Awal bulan Jun – lebih tepat tanggal 4 Jun – merupakan hari gelap demokrasi; 33 tahun lalu, peristiwa berdarah yang dikenali sebagai Tinanmen Square Massacre 1989 telah meragut ribuan nyawa mahasiswa. Asbab apa mereka dibunuh kerajaan mereka sendiri – mereka menuntut supaya demokrasi tertegak di bumi China.

Mahasiswa yang terdedah kepada idea pembebasan dan taraf hidup yang lebih tinggi mendesak kerajaan China untuk membuka ruang kebebasan politik, seiring ruang kebebasan ekonomi yang telahpun bermula lebih awal beberapa tahun sebelumnya. Sehingga kini, kerajaan China tidak membenarkan rakyatnya bercakap berkenaan tragedi tersebut.

Bagi melawan lupa, aku ingin membawa kisah ini untuk diinsafi bersama oleh rakan-rakan mahasiswa. Terlebih dahulu, perlu kita fahami mengapa mahasiswa yang menjadi penggerak utama kepada protes tersebut? Jawapan ringkas telahpun disebut tadi – iaitu mereka terdedah dengan idea dari negara tempat mereka bermastautin. Begitulah lumrah mereka yang terpelajar; mereka menyedari tentang keadaan sosial masyarakat mereka lalu menuntut supaya kehidupan mereka ditambahbaik. Dalam demokrasi, mahasiswa sebagai golongan terpelajar menjadi ejen penekan terhadap golongan autoriti.

Lihat di Malaysia, antara golongan terawal yang menuntut kemerdekaan merupakan mahasiswa di Sultan Idris Training College (SITC, kini Universiti Pendidikan Sultan Idris). Melalui pendidikan dan jaringan sesama mahasiswa, mereka membuka mata terhadap penindasan di tanah air kita.

Dari jaringan mahasiswa di SITC, gerakan menuntut kemerdekaan pertama yang bersifat nasional tercetus. Mahasiswa di Tiananmen Square dan SITC kedua-duanya merupakan watak utama dalam menyuarakan suara akar umbi dan menjadi ejen penggerak dalam menuntut demokrasi dan hak asasi bagi masyarakat mereka yang tertindas.

Mahasiswa juga merupakan sebahagian dari golongan belia – golongan yang sering disebut sebagai pelapis negara. Walaupun, sayangnya di Malaysia, politik didominasi golongan tua, harapan bagi orang muda untuk bersuara dalam ranah demokrasi tidak luput. Lihat sahaja protes yang berlaku dalam setahun dua ini – Bendera Hitam, Azam Baki, siri protes di hadapan Parlimen – semuanya digerakkan oleh orang muda, termasuklah golongan mahasiswa.

Tanpa bebanan risiko, mereka menjadi pelopor utama kepada gerakan-gerakan sosial. Mahasiswa melawan autoriti dan penindasan itu seolahnya sudah menjadi hukum alam – walaupun tidak dinafikan ada mahasiswa yang menjadi boneka dan pak turut kepada pemerintah itu sendiri.

Belum lagi kita berbicara kisah-kisah agung pergerakan mahasiswa yang berlaku sepanjang era demokrasi moden Malaysia. Adam Adli, mahasiswa UPSI, bertindak menurunkan bendera yang memaparkan gambar Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri ketika itu. Tindakannya mungkin kelihatan seperti satu protes, namun ia sebenarnya sebentuk keingkaran awam yang sangat penting dalam dunia demokrasi.

Afiqah Zulkifli dan Hanif Mahpa digantung semester mereka kerana menganjurkan forum berkenaan GST dan menjemput Rafizi Ramli sebagai pembicara. Mereka mengatahui akan risiko yang berada di hadapan mereka – ketika itu AUKU masih berkuasa – namun mereka teruskan juga atas nama demokrasi.

Apa yang dilakukan oleh mahasiswa ini merupakan tuntutan daripada dan kepada demokrasi. Mengapa tuntutan daripada demokrasi? Kerana demokrasi itu menggesa supaya mereka yang biasa-biasa (marhaen, rakyat biasa, golongan bukan elit) untuk bersuara. Satu kelemahan demokrasi dalam dunia neoliberal kapitalisme ini ialah ia didominasi oleh elit politik dan elit ekonomi.

Justeru, demokrasi menuntut mahasiswa supaya menjadi semak dan imbang dalam dunia alaf ini. Demokrasi itu bukan untuk didominasi, tapi untuk diimbangi. Demokrasi menuntut mahasiswa untuk menyemak imbang golongan elit ini dari menguasai rungkup politik.

Mengapa pula tindakan mahasiswa ini dikatakan tuntutan terhadap demokrasi? Daripada tatanan dunia moden ini, hanya mereka yang berkuasa dan kaya sahaja yang kononnya mempunyai suara. Mahasiswa sebagai sebahagian daripada golongan biasa-biasa ini dituntut untuk melawan status quo yang menindas ini lalu memulangkan kembali suara golongan bawahan.

Demokrasi itu secara harfiah juga membawa erti Kuasa Rakyat – maka harus dipulangkan kepada rakyat. Maka, mahasiswa dituntut supaya membawa kembali erti sebenar demokrasi supaya dipratikkan oleh mereka yang biasa-biasa.

Mahasiswa dan demokrasi ini sebenarnya merupakan sesuatu yang istimewa. Terlalu istimewa sehinggakan mahasiswa diberikan ruang demokrasi tersendiri – ruang politik kampus. Betapa mandirinya ruang politik kampus terhadap mahasiswa, itu terbuka kepada perdebatan.

Ruang politik kampus itu ada yang didominasi pihak pentadbiran universiti, namun tidak dinafikan bahawa ruang itu dibuka buat siswa. Terutamanya bagi kampus yang mempunyai Kesatuan Mahasiswa – seperti UIA dan UM – pilihanraya kampus dijalankan sendiri oleh mahasiswa. Tribunal, audit dan segala pergerakan sepanjang pilihanraya itu dijalankan sepenuhnya oleh mahasiswa.

Yang menyertai pilihanraya itu juga sebahagiannya dari parti politik siswa, bagi membentuk sesuatu yang disebut sebagai kerajaan mahasiswa.

Dari ruang demokrasi kampus yang dikhususkan kepada mahasiswa, mereka mula aktif dalam ruang demokrasi yang lebih luas iaitulah ruang politik nasional. Dari pengalaman penulis, penglibatan mahasiswa ke dalam politik nasional ini pelbagai – ada yang terus masuk ke dalam parti politik; ada yang terlibat dalam sayap mahasiswa parti politik atau proksi parti politik; ada yang datang dari gerakan akar umbi mahasiswa; dan ada yang merupakan pemimpin mahasiswa yang diundi dari kampus masing-masing.

Metodologi mereka pelbagai, terkadangnya agenda mereka juga pelbagai. Namun misi mereka untuk membawa suara mahasiswa ke ruang politik nasional itu yang menyatukan mereka. Misalnya, wujud kolektif mahasiswa yang dikenali sebagai Sekretariat Mahasiswa Marhaen (SMM) yang dianggotai gerakan mahasiswa seluruh Malaysia yang aktif mendesak kerajaan sedari 2021.

Kelompok dari SMM ini pelbagai dengan ideologi yang berbeza, namun perbezaan itu diraikan sebagai kekuatan dalam menjadi ejen penggesa dalam politik nasional.

Sekalipun ada yang memandang mahasiswa ini hanya sebagai pelajar – dan itu tugas hakiki mereka – namun tidak boleh kita nafikan bahawa mahasiswa merupakan ejen penting dalam demokrasi kita.

Menyumbang kepada masyarakat yang lebih besar dari perimeter universiti itu juga sebahagian dari tugas mereka. Semangat mahasiswa ini berubah dari zaman ke zaman, bergantung kepada zeitgeist ketika itu, namun misinya untuk menggugat status quo itu kekal relevan di setiap era. Mahasiswa sedunia, bersatulah!

 

Artikel ini ditulis oleh Aliff Naif Mohd Fizam, dan tidak semestinya mewakili pandangan Nadi Mahasiswa Malaysia.

Leave a Reply