Kerajaan sebelum ini ditolak kerana rakusnya mereka menggunakan kuasa dan bebanan kos sara hidup yang menghimpit rakyat. Pakatan Harapan dengan janji 100 harinya telah berjaya menanam bibit harapan pada hati kebanyakan rakyat. Tokoh-tokoh penting Pakatan Harapan melakukan jelajah ke seluruh Malaysia untuk memberi penerangan tentang manifesto dan janji-janji mereka kepada rakyat. Selepas 100 hari, kebanyakan janji-janji ini tidak dapat dilaksanakan dengan hujah keadaan ekonomi kita tidak stabil atau hutang negara terlalu banyak. Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila beberapa inisiatif kerajaan sebelum ini mahu dihapuskan, terbaru Bantuan Sara Hidup Rakyat (dahulu dikenali sebagai BR1M). Timbalan Perdana Menteri kata – kerajaan tidak perlu meminta maaf dengan kegagalan 100 hari janji Pakatan Harapan.

Jangan sampai rakyat rasa ditipu

Pakatan Harapan harus lebih berhati-hati dalam membuat apa-apa keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat, tidak seperti kerajaan sebelum ini – segala keputusan penting mereka akan diperhatikan oleh rakyat. Baru-baru ini, kebanyakan fanpage Facebook popular di media sosial melakukan “survey” untuk bertanya tentang tahap kepuasan hati rakyat terhadap 100 hari Pakatan Harapan, tertanyata orang yang tidak berpuas hati mendominasi. Jika hal ini tidak dipandang serius oleh Pakatan Harapan, tidak mustahil mereka hanya akan memerintah negara selama sepenggal.

Mengambil contoh pemansuhan GST, kesannya terhadap barangan asas kurang dirasai oleh kebanyakan rakyat. Walaupun kita sedang berada dalam “tax holiday” tapi harga barangan sepertinya enggan berganjak, bak kata Menteri Kewangan kita – harga degil nak turun. Kedegilan harga inilah yang menjadi salah satu punca Barisan Nasional ditolak rakyat. Bagaimana nanti jika cukai SST dilaksanakan semula? Semestinya akan ada harga barang yang akan melonjak.

Menurut Menteri Kewangan, kerajaan telah hilang 21 bilion ketika GST dimansuhkan. Seperti yang saya katakan tadi, impak pemansuhan GST terhadap harga barangan kurang dirasai. Dalam erti kata lain – kerajaan telah kehilangan 21 bilion dengan kesan yang tidak terlalu dirasai rakyat.

Malangnya, dalam keadaan harga barang tidak stabil dan gaji minima RM1,500 yang masih belum dapat diperkenalkan, kerajaan mahu menghapus Bantuan Sara Hidup Rakyat yang penting untuk kelompok Bottom 40 (B40). Sedangkan terdapat bukti yang jelas semasa kempen PRU14 dahulu, kerajaan hari ini menjanjikan peningkatan jumlah agihan BR1M. Kita tidak boleh katakan orang miskin pemalas, masalah permulaan gaji dan kadar kenaikan gaji tahunan sering menghimpit para pekerja. Agihan wang seperti ini tidak menjadikan rakyat malas, memandangkan jumlahnya kecil dan tidak diberikan setiap bulan. Dengan RM350 misalnya, saya pasti wang itu hanya boleh bertahan sebulan (atau kurang), selebihnya rakyat perlu bekerja untuk menampung hidup mereka.

Ekspektasi rakyat terhadap kerajaan hari ini maha tinggi, lihat sahajalah ketika Pakatan Harapan menang tempoh hari, kebanyakan kita seolah-olah telah merasakan kemerderkaan kali kedua. Oleh sebab itu pengharapan rakyat kepada kerajaan tinggi, apabila mereka tidak bertindak dengan sepatutnya – sudah tentu rakyat akan marah.

“Check and balance” dalam kerajaan baharu

Kerugian utama masyarakat sivil apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan adalah hilangnya aktivis-aktivis masyarakat yang dahulunya vokal mengkritik pemerintah. Kebanyakan aktivis ini sudah mempunyai jawatan penting dalam kerajaan yang ada pada hari ini. Kita boleh simpulkan mereka tidak akan lagi mengkritik pemerintah secara terbuka kerana bimbang akan kehilangan jawatan.. Oleh itu, usaha untuk melahirkan aktivis masyarakat yang baharu atau memperkasakan aktivis masyarakat sedia ada penting. Peranan mereka sebagai “watch dog” adalah kritikal untuk memastikan kerajaan tidak melakukan keputusan yang akan memberi bebanan kepada rakyat.

Zahid Hamidi dan Hadi Awang juga perlu lebih menonjol dalam Dewan Rakyat. Mereka berdua merupakan ketua blok pembangkang yang terbesar di Dewan Rakyat. Sejak akhir-akhir ini, saya melihat ahli Parlimen Pandan (Najib Razak) agak menonjol dengan kritikan-kritikan berasasnya terhadap kerajaan. Malangnya, saya berpandangan imej Najib Razak sudah terlalu buruk, walaupun apa yang dia katakan mungkin benar, rakyat tidak melihat itu. Kebanyakan rakyat hanya akan melihat kesalahan dan skandal yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri itu.

Rakyat memberi mandat, rakyatlah yang boleh mencabutnya

Selaku orang yang tidak kaya, polisi penswastaan atau pengurangan tanggungjawab kerajaan terhadap kebajikan rakyat amatlah membebankan. Model ekonomi neoliberal yang semakin menonjol dalam kerajaan hari ini merupakan permainan yang berbahaya untuk Pakatan Harapan. Nasihat saya kepada Pakatan Harapan – janganlah terlalu tergesa-gesa dalam membatalkan inisiatif atau bantuan kepada rakyat. Bak kata kalian, semuanya memerlukan kajian yang mendalam sebelum dilaksanakan.

 

Leave a Reply