Kita meyakini betapa undang-undang diperlukan supaya menjamin keselamatan warganegara – umumnya. Begitu juga dengan standard operasi prosedur (SOP).
Cuma saya ajaib sungguh dengan kerajaan kalangan ‘negotiator’ ini. Kerana pelaksanaan dwi-standard ‘ruling’ untuk kabinet pemerintah semata-mata (3 hari saja kuarantin selepas sepulangnya dari negara jiran). Bila tiba giliran mak cik senah si penggoreng keropok lekor; 14 hari tanpa kompromi.
Sudah kerap kali berlaku sebenarnya. Cuma, kehairanan yang bertindih-tindih ini masih lagi terus menjalar tanpa hentinya.
Maka disini kita akan dapati bahawa golongan besar-besar (pembesar) terus dibelonkan kemudian diterbangkan melangkaui undang-undang. Hanyasanya rakyat kerdil sahaja yang terus-terusan dipaksa untuk terpasung. Justeru apa beza dunia kita dengan alam rimba?
Seharusnya pelaksanaan undang-undang adalah untuk semua tanpa mengira kasta.
Jangan dilupa, kebinasaan umat-umat terdahulu telah disebabkan oleh pelaksanaan undang-undang yang selektif. Apabila tiba giliran bangsawan dan penguasa; ya tidak mengapa. Manakala bila tiba kesalahan yang dilakukan oleh orang bawahan; nah, hukuman wajib dilaksana tanpa galang-gantinya.
Baginda SAW bersabda;
إنما هلك الذين من قبلكم إذا سرق فيهم الشريف تركوه وإذا سرق فيهم الضعيف أقاموا عليه الحد.
“Sesungguhnya telah binasa umat terdahulu disebabkan apabila orang-orang besar dikalangan mereka mencuri; dilepaskan. Apabila orang-orang lemah dikalangan mereka mencuri; didirikan hukuman ke atasnya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Wan Muhammad Zuhir, Universiti Malaya

Leave a Reply