Pada era kegemilangan Islam sebagai tamadun ilmu suatu masa dahulu, pendidikan dikelolakan dengan sistem wakaf.

Masyarakat mewakafkan harta yang kekal, seperti tanah dan ladang, untuk membiayai institusi-institusi pendidikan. Maknanya, kerajaan tidak mempunyai sebarang campur tangan dalam hal ehwal institusi pendidikan, dan institusi pendidikan tidak ada keperluan untuk melakukan apa-apa tindakan mengampu kerajaan semasa, kerana kerajaan tidak menyumbang sedikitpun kepada kelestarian institusi pendidikan tersebut. Semuanya dalam kalangan masyarakat, oleh masyarakat, untuk masyarakat.

Hasilnya, lahirlah para ilmuan dan akademik yang tanggungjawab dan kesetiaannya hanya kepada kebenaran. Oleh sebab itulah, mereka boleh mengkritik dasar-dasar kerajaan semasa dan menegur pihak penguasa, di samping terus menerus menurunkan ilmu kepada anak bangsa.

Akhirnya, autonomi sistem pendidikan ini terhapus apabila penjajah memilik negarakan wakaf, maka institusi-institusi pendidikan terkemuka seperti Al-Azhar pun mula mempunyai “tuan” iaitu kerajaan Mesir.

Apa itu autonomi universiti dalam konteks semasa?

Autonomi universiti secara ringkasnya merujuk kepada universiti yang bebas untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran dan kurikulum universiti, tanpa sebarang campur tangan daripada kerajaan yang memberikan dana untuk operasi universiti tersebut. Tanpa autonomi universiti, kebebasan akademik menjadi terbatas.

Adakah universiti di Malaysia mempunyai autonomi, dan warga akademik di Malaysia mempunyai kebebasan akademik?

Di Malaysia, universiti-universiti masih mempunyai campur tangan oleh kerajaan semasa dengan kewujudan beberapa jawatan lantikan politik dalam pentadbiran tertinggi universiti. Menurut Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), jawatan-jawatan ini termasuklah jawatan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, pengerusi dan ahli lembaga pengarah, dan lain-lain jawatan tertinggi pentadbiran universiti.

Walaupun pada tahun 2005 Kementerian Pendidikan Tinggi telah dicadangkan untuk membenarkan profesor-profesor memilih staf mereka sendiri untuk memasuki Dewan Senat universiti, memberikan hak mutlak kepada lembaga pengarah universiti untuk sebarang keputusan berkaitan dengan universiti dan pengurusan universiti, serta memastikan semua naib canselor dilantik melalui meritokrasi, namun sehingga kini masih belum dilaksanakan.

Hal ini menunjukkan universiti-universiti di Malaysia masih belum merdeka daripada belenggu politik dan kerajaan. Akibatnya, kebebasan akademik di Malaysia menjadi terhad.

Pada 22 Oktober 2016, empat orang mahasiswa UM memberikan tindakan tatatertib akibat penyertaan dalam perhimpunan “Tangkap MO1”, tiga mereka digantung selama 6 bulan dan disaman RM400, serta seorang daripada mereka hanya disaman.

Kes ini pula menggambarkan mahasiswa dihalang daripada menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan dan masyarakat umum, dan pentadbiran universiti sepatutnya menghormati hak mereka untuk bersuara dan berpersatuan.

Pada 13 Ogos 2015, dua orang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak telah digantung semester selama dua semester kerana menganjurkan debat mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menjemput ahli parlimen Pandan ketika itu, Rafizi Ramli, seorang ahli parlimen pembangkang. Namun, debat polisi ini dihalang dan dihentikan oleh pihak pentadbiran universiti dan penganjurnya dikenakan tindakan tatatertib.

Kes ini menunjukkan mahasiswa disekat akses kepada sumber ilmu dan dihalang daripada mengadakan diskusi ilmiah. Mahasiswa sepatutnya bebas mengadakan sebarang jenis dialog, diskusi, forum, debat, dan sebagainya untuk membincangkan isu-isu semasa dalam kerangka akademik, serta melibatkan sesiapa sahaja yang berkelayakan tanpa mengira jantina, bangsa, agama, dan ideologi politik.

Malah, kakitangan akademik universiti juga terkesan dek ketiadaan kebebasan akademik ini. Akhir tahun lepas, pada November 2017, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) telah membantah sebuah peringatan yang dikeluarkan oleh Universiti Malaya (UM) yang melarang staf dan mahasiswa UM untuk membuat apa-apa jenis kenyataan umum. PKAUM mengatakan bahawa peringatan tersebut menunjukkan bahawa pentadbiran universiti tersebut gagal memahami salah satu tujuan akademik, iaitu untuk menilai keadaan masyarakat secara kritis. Hal ini merupakan suatu halangan untuk melakukan kajian dan sebarang penilaian kritis terhadap kerajaan.

Kes ini amat signifikan kerana ia melanggar kebebasan untuk ahli akademik menyuarakan pandangan kritis mereka kepada kerajaan. Ahli-ahli akademik sepatutnya diberikan kebebasan untuk menganalisa, mengkritik, dan merespon isu-isu kemasyarakatan dan kenegaraan, tanpa harus ada sebarang ancaman terhadap pegangan dan pandangan profesional mereka.

Kata rektor UIAM, Prof Tan Sri Dato Dzulkifli Abdul Razak, warga akademik sepatutnya menjadi “intelektual awam”, iaitu ahli akademik yang berkhidmat untuk kepentingan masyarakat umum. Tindakan menyekat kebebasan akademik ini menghalang dan menghambat peranan ahli akademik sebagai “intelektual awam”.

Pasca Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas, banyak petunjuk-petunjuk positif yang akhirnya universiti akan dimerdekakan, iaitu autonomi universiti dan kebebasan akademik akan dikembalikan. Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ada memberi jaminan bahawa universiti akan menikmati autonomi dan bebas daripada campur tangan politik termasuklah daripada beliau sendiri. Dalam manifesto Pakatan Harapan sendiri terdapat janji ke-50, yang juga menjanjikan autonomi universiti dan kebebasan akademik, serta memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Akan tetapi, selagi perkara ini tidak termaktub secara jelas dan kekal dalam undang-undang dan dasar, warga akademik seharusnya belum boleh berpuas hati. Warga akademik haruslah terus menuntut janji dan jaminan yang diberikan ini supaya diabadikan dalam hitam putih, agar nasib autonomi universiti dan kebebasan akademik bukan lagi bergantung kepada belas ihsan kerajaan semasa semata-mata.

Dalam era Malaysia Baharu, ayuh semua, kita tuntut Universiti Baharu!

 

Azhari Azizi
Aktivis Belia Harmoni Kuantan
Mahasiswa Tahun 3 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Leave a Reply