DM6718 a man wearing a suit holding a signboard with the question do you need a job written on it

Oleh; Farahani R.

Jika jawatan ini benar-benar ditawarkan, berapa ramai orang yang inginkannya? Atau lebih hebat, sanggup menghadiri sesi temuduga untuknya?

Saya benar-benar berminat dengan karya Syed Hussein Alatas yang mempersoalkan peranan intelektual dalam masyarakat membangun. Bahkan, amat bersetuju dengan beliau dengan kritikannya bahawa keadaan ‘masyarakat membangun’ berbeza dengan ‘masyarakat maju’.

Malah, memukulrata atau paling tidakpun, tabiat kita untuk membandingkan sebuah negara maju (dan berbeza pula budayanya) dengan negara-negara Asia yang baharu saja dalam tahap berlutut dari dibaringkan waktu zaman kolonial. Malaysia juga tidak terkecuali, dan sehingga kini, kita masih lagi dalam pergelutan memaknakan semula tamadun Melayu, persoalan negara bangsa, isu-isu ekonomi dan sosial. Ditambah lagi dengan cabaran baharu; dilumatkan menjadi sambal bergaul ketawa dunia dengan isu rasuah golongan penguasa.

Baik, cukup dengan pengenalan. Berbalik kepada tajuk di atas, posisi kosong iaitu pandir sepenuh masa haruslah memiliki ciri berikut;

  1. Tidak mampu menganalisis masalah
  2. Jika diberitahu/ditanyakan; dia tidak dapat memecahkannya
  3. Tidak mampu belajar apa yang diperlukan
  4. Tidak mampu mempelajari seni belajar
  5. Biasanya tidak mampu akui kepandirannya

 

Ciri seterusnya pula diberi keutamaan;

  1. Tidak dapat berfikir menurut ruang waktu dan hubungan faktornya
  2. Hanya bereaksi terhadap hal yang sepatutnya
  3. Berfikir secara terbatas
  4. Tidak muhasabah diri atas masalah dan situasi
  5. Patuh dan tidak kritis terhadap landasan pemikiran sendiri
  6. Tidak konsisten
  7. Bila berfikir, tidak analitis
  8. Kurangnya tenaga mental dan selalu ikuti garis perlawanan yang sedikit
  9. Tidak dapat berbicara tahap tinggi.

 

Dengan kata yang lebih mudah, ‘pemalas fikir’. Akal seorang pandir haruslah memberi perhatian kepada perkara-perkara yang memberi kepentingan kepada dirinya semata-mata. Jika ada perkara yang memerlukan bantuan akalnya, seorang pandir harus segera menghalaunya dari kotak fikirnya, menguncikan hal itu dan menelan kuncinya.

Ada juga kategori pandir, yang sebenarnya berjawatan tinggi. Ia mungkin sangat baik dalam hal-hal lain, tetapi bertukar pandir bila menjalankan tugasnya. Pandir separuh masa.

Pandir juga lazimnya menghidapi penyakit bebalisme, iaitu apabila mereka tidak dapat mengaplikasikan sifat rasional, kewajaran, kritis dalam memahami sesuatu perkara. Oleh demikian, tidak hairanlah jika perkataan dan perlakuan mereka juga melambangkan simptom bebalisme. Syed Hussein AlAtas, walaubagaimana pun, mencontohkan bebalisme dalam contoh-contoh yang melibatkan dialog antara mufti dan si penanya.

Perkara ini, bagi saya, tidak adil. Menurut Abdul Rahman Hj. Abdullah (1998), sejarawan yang mengkaji sejarah pemikiran di Malaysia, tradisi Islam golongan tradisionalis banyak berlegar dalam kancah persoalan hukum. Shaharom TM Sulaiman (2013) juga menyatakan kecenderungan intelektualisme kita sememangnya banyak bergerak dalam ruang tradisionalis, selepas hasil pemerhatiannya terhadap tradisi perbukuan Islam.

Oleh demikian, dengan mencontohkan sebutir dua pertanyaan hukum kepada mufti masih tidak cukup untuk memberi gambaran bebalisme dengan hanya bertanyakan soalan hukum mandi wajib untuk orang mati ataupun meletakkan ubat titisan mata waktu puasa.

Barangkali hakikat bahawa penulisan karya AlAtas ditulis lebih awal berbanding kedua-dua buku yang telah saya sebutkan tadi, kita boleh memperbetulkan penggunaan contohnya dalam kajian seterusnya. Maksud saya, untuk mana-mana kajian yang menggunakan kerangka perlawanan intelektual vs pandir.

Menjadi pandir juga sebenarnya tidaklah terlalu ketat syaratnya. Jika dilihat, tiada langsung disebut mengenai syarat pendidikan, umur mahupun jawatan. Sebagaimana juga syarat untuk menjadi seorang intelektual; pendidikan, umur dan jawatan tidak penting.

Kerana itulah, golongan mahasiswa sebenarnya berpotensi berkembang menjadi seorang intelektual yang jauh daripada menjadi setakat pandir kerana birokrasi atau kekurangan jawatan ‘kuli pentadbiran’ yang boleh menghiasi resume kelak.

Yang penting adalah bagaimana kita menggunakan akal yang telah diberi. Sudah tentu, kemahiran akal sentiasa dirapatkan dengan persoalan ‘pandai/bodoh’ pula.

Even fools are right sometimes. Bodoh-bodoh katak, atau badak, atau apa-apa haiwan senegara dengannya, bodoh juga subjektif. Pelbagai teori telah terbentuk untuk menerangkan mengapa ‘kepandaian’ dan ‘kebodohan’ ini berbeza untuk sekelompok manusia dengan sekelompok lain. Ertinya, bodoh bukanlah sebuah konsep mutlak manusia biasa.

Tetapi menjadi pandir ini, biasanya, adalah pilihan diri.

Rujukan:

Abdul Rahman Haji Abdullah, 1998, Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah dan Aliran, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shaharom TM Sulaiman, 2013, Dunia Pemikiran Intelektual: Menelusuri Karya-Karya Intelektual Terpilih, Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM)

Syed Hussein AlAtas, 1991, Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leave a Reply