Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan melancarkan siasatan terhadap dakwaan aktivis mahasiswa, SA Asheeq Ali dikasari anggota polis kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ketika menyampaikan ucapan di sana.

Hal ini selepas Asheeq membuat aduan berhubung layanan yang diterimanya dalam serahan memorandum ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur hari ini.

Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph mengesahkan suruhanjaya itu akan menghubungi kesemua pihak berkaitan dan memulakan siasatan.

“Apabila sesuatu laporan diterima, kami akan memulakan penyiasatan kami dan mencari kesemua maklumat yang diperlukan,” kata Jerald ketika dihubungi wartawan.

Dalam memorandum diserah Asheeq yang dapat dilihat Malaysiakini itu, dia berkata ‘telah diseret keluar’ daripada kampus UIA di Gombak pada Jumaat 6 April 2018 lalu selepas dapat memasuki kawasan universiti itu tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau dijadualkan berucap dalam suatu majlis berjudul ‘Jelajah Kuasa Mahasiswa, HEP Bukan Tuhan’ anjuran Mortar Movement yang bertujuan menyampaikan sejarah kegemilangan gerakan mahasiswa Malaysia pada era 1960an dan 70an.

MALAYSIAKINI

Leave a Reply