Saya terpanggil untuk memberi pendapat berkenaan isu ini sebagai tanda sokongan dan menyahut artikel yang ditulis oleh sahabat saya Luthfi Yusri boleh baca artikel beliau di
http://nadisiswa.com/archives/2556

Baru baru ini baru sahaja bersembang dengan junior yang baru sahaja memasuki fasa ijazah sarjana muda di UIAM. Dia sempat menghantar gambar tentatif taaruf week kali ini. Ada beberapa perkara yang aku rasa perlu disentuh dalam program suai kenal di UIAM kali ini.

1. Yang pertamanya, pujian harus diberikan kepada pihak Universiti kerana slot Bersama Majlis Keselamatan Negara sudah tiada didalam susunan tentatif Taaruf Week. Dahulunya slot inilah yang menjadi platform kepada kerajaan terdahulu untuk menyebarkan persepsi dan fitnah serta menjadi alat politik mereka untuk memburukkan bekas aktivis mahasiswa. Ketika Taaruf Week sesi kemasukan Januari 2016/2017.

MKN telah membuar dakwaan dan fitnah yang keras kepada aktivis dan Gerakan Mahasiswa. MKN juga mengaitkan juga gerakan mahasiswa dengan penganjuran perhimpunan Bersih yang berhasrat membawa rusuhan. Ketika itu saya berbincang dgn Saudara Howard Lee (kini merupakan Exco Kerajaan di Negeri Perak) untuk mengeluarkan statement khas berkenaan isu ni .

https://www.roketkini.com/…/pelajar-baru-uia-kena-cuci-ota…/

2. Keduanya, Saya meneliti bagaimana peranan dan fungsi komiti atau fasilitator yang menyertai Minggu suai kenal. Umum mengetahui bahawa mereka merupakan tulang belakang keberjayaan program TW. Komiti ini juga datang dengan berlatarbelakangkan kepimpinan dan penglibatan yang cemerlang di dalam persatuan mahupun fakulti. Jadi daripada basis ini saya berpendapat mereka selayaknya terlibat di dalam jawatankuasa perlaksanaan taaruf week. Signifikannya supaya mereka boleh memberi cadangan untuk menambahbaik intipati yang lebih realistik dalam program serta jadual yang ditetapkan oleh pihak atasan.

Komiti dan Fasilitator tidak sepatutnya menjadi ejen teknikal sahaja ataupun diibararatkan sebagai ‘Staff Tambahan’ Universiti didalam Minggu Suai Kenal. Idea yang ‘fresh’ serta dekatnya mereka dengan mahasiswa menjadi relevansi mereka diletakkan didalam jawatankuasa tertinggi perlaksanaan minggu suai kenal ini. Sudah sampai masa pengurusan universiti mengangkat martabat Mahasiswa.

Memetik kata kata Dr Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri “mahasiswa bukan pemimpin akan datang sahaja, mereka adalah pemimpin masa kini dan akan datang.” Pemimpin ini jangan disempitkan pada sesuatu ruang sahaja tetapi melihat pada skop pemimpin pada ruang yang lebih besar”

3. Saya melihat satu per satu pengisian yang wujud di dalam Taaruf Week. Banyaknya pengisian didalam bentuk penerangan badan di universiti. Bermula daripada pihak pengurusan universiti yang tertinggi hinggalah ke kuliah/fakulti. Saya tidak menafikan bahawa pencerahan ini sangat berguna dan penting kepada Mahasiswa yang baru memasuki UIAM namun disini saya ingin mencadangkan supaya ditambah juga program atau slot yang membangun dan mengasah pemikiran mahasiswa.

Wacana Ilmiah tidak kiralah mekanisme nya apa sekalipun perlu dimasukkan di dalam slot minggu Taaruf Week. Forum, dialog atau debat berkenaan isu Mahasiswa, Isu semasa, Kebebasan Akademik merupakan suatu ‘Pemanas Badan’ dalam pendedahan budaya intelektual kepada Mahasiswa tahun pertama setelah duduk lebih 15 tahun dalam Pendidikan formal ditambah dengan kemampatan jadual sewaktu duduk di asasi.

4. Ini mengembalikan budaya intelektual dan menyuburkan idealisme dalam kalangan mahasiswa seperti yang pernah dibuat pada minggu orientasi era 70 an. Ketika itu Isu Nasional, Isu Masyarakat dibawa masuk menggunakan platform forum di dalam minggu orientasi . Budaya menyuburkan ilmu ini seharusnya dibawa kerana universiti merupakan pusat pembelajaran dan pengkajian ilmu tinggi, serta pusat memupuk semangat budaya ilmu dikalangan mahasiswa sebagai persiapan sebelum keluar pada masyarakat.

Professor Zaini Ujang dalam bukunya Menghayati Budaya Imu menulis, “ada pihak berpendapat bahawa ilmu dan budaya ilmu tidak penting dalam skema pembangunan insan dan negara. Terdapat perkara lain yang menjadi keutamaan iaitu iman dan amalan keagamaan.

Tidak kurang juga yang menyebut tentang kepentingan kekuatan ekonomi, pembangunan infrastruktur, perpaaduan nasional dan semangat kebangsaan. Kita tidak wajar menafikan kepentingan perkara tersebut tetapi kesemuanya berakar umbi kepada asas ilmu.” Ya, asasnya adalah ilmu,” lalu beliau memberi penekanan di dalam surah Az Zumar Ayat 9

5. Saya juga ingin menyentuh berkenaan intipati Oath Pelajar Tahun 1 UIAM. Didalam perenggan terakhir Oath (Baiah) yang perlu dibaca ketika baiah ceremony ada diberi penekanan untuk melarang pelajar UIAM berpartisipasi di dalam Politik tidak kira di dalam atau di luar Universiti (Boleh rujuk IIUM Student Disclipinary Act 2004 ) . Saya merasakan ini salah satu ‘kegelinciran’ yang ada didalam baiah kerana ia akan memberikan konotasi negatif kepada Mahasiswa UIAM tentang partisipasi politik. Seolah olah yang menyertai Badan Politik di luar ataupun menyertai aktivisme politik adalah satu kesalahan atau ‘Dosa Besar’

6. Saya ingin tegaskan, melarang partisipasi mahasiswa dalam badan apa sekalipun sudah cukup jelas bahawa Universiti menyekat kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa. Ini bertentangan dengan budaya Malaysia Baharu yang lebih terkedepan dengan budaya terbuka dan ilmiah seperti yang disebut oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Jadi, ‘Oath’ yang dibaca itu harus dilihat semula oleh pihak pengurusan universiti untuk dinilai keperluan meletakkan perenggan itu.

7. Tuntasnya, Kita memerlukan corak dan idea yang lebih membangun dan manusiawi dalam universiti di era Malaysia Baharu ini. Budaya yang membawa kepada kematangan berfikir pelajar berfkir perlu dikedepankan. Kita mahukan suasana Universiti di Malaysia serupa dengan universiti terkemuka di negara-negara maju seperti Harvard,Oxford dan Cambridge. Mulai hari ini kita mahukan universiti untuk menjadi medan intelektual dan masyarakat menimba ilmu dan berdialog.
#UniversitiBaharu

AMIN MUBARAK
MAHASISWA TAHUN 2 UIAM

Leave a Reply