Kes seperti gangguan seksual, cabul dan seumpanyan ini bukan perkara yang jarang-jarang. Ada yang membela diri, banyak yang didiamkan. Lebih malang apabila berlaku di dalam kampus yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk mahasiswi.

Apa kaitan tulisan ini dengan semangat kelelakian?

Dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) edisi dua, lelaki juga membawa makna keberanian, ketangkasan, kegagahan.

Rijal (istilah arab), bahasa arab pun mempunyai makna yang luas:

  1. Ketulusan
  2. Keberanian
  3. Pengorbanan
  4. Kepahlawanan
  5. Keberanian

Semangat kelelakian yang dibincangkan disini bukanlah dari segi fizikal tetapi pada maknanya.

Semangat kelelakian lelaki adalah pada menjadi pelindung kepada wanita, lelaki itu akan melihat wanita sebagai kumpulan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dipelihara maruah mereka, tidak dikasari, tidak dieksploitasi apatah lagi mengobjekkan mereka.

Semangat kelelakian wanita adalah pada kekuatan mereka dalam membela diri. Tidak akan tunduk pada dominasi ketidakadilan. Tidak akan mudah bersimpati. Berani dan bersedia. Menjadi kekuatan kepada perempuan-perempuan lain.

Isu gangguan seksual di Institut Pengajian Tinggi, dari pencabulan emosi hingga fizikal adalah masalah serius perlu ditangani, malah lebih teruk ianya berkaitan salah guna kuasa. Sama ada jenayah ini dilakukan oleh pendidik kepada pelajar, staff dan pelajar, atau pelajar kepada pelajar.

Baru ini, isu mahasiswi hampir dirogol oleh pegawai keselamatan adalah kejutan yang besar. Bagaimana seorang pegawai yang bertanggungjawab menjaga keselamatan tapi akhirnya mencemar definisi keselamatan itu sendiri.

Begitu juga kes cubaan pensyarah mencabul pelajar perempuan di sebuah kolej di Kelantan yang dilaporkan. Itu baru kes yang dilaporkan, bagaimana pula yang tidak dilaporkan kerana perasaan malu, tiada tempat mengadu, rasa bimbang dijadikan bahan sindiran apatah lagi perasaan takut dan malu menyebabkan kebanyakan mangsa enggan melaporkan masalah yang dihadapi dan dengan itu terpaksa menderita dan memendam perasaan. Akhirnya membawa kepada impak pembelajarannya, tekanan perasaan dan masa depan.

Lalu bagaimana mahasiswa berperanan untuk diri sendiri dan orang lain?

  1. Sediakan telinga untuk mendengar luahan mangsa. Penting untuk mereka rasa dipercayai.Dan berterima kasih kerana memberitahu kerana kebiasaanya mangsa mengalami kesukaran untuk berbincang tentang apa yang berlaku.
  2. Memberi sokongan dan memberitahu mangsa ini bukan salah dia. Mangsa tidak membuat apa-apa untuk dicabul, dan tiada sesiapa patut dicabul. Orang yang patut disalahkan adalah pemangsa.
  3. Menyokong mangsa untuk membuat laporan polis dan berhubung dengan NGO wanita juga berbincang dengan kaunselor yang berpengalaman dalam persatuan wanita untuk membantu. Mangsa tidak perlu menderita seorang diri.
  4. Menjaga keselamatan diri sendiri dan peka akan keselamatan orang lain. Contohnya, elakkan berjalan di tempat yang sunyi, membawa pepperspray atau payung sebagai senjata atau mempelajari seni pertahanan diri.
  5. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Tidak mudah bersimpati atau menerima apa-apa permintaan/pertolongan dari orang yang tidak dikenali dan tidak leka dengan telefon bimbit ketika seorang diri di luar dan walaupun di dalam kampus.
  6. Menuntut pentadbiran kampus untuk meningkatkan keselamatan di dalam kampus.

Pun begitu, mahasiswa dan mahasiswi yang sedar, dalam interpretasikan semangat kelelakian dalam isu ini, perlu jadi pelindung kepada diri dan perempuan lain. Menjadi penguat saat lemahnya mereka. Berdiri saat tunduknya mereka. Bersuara saat diamnya mereka.

Inilah kesatuan mahasiswa yang kita impikan.

Perempuan harus quwwah (kuat) dan lelaki harus qawwam (pimpin).

 

Imaan Aminnuddin
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam.

Leave a Reply