Aktivisme mahasiswa ini jalannya penuh onak dan duri. Pilihan untuk beraktivis ini juga terkadangnya satu keistimewaaan – a privilege – bagi mereka yang berani mengambil risiko. Bila bersuara, biasanya ditangkap, disoal siasat oleh polis, dimasukkan dalam lokap, dan ada yang didakwa. Akan tetapi, mahasiswa ini semua mana pernah serik. Bak ayat keramat pegangan mereka “Lagi ditekan, lagi melawan”.

Tapi mahasiswa ini bukan melawan atau menjadi rebel sebarangan. Merek aini bukan sekadar menjadi ejen penganggu (agents of disruption) dalam masyarakat tanpa sebab. Kehadiran mahasiswa menganggu gugat sistem dan tatanan itu sentiasa bersebab. Mereka ini antithesis – pastinya ada tesis yang terlebih dahulu mendahului. Apa yang aku lihat sebagai tesis yang wujud ialah permasalahan masyarakat. Masyarakat menghadapi masalah, lalu hadirlah mahasiswa untuk membuat ‘bising’ dan menganggu sistem dan autoriti yang menjadi punca masalah masyarakat.

Kita amati kisah mahasiswa dan Kampung Chubadak pada tahun 2014 – satu kisah yang menunjukkan bahawa sedari awal kewujudan kelompok yang kita panggil mahasiswa, mereka sentiasa berjuang untuk isu rakyat. Untuk latar belakang kepada isu ini, kita fahami dahulu tentang kewujudan Kampung Chubadak. Kampung ini mula dibuka pada 1960an seiring beberapa kampung lain seperti Kampung Chubadak Tambahan, Kampung Pasir, Kampung Chubadak Indah, Chubadak Hulu dan Chubadak Hilir. Kampung-kampung ini semua merupakan penempatan para peneroka Bandaraya Kuala Lumpur. Mudah kata, mereka ini adalah OG Kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, langit tak sentiasa cerah buat penduduk Kampung Chubadak. Pada 1996, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membenarkan pemaju untuk membina blok apartmen di Kawasan tersebut.

Tindakan ini sudah tentu mengejutkan pihak penduduk kampung. Pada 1998, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan supaya pampasan diberikan kepada penduduk kampung memandangkan mereka merupakan peneroka bandar yang menetap di situ sejak sekian lamanya, dan bukannya menetap secara setinggan. Bila penduduk kampung membantah tindakan zalim dari pihak DBKL, mereka dihumban ke dalam lokap.

Isunya ketika itu, bila masanya DBKL menjual tanah mereka – tempat yang dibuka mereka sejak berdekad lalu – kepada pemaju? Pampasan yang diberikan pun cumalah RM7000 dan seunit rumah di Projek Perumahan Rakyat Batu Muda. Adilkah, untuk tanah yang hanya 5km dari pusat bandar, yang dibuka dan diduduki selama puluhan tahun, hanya menerima sejumlah wang dan rumah ala kadar sebagai ganti?

Dua orang mahasiswa cuba membela nasib penduduk Kampung Chubadak yang tertindas. Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional Abdul Muqit Muhammad dan Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan Gamis Ahmad Fahmi Mokhtar turun ke Kampung Chubadak apabila mendapat perkhabaran bahawa rumah terakhir di situ bakal dirobohkan.

Puluhan mahasiswa turut turun bersama membela nasib Opah Wahidah, pemilik kepada rumah terakhir tersebut. Namun, lumrah pejuang bagi mereka yang tertindas telah tertulis seolahnya kehidupan para aktivis itu satu novel yang sama plot dan kisahnya. Muqit dan Ahmad Fahmi ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Daerah Sentul pada 28 Oktober 2014.

Penahanan mereka kononnya disebabkan mereka menghalang kerja penjawat awam, menceroboh rumah (ironi sungguh), dan keengganan untuk beredar bila diarahkan polis. Ini disebut sendiri oleh Ketua Polis Sentul ketika itu.

Muqit dan Ahmad Fahmi dijamin oleh Tian Chua, Ahli Parlimen Batu ketika itu yang juga aktivis politik tegar. Di luar balai tersebut, mahasiswa-mahasiswa berkumpul dan menujukkan solidariti bersama dua aktivis yang ditahan tersebut. Turut hadir bersama ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia ketika itu, Suhaizan Kaiat, Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS Muhammad Najib Abd Rahim, dan aktivis masyarakat sivil dan mahasiswa dari sekitar Lembah Klang.

Sepanduk diangkat dan slogan perjuangan dilaungkan – menunjukkan mahasiswa ini makin berani sekalipun ada rakan mereka yang telah ditangkap polis. Tak sedikit pun mereka terintimidasi.

Usaha Muqit dan Ahmad Fahmi tidak hanya terhenti di situ saja. Kisah Opah Wahidah yang dalam usia 70an mendapat perhatian umum. Satu program disusun bersama mahasiswa Universiti Malaya. Beliau dibawa masuk untuk berkongsi tentang bagaimana haknya dizalimi dan rumahnya yang didiami beliau selama 45 tahun dirobohkan begitu saja.

Kisah ini mungkin ringkas dan singkat tapi ia menunjukkan satu elemen penting yang perlu diinsafi mahasiswa masa kini – kita perlu bersama masyarakat awam dan golongan tertindas. Isu Kampung Chubadak ini bukan isu mahasiswa. Mahasiswa – Muqit dan Fahmi – tidak tinggal di situ, jadi mengapa mereka kisah sangat sehingga rela ditangkap? Kerana mereka tahu tempat mahasiswa itu bersama masyarakat.

Tak perlu tunggu sehingga sesuatu isu itu terkait dengan mahasiswa baru kita perlu bersuara. Protes #TURUN baru-baru ini misalnya. Harga barang yang naik dicampur dengan Menteri yang tidak peduli – itu masalah masyarakat.

Mahasiswa turun ke jalan menjadi jurubicara masyarakat, bersolidariti bersama kelompok yang membesarkan mereka. Sebagaimana polis Sentul pada 2014 di Kampung Chubadak, mahasiswa hari ini juga terpaksa menghadap antagonis dalam aktivisme ini. Kita mengambil semangat berani dari Muqit dan Fahmi – tidak gentar walaupun ada diantara kita dipanggil polis dan didakwa kerana protes tersebut.

Sebagai penutup, aku ingin berkongsi sebahagian petikan Puisi Mahasiswa Milik Masyarakat yang ditulis oleh aktivis mahasiswa Efan Hamza:

ketika masyarakat menangis sakit

berteriak merayu dikeluarkan dari payah menghimpit

kau mengancing mulut melempar kunci jauh dari tangan

menjadilah kau mahasiswa bajingan

saat biayamu didanai masyarakat

mengapa berpaling menghapus ingatan

mengurung diri dalam kamar kebisuan?

Leave a Reply