. Cashless bermaksud pembayaran tanpa menggunakan wang tunai sebaliknya menggunakan sistem pembayaran elektronik atau sistem pembayaran atas talian. Pelbagai medium yang digunakan bagi mengeluarkan wang elektronik sama ada berasaskan kad atau rangkaian seperti dompet elektronik/ e-wallet menerusi peranti mudah alih. Terdapat pelbagai jenis transaksi tanpa tunai atau cashless yang diperkenalkan seperti cek, kad kredit atau debit, e-wallet, matawang kripto dan sebagainya.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mengambil langkah untuk memperkenalkan transaksi tanpa tunai atau cashless kepada masyarakat. Ini dibuktikan apabila Mantan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng telah mengumumkan Program e-Tunai Rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2020. Insentif kerajaan ini telah memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan tahunan kurang dari RM100 ribu untuk menikmati pemberian RM30 ke dalam dompet digital atau e-wallet masing-masing. Antara pengendali e-dompet yang terlibat adalah Grab, Boost dan Touch’n Go.

Menurut laporan Akhbar Berita Harian pada 17 Januari 2020 ,usaha kerajaan ketika itu dilihat berjaya apabila lebih RM 18 juta telah dibelanjakan oleh para pengguna pada hari kedua pelaksanaannya. Langkah yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Harapan ini wajar dipuji demi menggalakkan budaya digital dalam kalangan masyarakat seterusnya memberi pendedahan kepada semua lapisan masyarakat khususnya yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengkuti perkembangan teknologi ke arah dunia tanpa wang tunai.

Walaubagaimanapun, usaha ini mungkin mengambil masa yang agak panjang disebabkan beberapa faktor. Antaranya kekangan dari sudut penduduk luar bandar dan waga tua yang mungkin ada sebahagiannya yang masih kurang celik dalam penggunaan teknologi.

Penduduk di luar bandar masih bergantung pada penggunaan wang tunai untuk berurusan di kedai-kedai runcit, pasar malam atau kedai-kedai makan. Selain itu, terdapat juga beberapa pasaraya atau kedai-kedai yang masih belum menyediakan perkhidmatan transaksi tanpa tunai dan hanya menerima wang tunai sebagai pembayaran.

Sebagai seorang mahasiswa, wajar untuk kita belajar dan mempraktikkan diri menggunakan perkhidmatan pembayaran cashless atau tanpa tunai bagi menyahut seruan Revolusi Industri 4.0 yang ingin mengoptimumkan perkhidmatan manusia dalam urusan kehidupan seharian sekaligus menggantikannya dengan perkhidmatan digital. Tambahan pula, perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 yang dilaksanakan di Malaysia pada 18 Mac hingga 31 Mac ini memaksa seluruh rakyat untuk duduk di rumah dan menghadkan pergerakan keluar rumah.

Kita disarankan untuk duduk di rumah sahaja dan jika perlu untuk keluar rumah bagi tujuan penting sahaja seperti membeli barang keperluan harian.Di sini kita lihat, penggunaan transaksi tanpa tunai atau cashless seperti perkhidmatan pembayaran atas talian atau e-wallet adalah sangat digalakkan ketika ini. Kita tidak perlu bersusah payah untuk mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM atau beratur panjang di pejabat-pejabat kerajaan untuk membayar bil sekaligus menghadkan pergerakan keluar rumah. Selain itu, ianya juga mengurangkan risiko jangkitan apabila kita menyentuh wang tunai yang sering bertukar tangan antara orang lain.

 

Sekian, terima kasih.

NOORHASLINA,

SUARA MAHASISWA UTHM

Leave a Reply