Parlimen Mahasiswa UM Milik Siapa?
Daniel Mizan Qayyum
Aktivis Demokrat Mahasiswa UM
https://www.facebook.com/danielmizanqayyum

Parlimen Mahasiswa UM kembali bersidang untuk tahun 2017. Saya cukup optimis Parlimen ini akan menjadi satu penanda aras baharu dalam memperjuangkan pelbagai isu yang sering dibahaskan oleh mahasiswa di kampus.

Selaku mahasiswa kita perlu faham entiti apa yang dianggap sebagai parlimen. Parlimen berasal daripada perkataan Perancis, ‘Parle‘ yang membawa maksud untuk bercakap. Jadi untuk menjalankan maksud ‘untuk bercakap’ ini, perwakilan akan dikumpul di dalam satu dewan yang mulia mewakili kawasan masing-masing. Ini membentuk representasi di dalam dewan.

universiti-malaya

Representasi ini hadir bersulam autoriti. Institusi parlimen sebenar diberi autoriti untuk berfungsi menggubal undang-undang, mengawal kewangan kerajaan dan membahas isu-isu berkaitan. Struktur asas negara ini berdiri bersama cabang Eksekutif dan Kehakiman.

Persoalan utama yang bermain di fikiran saya, adakah kewujudan Parlimen baharu seperti Parlimen Belia, Parlimen Mahasiswa ini adalah hasil akhir pemikir sistem demokrasi atau satu bentuk pseudo-demokrasi?

Isu pertama yang ingin saya bangkitkan adalah representasi pemimpin mahasiswa di dalam kampus. Pengisian jawatan kepimpinan kampus tidak pernah dilanda kemarau, malahan boleh dikatakan kebanjiran jawatan sepanjang tahun. Kita memiliki banyak jawatan untuk diisi sehingga tidak mampu dihitung dengan jari. Namun lambakan jawatan pemimpin mahasiswa tidak datang sekali gus dengan kepemimpinan yang tuntas.

Saya ingin memberi contoh yang mudah, Majlis Perwakilan Pelajar UM sendiri terdiri daripada 40 orang pemimpin mahasiswa. Jumlah ini tidak termasuk lagi dengan hampir 10 orang pemimpin mahasiswa dari Jawatankuasa Kolej Kediaman yang terdiri daripada 12 kolej dan Unit Luar Kampus. Angka-angka ini akan lebih menggunung jika ditambah dengan persatuan fakulti dan persatuan berdaftar yang lain. Jumlah pemimpin mahasiswa yang ramai ini seharusnya menjadikan kerja-kerja membela kebajikan mahasiswa lebih mudah dan sistematik.

Cuba tanya diri anda, adakah jumlah yang ramai ini benar-benar membuatkan anda merasakan diri anda terbela?

Sukarno pernah menyebut; “Berikan aku 10 pemuda, nescaya aku akan tawan dunia.” Hakikatnya, walaupun sudah wujud hampir beratus pemimpin mahasiwa di dalam universiti, pimpinan mahasiswa masih belum mampu menyelesaikan masalah fundamental universiti.

Isu kedua adalah autonomi mahasiswa. Apabila parlimen mahasiswa dibentuk, perlu dipersoal apakah autonomi yang ada kepada institusi parlimen mahasiswa. Memiliki nama yang gah, tetapi pada realititnya mahasiswa masih dikekang tanpa autonomi. Perkara 16 Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) jelas menyatakan universiti ditadbir di bawah seorang Naib Canselor yang mempunyai kuasa veto untuk memutuskan apa sahaja.

18308632_10206613056443542_1801285264_n

Lebih pahit, sidang Parlimen Mahasiswa UM 2016 hanya disudahi dengan tanda tanya dan persoalan. Tanda tanya apabila institusi gah Parlimen Mahasiswa diakhiri dengan sesi townhall bersama pentadbiran yang punya veto untuk menolak apa sahaja sesedap rasa.

Saya ingin bertanya kepada semua yang hadir ke Parlimen Mahasiswa UM lepas, adakah sistem Parlimen Mahasiswa UM lepas merupakan parlimen mahasiswa yang megah  berdiri atau satu bentuk boneka yang resolusinya boleh diperlaku sesuka hati?

“Advantages of having a parliamentary system is efficiency, while the disadvantage is lack of transparency.”(Strom 2001).

Tapi sayang sekali Parlimen Mahasiswa yang ada untuk mahasiswa ini sama sekali tidak efisien apatah lagi telus. Parlimen ini dibanjiri dengan perwakilan namun tidak punya autoriti.

Leave a Reply