Oleh; Syahirah Selamat

Tinggi nilai merit, ikuti banyak program kolej, imbalan untuk tinggal semula di semester hadapan.

Tidak lepaslah juga, setiap kolej kediaman akan mengadakan program-program yang melibatkan penduduk kolej. Disinilah para freshie sering sahaja dimomokkan dengan kata-kata, tidak join projek kolej, akan ditendang kolej pada akhir semester nanti. Banyak projek yang diikuti, banyaklah mata merit yang akan diberi.

Para mahasiswa baharu akan disogok dengan mata merit, jikalau mata merit bilangannya tinggi, maka peluang untuk diberikan keistimewaan adalah amat tinggi.

Namun sayang seribu sayang, perkara yang digembar-gemburkan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Sewaktu keputusan penempatan kolej yang dikeluarkan baru-baru ini, ramai sahaja penduduk kolej yang telah memberikan seluruh jiwa dan raga kepada kolej tidak mendapat penempatan, termasuk jugalah permintaan rayuan untuk tinggal pada sesi hadapan.

Selepas beberapa ketika keputusan rayuan kolej dikeluarkan, ada pula notis yang dikeluarkan. Notis ini mengatakan bahawa, keputusan sesi rayuan seterusnya akan ditetapkan selepas para pelajar baharu sesi 2017/2018 mengisi tempatnya. Perkara ini bermaksud, keputusan rayuan seterusnya akan diumumkan selang beberapa hari lagi  mahasiswa pulang ke kampus.

Adakah keadaan ini sesuatu yang dipandang enteng oleh pihak pengurusan kolej? Bagaimanakah nasib-nasib para mahasiswa Sabah dan Sarawak yang ingin menunggu masa keputusan rayuan penempatan kolej? Tahukah pihak berwajib, semakin lama dan semakin hari harga tiket penerbangan semakin menyesakkan dada. Dimana mereka patut tinggal sebelum itu?Adakah setiap masa, jawapan yang diberikan adalah tinggal dahulu ditempat kawan-kawan yang sedia ada ataupun merelakan mereka yang tinggal jauh ini untuk menyewa diluar kampus? Sampai bila jawapan seperti ini akan terus berkitaran?

Saya berharap, sudah tiba masanya pihak pengurusan kolej mengambil inisiatif, merangka pengurusan dengan lebih efektif mengenai hal-hal penempatan mahasiswa kolej. Kasihan mahasiswa yang berharap. Kasihan mahasiswa yang berkobar, mengangkat sumpah untuk terus berkhidmat secara ikhlas di kolej kediaman, namun pada saat akhirnya, mereka tidak dapat lagi meneruskan legasi akibat sistem pengurusan yang kurang telus.

KK4

Yuran majlis makan malam kolej kediaman

Satu hal lagi yang ingin dirungkaikan oleh mahasiswa baharu seperti saya adalah tentang yuran majlis makan malam kolej kediaman.

Dahulu, saya ingat lagi. Sebelum majlis makan malam kolej kediaman ini diadakan, atas isu berbangkit mengenai kos yuran, ada satu borang kaji soal selidik yang diedarkan secara online. Borang ini membolehkan pelajar memilih harga kos yuran dan jenis makanan yang ingin dijamah pada majlis tersebut.

Ya, pilihan kos yuran diberikan ada dua pilihan sahaja, iaitu yuran berkos RM100 ataupun yuran berkos RM120. Pilihan makanan, makanan jenis berhidang ataupun makanan jenis buffet.

Secara logik akal, saya merasakan sudah tentulah mahasiswa akan memilih yuran yang berjumlah kecil, dan purata penilaian saya bila bertanyakan kepada mahasiswa lain, rata-ratanya memilih yuran yang berkos RM100. Pelik memang pelik, yuran makan malam tetap juga berkos RM120, dan untuk pengetahuan mahasiswa semua yuran ini dipotong terus daripada akaun pelajar.

Keadaan ini seperti menampakkan pihak atasan hanyalah aca-aca membuat kerja, aca-aca ingin menyelesaikan isu, tetapi hakikatnya tiada apa-apa pun perubahan. Suara mahasiswa ditolak habis-habisan, dan akhirnya pendapat mereka yang statik itu jugalah yang akan diambil.

Sistem pemotongan terus dan menetapkan bahawa majlis makan malam ini perlu dihadiri adalah sangat tidak patut. Bagi mahasiswa yang datang daripada keluarga yang susah seperti saya, jumlah RM120 untuk makan malam bagi semalam adalah diluar jangkauan saya. Dibuat pula di hotel lima bintang yang secara terang-terangan untuk menutupi kos sewaan/servis dewan yang agak mahal.

Saya juga sedar dengan kata-kata yang telah dilontarkan oleh pihak penganjur, “bukan selalu”. “Bukan selalu” inilah yang menyebabkan saya terpaksa menjamah mi segera untuk beberapa minggu.

Ya, saya tahu. Saya boleh sahaja menolak untuk tidak menghadiri majlis makan malam itu dan menebus semula wang tersebut, tetapi hasil daripada perbualan daripada pihak senior juga kakitangan pihak kolej, wang tersebut amat sukar untuk diperolehi semula, prosesnya mengambil jangka masa yang sangat panjang kerana harus mengikut sistem. Jadi, bagaimana?

Sedar tidak sedar, program seperti ini telah membuka mata saya bahawa program ini secara amnya telah memaksa secara halus pelajar untuk mengikutinya. Wang pelajar dikaut untuk melunasi nafsu, untuk dipertontokan dan dipertandingkan kemewahannya kepada kolej yang lain pula. Amat mendukacitakan.

 

 

Leave a Reply