Luthfi Yusri – Reformasi Minggu Orentasi Mahasiswa

September yang bakal menjelma adalah bulan yang penuh keramat buat para penuntut ilmu di seluruh IPT secara umumnya. Kemasukan pelajar baharu sesi 18/19 akan memeriahkan pesta keilmuwan di seluruh negara. Baik universiti awam mahupun swasta. Ia akan terus menjadi suatu detik yang paling diingati dalam hidup mereka dek kerana ternanti nanti akan momen menjadi seorang Mahasiswa.

Minggu Suai Kenal atau Minggu Haluan Siswa (Minggu Orientasi)  juga bakal menjadi medium pertama untuk diberi perhatian sewajarnya. Minggu yang cukup sibuk. Minggu yang memberi gambaran dan imej sebenar sesebuah universiti. Minggu orientasi ini merupakan program pertama buat mahasiswa baharu seusai mendaftar masuk. Pelajar baharu ini pula telah melalui satu proses pendidikan formal yang panjang, lebih kurang 12-15 tahun sebelum bergelar pelajar Sarjana Muda sejak dibangku tadika lagi.

Minggu orientasi ini seharusnya menyediakan pelbagai sentuhan intelek dan mind setting yang solid berkenaan persediaan sebagai seorang mahasiswa dan peranannya. Mahasiswa sepatutnya dipersiapkan untuk mendepani pelbagai mehnah apabila melangkah ke dunia mahasiswa nanti. Mahasiswa ini bakal mencorak negara dalam 10-20 tahun akan datang. Di era Malaysia Baru ini, ayuhlah sama sama kita menonjolkan bakat dan suara mahasiswa demi kepentingan sejagat. Mahasiswa harapan bangsa dan negara.

Perlaksanaan Minggu orientasi  haruslah bersifat holistik dan menyeluruh. Bukan hanya dihadapkan dengan pelbagai aktiviti yang bersifat paksaan dan hiburan semata mata. Misalnya, mereka dipaksa menari nari dan membuat cheers hingga lewat malam. Hanya tidur 2 hingga 3 jam sahaja. Kemudian, pergaulan bebas yang tidak terkawal melahirkan konotasi sosial di universiti kurang baik. Tidak salah untuk berhibur, tetapi biarlah suasana hiburan itu dalam bentuk lebih mendidik kita.

Oleh sebab itu, First Impression is too Important. Minggu orientasi ini seharusnya mewujudkan budaya berfikir dengan penuh kritis, ruang menyatakan pendapat diketengahkan, budaya aktivisme diperkenalkan dan  sikap  prejudis terhadap bangsa lain dinyahkan. Hal ini kerana ruang untuk mahasiswa kenal antara satu sama lain dapat diperluaskan. Masalah fundamental berkaitan mahasiswa harus diperbincangkan dan cari solusi. Kita harus membina pembudayaan seperti ini sejak mereka langkah masuk ke universiti.

Masalah seperti gejala sosial, keruntuhan moral, fenomena depresi dan ketagihan gadjet harus dibendung hingga ke akar umbi. Menurut Harian Metro, setakat bulan Oktober 2017 menunjukkan remaja berumur 17 tahun ke atas 29.2 peratus mengalami masalah depresi. Dijangka meningkat dari tahun ke tahun. Masalah seperti ini harus diwacanakan dan diberi pendedahan.

Saya sendiri memerhatikan beberapa tahun yang lalu, mahasiswa khususnya kurang kritikal  terhadap isu semasa yang berlaku pada setiap hari. Bagi mereka, ini bukan urusan kami. Isu berkenaan pencabulan hak asasi manusia, sekatan sekatan untuk menyuarakan pendapat secara kolektif, penangkapan yang dilakukan dek kerana mengkritik pihak pemerintah  dan isu-isu antarabangsa.

Elemen ini mestilah disemai dalam setiap warga kampus untuk cakna dengan pelbagai isu semasa. Di samping itu, tugas fundamental sebagai seorang pelajar iaitu menuntut ilmu dan menghormati para pensyarah janganlah diabaikan.

Mujur perlantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan memberikan sinar harapan kepada mahasiswa untuk bebas berwacana, berdialog dan menyatakan hak mereka. Tidak seperti sebelum ini, suara mahasiswa ditenggelamkan oleh pihak HEP yang dijadikan alat propaganda oleh rejim kerajaan terdahulu. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 digunakan untuk menyekat suara  mahasiswa.

AUKU 1971 pada dasarnya adalah untuk mengawal tindakan para pelajar bersikap kritikal kepada kerajaan, akhirnya membodohkan mahasiswa apabila normalisasi akta tersebut mewujudkan Culture of Fear dikalangan mahasiswa untuk mengkritik sesuatu dasar negara.

Justeru itu, saya  memberi pandangan berkenaan hal ini  untuk menyeru pihak yang berwajib untuk merubah pendekatan atau penstrukturan Minggu Haluan Siswa/Minggu Suai Kenal untuk lebih efisyen dan signifikan dengan keadaan semasa. Budaya yang langsung tidak bermanfaat sewajarnya dijauhkan. Budaya menyegarkan intelektual, menyuburkan kemahiran berfikir dan bertindak, sikap rasional dalam membuat keputusan dan cakna perihal isu semasa serta mengupayakan segala kreativiti mahasiswa untuk manfaat masyarakat kampus.

Di sini idealisme setiap mahasiswa diuji. Misalnya pasca PRU14, sesi dialog dan wacana terus segar di Universiti. Antaranya dialog berkenaan GE14 Manifesto Analysis: Lowering the Voting Age anjuran Undi 18 dan Demokrat Universiti Malaya di Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya. Panelisnya adalah YB Michelle Ng dan YB Nik Nazmi. Selain itu, Forum UEC anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Jemputan panelisnya juga hebat hebat belaka. Antaranya Faizuddin Zai (GAMIS), Tarmizi Anwar (LEAD), Hazman Baharom (UTAM) dan Sok Sook Hwa (Ex UEC). Wacana sebegini harus disuburkan, Berbincang secara harmoni dan efektif. Di samping itu, kita boleh menambah ilmu.

Kita perlu fahami bahawa mahasiswa merupakan instrumen yang mustahak dalam mencorak demografi negara pada hari ini. Usia yang muda sebegini haruslah dimanfaatkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan berkenaan sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Saat  ini adalah ruang untuk dihujani pelbagai kemahiran dalam menganalisis, memproses  dan menyelesaikan masalah dengan penuh hemah. Universiti pula sewajarnya menyediakan platform untuk mereka mengekspresikan apa yang mereka inginkan dan bebas berpersatuan. Bebas berwacana dan berdialog berkenaan dengan pelbagai isu.

Di samping memberikan autoriti untuk mencorak kampus dengan penuh efisyen tanpa birokrasi yang menyusahkan. Melatih diri untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang walaupun berbeza pendapat dengan pihak pemerintah waktu itu. Universiti wajar memberi ruang sebaiknya untuk manfaat bersama.

Tuntasnya, semoga Malaysia mampu mengecapi pembangunan masyarakat yang lestari dan unggul serta praktikal. Bukan retorik semata mata.

Luthfi Yusri
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

 

 

 

 

 

Leave a Reply