Jaymani – Mahasiswa dan fungsi intelektual

Setelah saya membaca dan meneliti buku Intelektual Masyarakat Membangun yang asalnya bertajuk Intellectuals in Developing Societies hasil penulisan Almarhum Syed Hussein Alatas, seorang pakar sosiologi, saya mula sedar dan terfikir akan impak negatif yang tengah dan akan terjadi sekiranya tiada kelompok intelektual yang berfungsi sebagai pelopor idea pemikiran masyarakat. Buku ini wajib dibaca semua golongan terutamanya mahasiswa.

Intelektual dan inteligensia membawa makna yang berbeza dan kedua-dua istilah ini sering dikelirukan. Intelektual adalah pemikir tentang sesuatu gagasan dan berupaya mencari penyelesaiannya. Selain itu, mereka juga merupakan pendukung atau penentang sesuatu ideologi , budaya dan pembawaan masyarakat serta melihat perkara dalam perspektif yang berbeza. Menurut James Maccregor Burns dalam bukunya Leaderships, intelektual ialah a devotee of ideas, knowledge and values atau seorang yang terlibat secara analitis dan kritis dengan nilai, tujuan dan cita-cita yang diperjuangkan. Inteligensia pula menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,  membawa maksud kaum cendekiawan atau kaum intelek. Mereka mendapat tahap pendidikan tinggi yang formal dan moden.

Dalam buku tersebut, ditulis mengenai ketiadaan intelektual bermakna tiadanya kepimpinan dalam pengajuan masalah, pentakrifan masalah, analisis masalah dan penyelesaian masalah. Dalam pada ini, ia membawa kepada kemunduran masyarakat daripada berkembang dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Antonio Gramsci, seorang ahli falsafah politik berbangsa Itali dan pengikut Marxisme membahagikan intelektual kepada dua kategori iaitu intelektual tradisional dan intelektual organik. Intelektual tradisional merangkumi kelompok berilmu seperti guru, pensyarah, ulama atau paderi yang melakukan tugas yang sama berulang kali daripada satu generasi kepada  generasi yang lain. Peranan dan kedudukan mereka tidak berubah walaupun berlaku perubahan  menyeluruh ke atas sistem sosial dan politik. Mereka juga lebih bersifat konservatif dan sentiasa terikat kepad pemerintah. Seterusnya intelektual organik berkembang seiring dengan kelas pemerintah dan berfungsi untuk faedah dan kepentingan kelas tersebut. Melalui mereka inilah, kelas pemerintah berupaya mengekalkan kekuasaannya terhadap seluruh masyarakat.  Mereka terdiri daripada aktivis yang bergiat dalam kesatuan sekerja, parti politik atau organisasi bukan kerajaan (NGO). Mereka bergiat secara aktif dan berterusan untuk mempengaruhi fikiran dan pandangan masyarakat.

Satu kelompok intelektual yang dilihat dekat dengan masyarakat adalah mahasiswa. Mahasiswa merupakan golongan yang perlu melibatkan diri secara progresif dalam pembudayaan ilmu. Jika dilihat, mahasiswa berfungsi sebagai pembangkit idea kepada pembangunan masyarakat dan pemerintahan negara. Mahasiswa hendaklah mempunyai persepsi yang dualisme iaitu betul atau salah, pandangan yang berbeza dan komprehensif, interpretasi dan justifikasi yang rasional.

Sememangnya mahasiswa dilihat mempunyai potensi untuk menjadi intelektual yang kritikal dan konstruktif pemikirannya, namun ke mana perginya fungsi sosial mereka demi persekitaran dan masyarakat ? Sekiranya hiburan dan kebendaan yang diutamakan, siapakah yang bakal merealisasikan impian dan agenda serta hasrat yang didukung selama ini ?

Mahasiswa yang bersifat kritikal dan matang bukanlah yang mengamalkan prinsip 3K-kuliah, kafe dan katil. Mahasiswa yang cita-citanya hanya untuk mendapatkan segulung ijazah dan mendapat gaji yang lumayan tidak mampu membawa sebarang perubahan. Gelaran mahasiswa memang satu “darjat” yang diagung-agungkan dengan menganggap semua mahasiswa adalah pemangkin amanah negara dan boleh membawa kepada satu transformasi intelektual. Namun kita tidak sedar lagi-lagi kita yang masih bergelar mahasiswa, kita masih mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memacu perubahan yang drastik terhadap negara ini.

Mahasiswa perlu lebih membaca dan menulis idea-idea yang muncul dalam pemikiran mereka. Diskusi dan dialog bersifat ilmiah perlu diperbanyakkan dari semasa ke semasa. Kritikan dan cadangan bagi sesuatu isu yang timbul juga perlu dipertingkatkan. Usahlah kita menjadi bebal yang bererti bodoh , malas dan keras kepala.

Adakah kita sebagai generasi muda akan terus mendiamkan diri dan bersikap malas dengan membiarkan sesetengah politikus mendominasi dan meracuni pemikiran masyarakat sehingga mereka mundur dan bergerak ke belakang ? Tepuk dada tanya selera.

 

JAYMANI A/P SEVANATHAN
MAHASISWI SAINS POLITIK UKM

Leave a Reply