Baru-baru ini, saya telah menonton sebuah filem Tamil ( Kollywood ) yang bertajuk Aaytha Ezhuthu yang membawa maksud Tiga Titik. Filem ini dikeluarkan pada tahun 2004 oleh Mani Ratnam. Tiga titik yang dimaksudkan adalah tiga individu yang mempunyai karakter dan personaliti yang berbeza. Tiga individu tersebut adalah Inba, Michael dan Arjun. Inba seorang samseng upahan dan sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa manakala Michael merupakan mahasiswa yang berjuang untuk membawa perubahan sosial dan memperbaharui sistem politik. Arjun pula seorang pemuda yang cintakan keseronokan hidup semata-mata dan tidak peduli akan masyarakat.

Karakter Michael merupakan karakter yang paling menyerlah dalam filem ini kerana perjuangannya demi membawa satu revolusi politik dalam kalangan mahasiswa. Tahukah anda karakter Michael ini diinspirasikan oleh pengarah daripada seorang anak muda yang bernama George Reddy. Personalitinya luar biasa kerana kehidupannya penuh  dengan perjuangan tetapi kini sejarah anak muda ini dikebumikan di rak akhbar lama perpustakaan negara India.

George merupakan pemegang pingat emas dalam bidang Fizik dan peninju yang terlatih. Beliau belajar di Universiti Osmania, Hyderabad. Berideologikan Marxisme dan berhaluan aliran kiri, beliau meletakkan dirinya sebagai pelajar yang mampu membawa satu revolusi politik dan perbaharuan dalam kalangan mahasiswa. Beliau juga dianggap sebagai “ Che Guevara Universiti Osmania”.

George  dipengaruhi oleh pemberontakan pelajar Soweto terhadap dasar aparteid di Afrika Selatan, revolusi yang dibawa oleh pelajar pada Mei 1968 di Perancis , gerakan Black Panthers yang muncul di Amerika Syarikat, dan perjuangan rakyat Vietnam terhadap imperialisme AS serta pemberontakan petani di Naxalbari dan Srikakulam.

George menjadi simbol kekuasaan protes mahasiswa yang penuh demokratik, progresif dan radikal. George sangat anti penubuhan ( anti-establishment ) dan anti imperialis.

Beliau kemudiannya menubuhkan Progressive Democratic Students Union       (PDSU) yang bertujuan membina gerakan pelajar, dan 14 matlamat yang antaranya adalah

  • Untuk membebaskan India daripada tangan imperialisme, feudalisme dan segala perkhidmatan mereka.
  • Untuk sistem pendidikan pro-rakyat, saintifik dan progresif
  • Perjuangan menentang penindasan jantina dan pengeksploitasian wanita
  • Melawan penindasan kasta yang berbeza
  • Menentang segala perkara bersifat tahyul, ritual keagamaan yang dilihat membawa kepada kemunduran masyarakat

Setiap kali pada cuti panjang yang diberikan, George bersama rakan-rakan perjuangannya menganjurkan kempen melawat ke kampung sekeliling. Mereka akan mengkaji dan menulis keadaan sosioekonomi di kawasan luar bandar. Sebagai amalan, mahasiswa dikekalkan menjalankan kajian di kawasan masyarakat yang paling tertindas dan teraniaya.

George pernah menganjurkan satu perbahasan mengenai topik Revolusi Bersenjata di India  di mana beliau membuat satu penyampaian yang penting. Beliau membangkitkan isu keganasan dan mempersoalkan pemikiran rakyat dan pemimpin masih menerima kuasa penjajah Inggeris walaupun telah berakhirnya pemerintahan kolonial Barat. Beliau turut memetik kata-kata aktivis hak asasi manusia, Malcolm X,

“You will get freedom by letting your enemy know that you will be able to do anything to get your freedom, then you will get it. It is the only way you get it… They will call you an extremist or a subversive or seditious or a red or radical. But when you stay radical long enough and get enough people to be like you, you will get your freedom”.

Beliau sering membawa banyak topik untuk perbincangan dan diskusi bersama mahasiswa  seperti perang di Vietnam, konflik Palestin, peristiwa di Republik Dominica, Guatemala (United Fruit Co), budaya borjuis dan keperluan klasifikasi, teori revolusi foco dan peperangan gerila.

Namun alangkah sedihnya apabila beliau mati dibunuh kejam pada usia yang begitu muda, 25 tahun pada 14 April 1972, semasa kempen pilihan raya Kolej Kejuruteraan Osmania telah berlangsung. Dikatakan ahli perjuangan yang berhaluan kanan dalam Akhil Bharatiya Vidya Parishad (ABVP), Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) dan pihak Jan Sangh (kini dikenali sebagai Bharatiya Janata Party – BJP) bersepakat menikam George bertubi-tubi kerana matlamat perjuangan yang berbeza dan menyokong pemimpin yang berbeza. Walaupun perjuangannya begitu singkat, namun ia telah membawa keberanian dalam kalangan mahasiswa untuk bangkit melawan dan membuktikan mahasiswa merupakan lambang kekuasaan dan kekuatan. George juga menjadi inspirasi kepada mahasiswa di negara India khususnya di Hyderabad. PDSU masih aktif dalam pembelaan nasib masyarakat walaupun ia dikatakan terlibat di bawah pimpinan parti komunis.

Berbalik kepada filem tersebut, karakter Michael benar-benar membangkitkan kesedaran dalam melawan segala politik kotor dan bagaimana seorang mahasiswa mampu memberi ketakutan kepada sesorang pemimpin. Pada masa yang sama, filem ini menunjukkan apa akan terjadi sekiranya semua mahasiswa bersatu di bawah satu matlamat yang sama dan melawan kekejaman politikus. Saya teringat dialog terakhir Michael,

Ini bukan pengakhiran, ini adalah permulaan. Masa depan adalah milik anak muda. Kami akan mengubah nasib.

Jaymani Sevanathan
Mahasiswi Sains Politik UKM

Leave a Reply