PENUNTUT Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maut ketika menjalankan aktiviti mendaki Bukit Pelarik di Kaki Bukit, Padang Besar, hari ini.

Mangsa, Nur Hayanis Hairunizan, 20, penuntut tahun satu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan itu disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 3 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Pemangku Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan jam 12.20 tengah malam tadi.

“Mangsa bersama 26 pelajar UniMAP termasuk tiga pengiring mendaki bukit berkenaan pada 8.30 pagi semalam yang diketuai seorang penyelaras program terbabit.

“Pada 3 petang semalam, kumpulan terbabit turun dari bukit berkenaan mengikut kumpulan kecil dan mangsa adalah kumpulan terakhir turun.

“Mangsa dikatakan jatuh tersembam ketika menuruni bukit, namun mampu berdiri kembali bagi meneruskan perjalanan menuruni bukit terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Muhamad Halim berkata, selepas itu mangsa secara tiba-tiba jatuh pengsan di atas bukit berkenaan ketika dalam perjalanan menuruni bukit itu.

“Pasukan penyelamat dan perubatan yang terdiri daripada bomba dan Jabatan Kesihatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hadir bagi memberikan bantuan.

“Bagaimanapun pihak penyelamat terpaksa mendaki dengan dibantu oleh Jabatan Perhutanan sebelum sampai ke lokasi mangsa dan dia disahkan meninggal dunia di atas bukit terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa turun dan dihantar ke HTF untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) memandangkan tiada unsur jenayah menyebabkan kematian mangsa.

Sumber

Leave a Reply