Mendidik anak-anak tanpa negara

Oleh: Rien Sd

Petang itu mendung. Jalan menuju ke Bandar Megah sesak. Kenderaan menderu laju, berlapis-lapis. Seorang dua polis trafik mengawal lalu lintas dengan cermat. Dinding langit hampir dibaham seluruhnya oleh awan hitam. Renyai-ranyai hujan sudah mula mengaburi cermin kereta kami. Jalanraya masih sibuk dan belum ada tanda surut.

Sukarelawan kali ini tidak ramai. Hanya empat orang. Papan tanda bertulis Jalan Gereja terpacak di tepi jalan. Kami membelok masuk mengharung beberapa buah kilang sebelum sampai ke situ. Hujan semakin kuat menumbuk-numbuk atap kereta. Kami berempat menyinsing seluar dan bersiap untuk meredah lecah dan semak rumput.

Sebuah perkampungan yang kecil dan lapang. Rumah di sekitar situ tidak lebih 20 buah. Beberapa penduduk kampung memikul karung tanah, mencangkul dan menyapu-nyapu berkas kayu. Sebetulnya kayu-kayu reput yang melembap akibat terkena air hujan.

“Hujan beginipun diorang kerja juga kan” bisikku kepada Wan sambil berlari-lari anak.

“Cari rezeki, bosku” balas Wan spontan.

Tiga minit perjalanan masuk, akhirnya kami bertemu dengan Cikgu Laila. Guru kepada 25 kanak-kanak tanpa negara di situ. Konversasi kami dimulai lambat. Lekas-lekas kami bertumpang teduh di sekolah yang menjadi kubu pengajian kanak-kanak tanpa negara di situ.

Mataku meliar mencari tempat duduk atau sekurang-kurangnya bersandar. Baju kami basah, rambut menjadi serabai. Mujur hujan tidak berterusan tujah menujah. Di sekolah itu hanya sepapan kayu, beberapa biji batu, dan kayu buangan paras dada yang dibikin dinding serta beberapa keping zink yang bocor selubang dua.

Sekolah yang berlantai tanah, berdinding sebatang dua kayu itu sudah lama dibangunkan. Sebelum Cikgu Laila ada guru kalangan komuniti orang tanpa negara yang mengusahakannya.

“Cikgu tu sudah pulang ke Filipin dik. Tau la kan kalau tiada surat ni, banyak risikonya duduk sini” sampuk Cikgu Laila.

“Aku terus teranglah dik, kalau Batu 7 tu ada checking, begegar bah orang sini ni. Kadang satu malam tu tidur di bakau belakang sana. Takut kena ambush” sambungnya.

Kampung yang tidak sampai 100 orang penduduk itu semuanya tidak memiliki dokumen warganegara. Orang-orang tanpa negara ini terpaksa membangun komuniti mereka sendiri, mengalami limitasi pergerakan bahkan mereka terpaksa sentiasa waspada apabila keluar daripada kampung tersebut.

Cikgu Laila bersendiri mendidik 25 orang anak tanpa negara di situ. Pendidikan asas yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat itu berterusan tanpa halangan kecuali hujan. Hanya ada sepapan dinding paras dada. Sekolah itu terbogel luas tanpa dinding. Papan hijau dan kapur-kapur kontot digantung di bahagian hadapan serta beberapa keping panduan membaca visual yang sudah remuk dan rabak.

“Apa-apa seja subjek yang cikgu ajar sini?” tanya Usman, sukarelawan kami.

“Asas seja dik. BM, BI, Matematik sama Sains. Itupun Sains baru aku mula satu dua bab” balas Cikgu Laila.

“Anu bah dik, cikgu-cikgu sebelum ni kadang nda tahan sebab budak-budak ni bukan semuanya bayar yuran. Fahamlah bah kan, diorang pun susah. Ada budak yang dijaga oleh ibu tunggal” kelu Cikgu Laila.

“Syukurlah ada juga kadang orang tolong-tolong. Hantar alat tulis sama buku. Atap sekolah ni pun, bapa-bapa murid juga ni yang tolong pasang dik.” Sambungnya sambil menuding kepada beberapa batang kayu yang terbaring kusut di belakang sekolah.

Mataku masih melilau. Habuk di atas sepapan kayu disapu. Aku dan dua sukarelawan melabuh punggung di situ. Mengesat basah pada dahi dan leher.

“Macam manalah budak-budak tu duduk Cikgu? Kotor tanah ni kan” tanyaku.

“Anu dik, duduk seja durang atas batu-batu tu” sambil tangannya menunjuk 4-5 biji batu sebesar kelapa.

Mata kami berlaga. Dahi kami masih berkedut tanda bingung. 25 pelajar akan menggunakan 4-5 biji batu sebesar kelapa untuk duduk. Mereka menulis bagaimana? Seorang pelajar di sekolah itu OKU menurut Cikgu Laila. Kanak-kanak lelaki yang rumahnya hanya sepuluh langkah daripada sekolah itu bisu. Masih berumur 7 tahun. Pada umur yang masih terlalu mentah itu dia telah ditinggalkan oleh ibunya yang lari bersama lelaki lain.

“Ada mama tirinya tu dik. Tapi jahat bah. Pernah aku nampak ditendangnya budak tu waktu makan. Sakit bah hatiku dik” jelas Cikgu Laila.

“Nda try ajar dia bahasa isyarat cikgu?” tanyaku.

“Ya, aku ajar juga tu kesian. Rajin tu dik belajar, sungguh-sungguh betul dia” balas Cikgu Laila.

Hatiku berombak. Semacam ada gejolak yang tidak tertahankan. Ada amarah yang memukul-mukul dadaku. Seorang ibu lari bersama lelaki lain meninggalkan seorang anak yang bisu, mentah dan tidak berpendidikan. Betapa binatangnya manusia berbanding binatang.

Seorang dua anak kecil berlari-lari. Wan masih berbual bersama Cikgu Laila. Aku meninjau beberapa buah rumah di belakang sekolah itu. Rumah sekangkang tanah itulah yang kadang memuatkan lebih 10 orang. Ruang tamu, dapur, bilik adalah satu. Lelaki wanita bercampur baur. Mereka terpaksa mendepani hidup demikian untuk kelangsungan hidup. Sesuatu yang penting berbanding makanan yang perlu disua kepada mereka iaitu pendidikan.

Sekolah yang tidak berdinding, tidak berbangku, tidak bermeja itu perlu dibangunkan, fikirku. Orang semacam Cikgu Laila adalah cahaya yang sirna bagi komuniti Orang Tanpa Negara di situ. Komuniti ini perlu bersaing dan bertungkus-lumus. Stereotaip masyarakat sekeliling lebih cepat membunuh mereka berbanding senjata api.

“Mudah-mudahan Tuhan permudahkan urusan kamu dik. Terima kasihlah sebab mau bantu kami” sayu suara Cikgu Laila dalam keributan pekikan hujan menghentam zink bocor sekolah itu.

“Sebetulnya dik, orang kampung sini suka kalau ada orang yang tolong. Tapi itu sejalah, janganlah ada kaitan sama kerajaan. Takut bah diorang dik. Takut diorang diangkut anak diorang” rayu Cikgu Laila.

“Ya Cikgu, kami faham. Kami buat ni sukarela, tiada apa-apa kepentingan juga. Minggu depan kami datang lagi ya. Nanti kami bawa kapur. Tinggal sikit kapur tu kan” balasku.

Hujan hampir surut. Sudah kurang bunyi hentakan pada atap zink. Kami meminta izin berlalu. Mengucap terima kasih kepada Cikgu Laila. Bebola matanya telah menggambarkan keseluran getir membangun anak-anak tanpa negara di situ. Walaupun bahunya belum kendur tapi tuturnya berbaur letih. Namun, demi kelangsungan hidup, ini bukan lagi pilihan melainkan satu-satunya keputusan dan perjuangan yang perlu mereka bimbit sepanjang menjadi warga tanpa negara.

 

Glosari:

1.Nda – Tidak

2.Seja – Sahaja

  1. Ambush – Serbu
  2. Checking – Operasi Polis
  3. Diorang – Mereka
  4. Bah – Begini/Yala

Leave a Reply