Mereka terdiri daripada Moha­mad Zul Shahril Suhaimi, 26, Mohamad Sharafe Matt Noh, 25, Azizi Aizat Ibrahim, 26, dan Muhamad Safwan Muhamad, 26.

Tiga daripada mereka kecuali Muhamad Safwan turut disabitkan dengan kesalahan membunuh bapa pensyarah itu, Omar Peter Abdullah, 56.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif ketika menolak rayuan akhir keempat-empat pemuda itu.

Beliau bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa bukti keterangan yang dikemukakan adalah amat kukuh bagi mensabitkan mereka terhadap tuduhan yang dikemukakan.

Sehubungan itu, panel tersebut berpendapat, sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh mahkamah terdahulu adalah selamat untuk dikekalkan.

Barisan pembelaan terdiri daripada Datuk Naran Singh, Hisyam Teh Poh Teik, Shamsul Sulaiman dan Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurulhuda Nur’Aini Mohd. Nor.

Keempat-empatnya disabitkan membunuh pensyarah Bahasa Inggeris mereka yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di antara pukul 1.30 pagi dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012.

Bapa mangsa yang merupakan pesara syarikat kewangan pula dibunuh di antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya di rumah dua beranak tersebut di No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, dekat sini.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya berpuas hati bahawa Mohamad Zul Shahril, yang ketika itu merupakan teman lelaki Zara Eleena adalah perancang utama keseluruhan kejadian itu dimulai dengan kecurian barang kemas milik ibu gadis tersebut, Normaliah Mahmood.