Pandangan

Noor Haslina – Mahasiswa & Cuti 14 Hari

MAHASISWA DAN CUTI 14 HARI

Perintah Kawalan Pergerakan atau Restricted Movement Order yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac kelmarin telah memaksa beberapa sektor dalam negara untuk ditutup serta merta sepanjang tempoh ini, Antara yang terlibat adalah sektor pendidikan dari peringkat rendah sehingga Institusi Pengajian Tinggi diarah untuk ditutup sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini.

Meskipun pada awal pengumuman ini, teman- teman mahasiswa tidak ubah seperti bola yang ditendang ke sana ke mari. Pengumuman oleh Pihak Kerajaan, Pihak Polis Diraja Malaysia dan Pihak Pengurusan Universiti masing-masing yang agak bercanggah antara satu sama lain telah mencetuskan panik dan membuatkan teman- teman mahasiswa bingung serta berbelah bahagi sama ada perlu pulang atau tidak ke kampung halaman masing-masing.Tapi saya percaya di hari keempat perintah kawalan pergerakan (ketika saya menulis ini), teman- teman mahasiswa semua sudah berada dalam keadaan yang selesa sama ada di pangkuan keluarga atau di kolej-kolej kediaman.

Cuti sepanjang 14 hari boleh dimanfaatkan dan diisi dengan perkara- perkara yang berfaedah.Berikut antara perkara yang boleh dilakukan oleh teman- teman mahasiswa sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini.

 

1. Rehat secukupnya dan amalkan gaya hidup yang sihatJika hari- hari teman- teman mahasiwa sebelum ini sangat sibuk dengan kuliah dan tugasan-tugasan lainnya, maka cuti 14 hari ini dapatkanlah rehat yang secukupnya sambil mengamalkan gaya hidup yang sihat. Lakukan aktiviti senaman di rumah sepertimana yang disarankan oleh Menteri Belia dan Sukan. Meski duduk di rumah, kita harus kekal sihat sepanjang hari.Elakkan pemakanan yang kurang berkhasiat lantas boleh menambahkan berat badan kita sepanjang 14 hari ini.

2. Aktiviti Kerohanian
Inisiatif yang dilakukan oleh Pihak JAKIM pada 20 Mac lepas yang menyeru rakyat Malaysia melaksanakan Quran Time di rumah masing-masing wajar dipuji.Cuti 14 hari ini boleh diisi dengan aktiviti-aktiviti kerohanian bagi santapan rohani teman-teman mahasiswa semua. Jika sebelum ini, mahasiswa agak penat dengan aktiviti seharian di univeristi menyebabkan mungkin kita kurang berkesempatan untuk melaksanakan qiyamullail atau aktiviti- aktiviti sunat yang lain. Maka, di kesempatan dan ruang waktu ini lakukanlah amalan- amalan sunat yang akan memberikan kekuatan jiwa dalam diri teman-teman mahasiswa. Pohon doa juga buat kesejahteraan negara kita agar pulih dari wabak Covid-19 ini secepat mungkin.

3. Tingkatkan Kualiti Diri
Cuti 14 hari boleh dimanfaatkan dengan membaca buku- buku atau artikel-artikel, menonton video-video bermanfaat di youtube, atau bermain permainan online atau e-sport.Pokoknya, lakukan apa sahaja yang teman-teman mahasiswa gemar dan tukarkan ia menjadi sesuatu yang bermanfaat bagi mengembangkan pemikiran teman-teman mahasiswa.

4. Jadi Warga Maya yang Bertanggungjawab
Saya juga menyeru agar teman- teman mahasiswa menjadi warga maya yang bertanggungjawab terutama dalam menyebarkan sebarang berita pada saat- saat genting ini. Berhentilah menjdi penyebar berita palsu yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat atau penyebar-penyebar teori konspirasi yang menjengkelkan berkenaan wabak Covid-19 ini. Bukankah menyebarkan berita palsu itu ditegah dalam Islam.

Sekian, Terima kasih.

NOORHASLINA,
SUARA MAHASISWA UTHM

LEAVE A RESPONSE