Ramai yang gemar menyindir gerakan mahasiswa pada hari ini kerana dikatakan terlalu pasif dalam melakukan perlawanan-perlawanan menentang status quo (pihak universiti atau kerajaan). Kebanyakan mereka yang memberi komentar seperti ini adalah kelompok bekas aktivis mahasiswa yang pernah melakukan aksi-aksi penentangan yang luar biasa. Berdemo, dilokap, menghantar memorandum, berkempen ketika pilihan raya dan seumpamanya sudah sebati dalam jiwa mereka. Barangkali mereka melihat mahasiswa pada hari ini terlalu “lembik” dalam memperjuangkan isu.

Saya fikir ramai daripada mereka enggan menerima jawapan “kematian Jemaah Islam Kampus (JIK)” menjadi salah satu punca utama perubahan lensa perjuangan dalam kalangan mahasiswa. Sejak Akta Universti Kolej Universiti (AUKU) tiba lagi, gerakan mahasiswa Islam memotori perjuangan kampus. Dogma Islam yang ditanamkan dalam jiwa “aktivis mahasiswa Islam” di kampus menjadikan mereka berani dan sanggup berkorban apa sahaja.

Oleh kerana kebanyakan persatuan Islam pada hari ini lebih sederhana, saya percaya mahasiswa sedang berada dalam fasa perpecahan kerana sedang mencari dogma baharu yang boleh menggantikan dogma “Islam” sebagai enjin perjuang. Kini ada 4 isu penting yang muncul secara serentak dan memperlihatkan semangat solidariti dan perjuangan mahasiswa masih wujud. Perjuangan-perjuangan yang relevan ini (bukan perjuangan menegakkan ahli politik yang korup) wajar mendapat sokongan daripada segenap masyarakat, termasuklah bekas aktivis mahasiswa yang gemar menyindir.

Isu Yuran Latihan Industri UMK

Sebagai universiti awam, seharusnya Universiti Malaysia Kelantan memiliki yuran yang rendah dan tidak setanding dengan universiti swasta. Malangnya yuran di universiti ini tinggi dan boleh dibandingkan dengan beberapa universiti swasta yang tidak mendapat subsidi kerajaan. Kemarahan mahasiswa UMK memuncak apabila mereka diminta membayar Yuran Latihan Industri dalam lingkungan RM 1,000-1,380.

Sesuatu yang tidak masuk akal untuk mahasiswa yang sedang berada di industri kerana mereka tidak menggunakan apa-apa fasiliti universiti yang boleh dikenakan bayaran. Sepatutnya mahasiswalah yang diberikan bayaran ketika berada di industri, bukan mereka yang harus membayar.

Patisyen bantahan yuran telah menerima hampir 2,000 tandatangan daripada pelabagai pihak dan kempen menukar “profile picture” Facebook telah dilaksanakan. Sungguh menakjubkan kedua-dua kempen ini mendapat sambutan.

UMK ada memperkenalkan Bantuan Kewangan Pelajar Latihan Industri (BKPLI) untuk menutup isu yuran yang tinggi ini. BKPLI hanya akan memfokuskan kelompok keluarga yang mempunyai kadar pendapatan tertentu. Ironinya, walaupun dengan kadar tertinggi potongan yuran latihan industri melalui BKPLI berlaku, yuran yang telah dipotong tetap merupakan yuran latihan industri yang tertinggi diantara universiti awam.

Kebimbangan utama aktivis mahasiswa adalah kepada golongan mahasiswa yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan tidak memiliki sebarang elaun ketika menjalani latihan industri. Wang pinjaman PTPTN perlu digunakan untuk menampung kos sara hidup selama 4 bulan di industri, mengapa perlu diperas wang mahasiswa sebgitu banyak?

Isu Asheeq Ali digantung sebulan oleh UKM

Kes Asheeq Ali melawan UKM telah bermula sejak tahun lepas apabila dia dikenakan tindakan tatatertib apabila menghadiri Demonstrasi Tangkap MO1. Aktivis mahasiswa menuntut agar universiti tidak sesuka hati menghukum mahasiswa yang terlibat dengan apa-apa aktiviti politik di luar kampus. Pindaan AUKU 2012 menjamin hak-hak ini. Kelemahan utama yang ada pada AUKU atau undang-undang tatatertib universiti adalah “neraca keadilan” dipegang oleh universiti. Ini bermakna universiti boleh sesuka hati meletakkan tuduhan mencemarkan nama baik universiti kepada mana-mana pelajar yang mereka inginkan.

Lebih teruk lagi, jawatankuasa perbicaraan terdiri daripada orang-orang dalam universiti. Agak melucukan apabila jawatankuasa itu telah mengenakan tuduhan kemudian mereka pula yang ingin membicarakan. Bagi saya tidak hairanlah kebanyakan mahasiswa yang dibicarakan akan didapati bersalah.

Kes ini berlarutan kerana Asheeq membawa kes ini ke mahkamah, malangnya dia kalah. Setelah kekalahan tersebut, dia digantung selama sebulan bermula pertengahan Mac ini. Aktivis mahasiswa akan melakukan sidang media bagi mengutuk tindakan ini. Sewajarnya mahasiswa diberi kebebasan beraktivis tanpa membeza-bezakan ideologi politik mahasiswa. Amat tidak wajar mahasiswa yang “anti-establishment” sering dihukum tetapi mereka yang menyokong kerajaan sering dibangga-banggakan.

Isu ALB di UIAM dan Majlis Makan Malam Kolej Kediaman UM

Isu ALB di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan satu isu baharu yang bagi saya jarang didengar sebelum ini. Walaupun isu “pagar” isu yang agak segar, tapi perjuangan mereka sudah bermula sejak tahun lepas lagi. ALB merupakan pagar yang akan digunakan di sekitar kampus UIAM. Aktivis mahasiswa di sana percaya bahawa pelaksanaan ALB hanya akan membawa lebih banyak mudarat kepada mahasiswa, pensyarah dan staf UIA. Selain itu, amat tidak wajar sekiranya universiti dipagarkan kepada orang awam.

Sebelum melaksanakan ALB, UIA didakwa telah melakukan kajian selama 3 tahun. Kertas kajian inilah yang dituntut oleh aktivis mahasiswa di sana. Selain itu, mereka juga inginkan kertas belanjawan yang melibatkan ALB. Aktivis mahasiswa percaya kepada ketelusan, jika benar ALB melaksanakan semua perbelanjaan dengan betul, mengapa harus takut?

Bagi mahasiswa Universiti Malaya yang tinggal di kolej kediaman, isunya mahasiswa terpaksa membayar yuran majlis makan malam denga bayaran yang tinggi. Yuran ini diselitkan dalam yuran kolej kediaman menyebabkan ramai dalam kalangan mahasiswa tidak sedar mereka membayar majlis makan malam. Aktivis mahasiswa UM percaya bahawa majlis makan malam tersebut kurang rasional.

Pertama kerana ia melibatkan kos yang agak mahal dan bayaran tersebut pula diselitkan dalam yuran kolej kediaman. Hal ini akan menekan dan mengelirukan mahasiswa. Apabila ada dalam kalangan wakil pelajar UM berkata majlis ini untul latihan majlis formal, semakin ramai mahasiswa UM yang marah. Antara cadangan yang diberikan adalah menjadikan majlis makan malam ini “optional” kepada mahasiswa.

Mudah-mudahan menjadi kunci kebangkiyan

Empat kejadian yang berlaku serentak ini saya fikir sedikit sebanyak akan menyuntik semula semangat gerakan aktivisme mahasiswa di Malaysia. Konteks dan method perjuangan mahasiswa pada hari ini berbeza dengan apa yang berlaku 10 atau 40 tahun lepas. Hakikat ini harus diakui oleh kita semua, supaya semakin segera ditemukan penawar kepada ubat pelali yang diberikan kepada kebanyakan mahasiswa.

 

Leave a Reply