Masih terngiang-ngiang lagi kekalahan kita ketika PRU-14, selepas sahaja kekalahan itu ramai pihak mula bersuara untuk mencadangkan supaya Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional. Suara itu didengari DSN sendiri lalu beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatan beliau secara serta merta.

Dalam keadaan UMNO dan Barisan Nasional yang sedang menerima kekalahan ini, kita perlu bersatu hati dalam membina balik semula empayar kita yang telah punah dalam peperangan baru-baru ini. Justeru itu, bukannya dengan membuka keahlian merupakan satu langkah yang baik buat masa sekarang untuk kita membina semula empayar kita. Bukannya saya bersifat rasis dan tidak menerima kaum lain untuk menyertai UMNO tetapi kita perlu ingat bagaimana tertubuhnya parti keramat ini. YB Khairy Jamaluddin ada menyebutkan tentang raison d’être, saya akan mengingatkan kembali apakah raison d’être tertubuhnya United Malays National Organisation (UMNO).

Lahirnya UMNO adalah hasil daripada percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu yang mempunyai pelbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi mereka bersatu hati dan bersetuju mengambil tindakan bersama untuk memastikan survivalbility bangsa Melayu. Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.

Jika melihat kepada perlembagaan UMNO, asasnya adalah untuk berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu untuk mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara dan juga memperjuangkan hak-hak istimewa orang Melayu dan orang Bumiputera. Ini adalah sebab kenapa tertubuhnya UMNO. Namun ketika UMNO dan Barisan Nasional memerintah negara kita tidak pernah mengabaikan kaum-kaum lain malahan kita memerlukan sokongan mereka untuk melambangkan permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum yang berada di Malaysia. Imbas kembali pada tahun 1955, menghadapi PRU yang pertama perikatan UMNO-MIC-MCA meraih kemenangan yang sangat hebat dan menandakan bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka.

Saya memetik kembali kata-kata bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan UMNO, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis. Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain,

Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan pimpinan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam mengurus perbezaan, kita telah menerima perbezaan ras, budaya dan agama sebagai sumber kekuatan. Bukankah ini satu kejayaan?

Pencapaian ini bukanlah ibarat ‘yang pipis datang melayang, yang bulat datang bergolek. Ia hasil kesediaan UMNO untuk menerima taklif kepimpinan negara sebagai satu pertanggungjawaban yang besar,” kata beliau.

Kita tidak dapat menafikan kekalahan teruk kita menjelang PRU-14 adalah kerana hilangnya sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri ke-6 dan bukanlah hilangnya sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional. Jika YB lihat dengan lebih teliti ramai orang menyuarakan bahawa bukan kerana parti mereka tidak mengundi BN tetapi kerana DSN.

Maka dengan itu, janganlah menggadaikan parti yang mempunyai track record yang baik dan lama dalam memperjuangkan hak orang melayu dan bumiputera. Merombak UMNO bukannya mengubah struktur parti tetapi isinya.

Amati bait-bait lagu warisan…

Anak kecil main api, Terbakar hatinya yang sepi

Air mata darah bercampur keringat

Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya-raya, Tergadai seluruh harta benda

Akibat sengketa di antara kita.

Sekian,

#YN

#Bangkit

Syahir Yusof

– Aktivist YN

Leave a Reply