Tahun 2020 merupakan tahun kita melihat pelbagai kesan terhadap negara kita seperti gaya hidup seharian, pendidikan dan sebagainya akibat wabak COVID-19 ini. Ekonomi dan peluang pekerjaan di negara kita juga tidak terlepas dari radar penyakit ini. Banyak syarikat yang perlu menanggung kerugian dalam perniagaan dan terpaksa mengurangkan kos perbelanjaan, mengurangkan gaji pekerja dan memberhentikan atau membuang pekerja bagi mengelakkan kerugian yang lebih teruk. Persoalannya, apakah pengajaran yang golongan belia perlu cakna daripada perkara ini, akibat pandemik COVID-19?

Kita perlu menyedari pentingnya untuk mempunyai simpanan kecemasan. Hal ini adalah untuk memastikan kita mempunyai wang perbelanjaan yang cukup walaupun dibuang kerja, sementara berada di fasa peralihan untuk mencari kerja baru. Ramai pakar kewangan mencadangkan bahawa individu yang bujang mempunyai simpanan kecemasan gaji tiga bulan atau lebih. 

Namun, perkara ini bukanlah perkara mudah, kerana ada juga golongan belia di luar sana yang sudah mempunyai komitmen terhadap keluarga. Walaubagaimanapun, kesedaran ini akan timbul sekiranya mempunyai asas yang kukuh dalam ilmu kewangan. 

Orang muda juga dituntut untuk membezakan keperluan dan kehendak serta tidak terjerumus kepada hutang jahat. Sebagai contoh, kita tidak seharusnya membeli kenderaan yang terlalu mahal melebihi kemampuan gaji. Sekiranya sebahagian besar sudah dibelanjakan untuk membayar kenderaan secara ansuran bulanan, tidak mustahil baki gaji tersebut tidak mencukupi untuk digunakan bagi perbelanjaan keperluan yang lain. 

Perlunya untuk sentiasa ingat bahawa apabila kita membeli kereta, kita juga perlu menyediakan duit untuk kegunaan petrol dan penyelenggaraan berkala. Apabila kita membeli rumah, kita juga perlu duit yang cukup untuk membayar bil api dan bil air, membeli perabot, membeli barang dapur dan sebagainya. Keperluan dalam hidup kita datang dalam bentuk pakej, bukannya dalam bentuk “one-off”.

Isu muflis di kalangan belia juga sangat membimbangkan. Menurut sebuah laporan hasil kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia, 60 peratus daripada jumlah individu muflis di Malaysia merupakan golongan belia. Antara faktor yang membawa kepada muflis ini ialah pinjaman peribadi dan pinjaman kad kredit. Pinjaman ini biasanya digunakan untuk kos perubatan, pengubahsuaian rumah dan perkahwinan. 

Golongan belia khususnya mahasiswa juga dituntut untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka kerana persaingan dalam mencari pekerjaan untuk jangka masa yang panjang ini meningkat, bukan sahaja daripada graduan yang baru sahaja tamat pengajian, tetapi daripada individu berpengalaman yang diberhentikan.

Maka, menjadi suatu kewajipan untuk mahasiswa meningkatkan kemahiran formal dan kemahiran tidak formal dari awal zaman belajar dan bukan hanya selepas tamat belajar.

Banyak perkara yang boleh dimulakan awal oleh mahasiswa seperti membuat resume, mempelajari bahasa asing, menambah bahan bacaan seperti buku, surat khabar, berita dan sebagainya.

Mahasiswa juga perlu aktif bersosial dan mengambil cakna terhadap perkara di sekeliling mereka, tidak semestinya hanya dengan penglibatan dalam persatuan pelajar atau aktiviti di kampus sahaja. Boleh juga dengan bermain sukan atau menyertai program kesukarelawanan di luar kampus. Dalam norma baharu ini, penyertaan dalam program-program atas talian seperti “Hobby Webinar”, kursus-kursus percuma, senamrobik atas talian,  dan diskusi ilmu dapat membantu kita melebarluaskan jaringan kenalan kita, dan membolehkan kita mendapatkan ilmu dan kemahiran yang baharu. 

Hal ini kerana peribadi dan kemahiran mahasiswa yang lengkap, tidak terbit daripada individu yang hanya duduk di bilik, belajar 24 jam dan makan sambil menonton drama Korea tanpa mengembangkan potensi dalam diri mereka.

Sebagai kesimpulan, golongan belia perlu sentiasa bergerak aktif untuk menambah kelebihan dan mengurangkan kelemahan diri serta menjadikan hari esok lebih baik dari hari ini untuk menempuh zaman dewasa yang lebih panjang dan jauh lebih mencabar. 

Zaherul Imran, UIAM

Leave a Reply