MENARA – GAMIS dakwa manifesto PH rendahkan Islam

Kuala Lumpur: Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya menentang keras manifesto Pakatan Harapan (PH) yang merendahkan agama Islam atau menyamaratakan Islam dengan agama-agama lain serta turut menjalankan kempen kepada anak muda untuk memboikot manisfesto Pakatan Harapan itu. Menurutnya, hal ini boleh menjadi bukti bahawa PH yang dikawal DAP sememangnya tidak akan memperjuangkan Islam seperti yang terzahir pada manifesto PRU14 mereka.

“Apa yang kita tengok yang mendominasi hala tuju Pakatan Harapan memang DAP kerana yang pertamanya DAP adalah parti yang besar dan hakikatnya jika dicampur kuasanya di Semenanjung dan Sarawak dia mempunyai bilangan yang kuat dan secara nombornya dia mempunyai kuasa yang cukup untuk mendominasi hala tuju terhadap Pakatan Harapan.”

Beliau berkata, GAMIS tetap konsisten menolak PH kerana trek rekod DAP di dalam Parlimen sebelum ini kuat menentang pemerkasaan Syariah Islam terutamanya dalam isu RUU355 dan setakat ini belum ada penafian dari kalangan pemimpin DAP yang bersetuju dengan RUU355. Menurutnya, selagi mana DAP tidak memberi laluan kepada umat Islam untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, GAMIS akan tentang DAP dan untuk PRU14 ini, sesiapapun yang bersama DAP juga akan GAMIS tentang sekali untuk menidakkan agenda mereka merendah-rendahkan kedudukan Islam daripada berlaku.

“Kita akan kempen anak muda untuk tolak Pakatan tersebut dan gerak kerja itu sudahpun kita mulakan termasuk ke Sabah dan Sarawak untuk meneruskan kempen bersama anak-anak muda di sana.” “Sebelum ini kita telah turun ke Kelantan dan kawasan utara, seterusnya akan ke bahagian selatan iaitu Johor pula meneruskan kempen menolak Pakatan Harapan ini,” tegas beliau. Beliau berkata, PRU14 ini adalah penentuan kepada misi dan hala tuju kepada survival umat Islam dan kedaulatan Islam maka, seharusnya seluruh Muslim di Malaysia menolak secara keseluruhan Pakatan Harapan yang jelas berusaha merendahkan kedudukan Islam termasuk di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, “Kita minta umat Islam semua untuk bersatu menolak sepenuhnya Pakatan Harapan kerana kalau kita tidak bersama untuk menolak tidak ada peluang lain lagi untuk kita selamatkan kedaulatan Islam selepas ini.” Sementara itu, sebuah lagi pertubuhan pelajar, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membidas dan mengutuk keras tindakan pemimpin Pakatan Harapan yang cuba merendahkan Islam dan meletakkan kedudukan Islam sama taraf dengan agama-agama lain seperti yang dilaporkan oleh blogger cilik, Ahmad Ali Karim sebelum ini.

Presiden GPMS, saudara Zamri Mohd Isa berkata, sememangnya kedudukan agama-agama lain tidak boleh dinaikkan kedudukannya menjadi setaraf dengan kedudukan Islam kerana kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah amat tinggi berbanding agama-agama lain. Menurutnya, manifesto PH ini jelas cuba mempermainkan rakyat negara ini selain cuba berselindung dengan beberapa ayat agar tidak disedari bagi memudahkan mereka memperjuangkannya dikemudian hari jika disokong dan menang PRU14 kali ini. “Perkara ini perlu diteliti dengan lebih mendalam agar kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak diubah oleh pihak PH yang mempunyai perancangan licik dan agenda tersembunyi,” katanya.

Zamri berkata, “Pendirian Pakatan Harapan tidak bertepatan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan saya menyeru kepada seluruh umat Islam di seluruh negara agar menyedari bahawa gerakan kerja dan perancang di belakang Pakatan Harapan adalah DAP yang sudah lama berniat untuk menyamaratakan semua kedudukan agama dan kedudukan semua bangsa-bangsa di dalam negara ini.

“GPMS membidas dan mengutuk keras tindakan PH yang cuba mengaburi rakyat dengan manifesto yang mempunyai agenda tersirat dan licik mereka agar tidak disedari oleh rakyat secara keseluruhannya.” Jelas beliau, perkara ini amat merbahaya bukan sahaja kepada negara malah kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan yang termaktub di dalam Perkara 3(1) dan juga kedudukan istimewa orang Melayu yang sudah tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, seluruh Muslim di Malaysia tidak boleh terpedaya dengan janji manis PH serta wajib menolak secara keseluruhan Pakatan Harapan yang jelas berusaha merendahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah, jangan langsung memberi peluang kepada mereka kerana mereka tidak berminat memperjuangkan Islam.”

Menurutnya, “Kebanyakan pemimpin Islam yang berada di dalam Pakatan Harapan boleh saya kategorikan sebagai pengkhianat agama dan pengkhianat bangsa sebenarnya kerana mereka ini sanggup menjadi kuda tunggangan DAP hanya semata-mata untuk mendapatkan kuasa.” Bagaimanapun, beliau yakin orang Melayu dan orang Islam di negara ini akan menolak mereka pada Pilihanraya Umum ke 14 nanti.

SUMBER

Leave a Reply