Tak Perlu Bising, Dinner Kolej Untuk Latihan Majlis Formal – MPP UM

Berita mengenai ketidakpuasan hati mahasiswa terhadap dinner kolej telah saya suarakan semasa perjumpaan bersama Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri. Pendapat daripada beliau saya telah gabungkan bersama pendapat pengetua-pengetua kolej lain.

Pertama sekali, dinner kolej adalah BUKAN suatu isu untuk dibangkitkan sejak dari awal lagi. Jika sahabat-sahabat fikirkan sejenak, jumlah yuran bagi satu sesi menginap di kolej kediaman termasuk yuran dinner sangatlah RENDAH dibandingkan dengan jumlah perbelanjaan menginap di luar kampus.

Kedua, tujuan dinner kolej diadakan adalah untuk melatih mahasiswa menghadiri majlis keramaian yang profesional.

Pendapat peribadi saya adalah melalui majlis anugerah tersebut, rakan-rakan semua di kolej kediaman boleh menimba pengalaman tatacara menghadiri majlis formal dan beradab sebelum menempuh alam pekerjaan nanti. Yuran majlis anugerah adalah munasabah dengan mengambil kira perancangan dan pelaksanaan terperinci dan prestij majlis tersebut.

Oleh itu untuk penyelesaian masa terdekat, sahabat-sahabat boleh membuat rayuan untuk pemulangan yuran dinner tersebut di pejabat kolej masing-masing bersama justifikasi yang kukuh.

Untuk pengetahuan semua, rayuan boleh dimajukan sebelum tarikh akhir pengesahan bilangan kehadiran tetamu kepada pihak penyedia perkhidmatan (biasanya hotel) oleh pihak kolej. Tarikh akhir ini bergantung kepada kolej kediaman masing-masing.

Bagi penyelesaian masa hadapan, perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengetua untuk mencari penyelesaian secara menyeluruh. Semoga perbincangan mereka akan membawa kepada solusi yang kukuh.

MOHAMED ALI SHAFIEE
Naib Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaya
2017/2018

Leave a Reply